18.5.11

Yang Namanya 'Islamic Couple'

“Apa pandangan awak tentang islamic couple?” Seorang perempuan melontarkan soalan kepada saya. Usia kami sebaya.

“Apa maksud couple?” Saya menyoalnya kembali. Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.

Coupling cara Islam. Berkawan dengan seorang lelaki yang bukan muhram dan istimewa di hati, namun masih di bawah batas pergaulan dan menjaga hukum syarak. Saling mengingatkan tentang ibadah, tanggungjawab, Islam dan lain-lain,” balasnya terus-terang.

“Bagi saya, istilah islamic couple itu tidak tepat.” Saya memberi pandangan, tidak bersetuju dengan penerangannya.

“Tidak tepat?” Perempuan itu menyoal. Dahinya berkerut. “Jadi, apa istilah yang tepat?” soalnya lagi.

Unmarried couple. That is the best term.” Saya membalas. Terkeluar percakapan dalam Bahasa Inggeris. Tidak sengaja.

“Maksud awak?” Perempuan itu bertanya, meminta penjelasan. Dia bukan perempuan biasa. Dia seorang yang terpelajar.

Saya tersenyum seraya menjawab, “Bagi saya, maksud coupling merujuk perbuatan berpasangan. Budaya coupling yang menjadi kebiasaan remaja dan belia hari ini dinamakan unmarried couple. Lelaki berpasangan dengan wanita atau sebaliknya tanpa ada ikatan yang sah, iaitu perkahwinan.”

“Itu saya faham. Sekarang ini, saya mahu tahu pandangan awak tentang islamic unmarried couple.” Perempuan itu menjelaskan pertanyaan yang cuba dilontarkan pada awal perbualan. Tidak puas hati kerana soalannya masih belum terjawab. Sengaja saya tidak terus menjawab. Mahu membuat dia berfikir dan terfikir.

“Begini, saudari. Dalam Islam, pasangan yang telah berkahwin sememangnya layak disebut islamic couple. Hal ini kerana mereka sudah diikat oleh satu akad yang sangat dituntut,” terang saya.

Perempuan itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia kelihatan baik dan sopan. Kepalanya ditutup dengan kain tudung berwarna putih susu. Matanya tepat merenung mata saya.

“Akad inilah yang menghalalkan perkenalan dan perhubungan antara seseorang lelaki dan seseorang perempuan. Sudah menjadi kewajipan mereka untuk saling mengingatkan tentang tanggungjawab dalam ibadah, nafkah, Islam dan lain-lain.” Saya menyambung.

Kali ini, air mukanya berubah. Wajahnya menjadi merah. Bibirnya diketap rapat. Entah kenapa. Menahan malu agaknya.

“Saudari pernah bercouple?” tanya saya terus-terang. Tidak berlapik.

Perempuan itu diam. Tiada tindak balas. Saya merenung matanya tepat. Dia mengalihkan pandangan ke arah permukaan meja. Saya masih menanti jawapan daripadanya. Seketika kemudian, dia mengangguk. Jujur. Kepalanya tunduk.

“Saudari, usah malu dengan saya. Saya hanya manusia biasa, macam saudari. Punya fitrah, punya hati. Kalau saudari masih selesa untuk mendengar pandangan saya, saya akan teruskan. Jika saudari tidak selesa, tidak mengapa. Perbincangan kita akan berhenti di sini.”

Sejurus mendengar kata-kata saya, perempuan itu menghadapkan wajahnya ke arah saya. Sungguh, hati perempuan ini masih boleh dibentuk. Saya berbisik di dalam hati.

“Apa perasaan saudari sepanjang berkenalan dan berkawan rapat dengan lelaki yang istimewa di hati saudari?”

“Beruntung, sebab ada orang yang sentiasa bertanya khabar dan memberi nasihat. Tenang, sebab ada teman yang sudi mendengar permasalahan. Kadang-kadang saya rasa selamat, sebab ada lelaki yang melindungi.”

Saya menyambut kata-katanya dengan senyuman. ‘Astaghfirullah, perempuan ini memang benar telah terkena penangan muslihat syaitan,’ getus hati kecil saya.

“Saudari, rasa beruntung, tenang dan selamat itu semuanya adalah perasaan yang dihadirkan oleh musuh saudari. Dia telah membahayakan saudari.”

Perempuan itu mendengar dengan baik. Riaknya kelihatan faham dengan maksud yang berselirat dalam ungkapan saya sebentar tadi. Dia tahu siapa musuhnya. Dia tahu siapa yang membahayakan dirinya. Syaitan. Syaitan telah mengkaburkan penglihatannya. Terkorban dilihat beruntung. Dosa dirasa tenang. Azab disangka selamat. Astaghfirullah..

“Tapi, kami tidak pernah berjumpa, berdua-duaan. Berpegangan tangan apatah lagi.” Perempuan itu bersuara. Dia cuba membela diri.

“Saudari, Islam tidak mengajar kita untuk melabelkan sesuatu dengan namanya sesuka hati. Meletakkan nama islami selepas perkataan couple ikut rasa hati. Berpasangan dengan lelaki yang bukan muhram dan saling bertanya khabar, bertukar-tukar cerita, berkongsi rasa dan segalanya walaupun tidak pernah berjumpa, itu semua tidak islami,” tegas saya.

Perempuan itu diam. Pandangan matanya diarahkan ke pohon hijau yang tumbuh rendang di tepi kafe tempat kami berbual. Sekilas terlihat sinar iman yang masih memancar samar di wajahnya. Jauh dia merenung. Muhasabah agaknya. Saya diam juga. Berdoa.

Adam a.s dan isterinya, Hawwa sejak dahulu telah tertipu oleh janji manis iblis la’natullah. Mereka termakan hasutan makhluk bongkak itu. Enak apabila dimakan, tapi perit lidah terkena lidas. Bertuahlah Adam dan Hawwa yang sedar dan insaf. Mereka memohon keampunan. Mereka bertaubat. Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun telah memberi pengampunan.

Semakin hari manusia semakin alpa. Jauh dari landasan kebenaran. Mengejar kenikmatan dunia tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Dosa pahala entah ke mana melayang. Sayang beribu kali sayang. Ruginya kita jika tak merebut peluang. Memohon kemaafan, memohon keampunan. Menghapus dosa diri yang rentan.

“Allah, selamatkan kami dari fitnah dunia. Selamatkan kami dari menjadi bahan fitnah.”

Nasihat:
Kalau takut berdosa, lebih baik jangan bercouple!

_
Nota Entri: 
*Kisah di atas diolah berdasarkan pengalaman penulis berbual dengan seorang sahabat perempuannya.
*Al-Quran menceritakan kisah Adam a.s dalam beberapa surah, antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25.
*Istilah 'bercouple' tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi dan sastera tulen. (pandangan penulis sahaja)