28.6.11

Kalaulah Kalau

Kalaulah aku pohon merimbun
akan kupayungi insan kerdil
dari panas, hujan dan embun.

Kalaulah aku pohon berbuah lebat
akan kugugurkan buah manis dan lazat
untuk insan kerdil yang memang berhajat.

Kalaulah aku air mengalir tiada putusnya
akan kubiarkan insan kerdil kehausan
meneguk daku sepuas-puasanya
dan
kalaulah aku halilintar ganas
akan kulibas semua insan
kejam yang selama ini menindas
agar hancur berkecai ditelan bumi.

Alangkah bahagianya kehidupan
kalau semuanya saling bergandingan
tiada penindasan
tiada pertelingkahan
tiada penipuan.

Kalaulah keamanan dan keadilan
dapat ditegakkan
nescaya bersinarlah cahaya kedamaian.

Puteh Hashim
Kajang, 1 Mac 1998


"Ingin sekali aku menjadi pohon yang merimbun dan berbuah lebat itu.
Ingin sekali aku menjadi air yang mengalir tanpa pernah putus itu.
Ingin sekali aku menjadi halilintar yang ganas itu.
Ingin sekali, aku menjadi penegak keamanan dan keadilan itu."

Duhai hati, dengarlah suara yang berbisik ini!

26.6.11

Pecut!

Satu
Tak terucap. Tercungap. Huh!

Dua
Memikirkan sepuluh perkara berbeza dalam satu masa  saya jadi lelah. Terasa bagai dikejar anjing buas yang kelaparan. Mengejar bersungguh-sungguh tanpa sempat menoleh kiri kanan. Saya lari lintang-pukang. Mahu selamat daripada menjadi makanan anjing girang. Huh! Memecut memang memenatkan.

Tiga
Saya bertambah semput jika berfikir tanpa mengungkap zikir. Seharian dada saya terasa sesak gara-gara tilawah setengah juzuk al-quran tidak sempat dikhatamkan sebelum suria menumpahkan cahaya putihnya ke atas bumi yang luas berhamparan. Dan insan kerdil ini bertambah lemah apabila setengah lagi juzuk kitab suci  punya azimat itu tidak dapat dihadam sebelum menjelang maghrib yang damai.

Empat
Sungguh, saya berasa lelah memikirkan hal dunia. Sangat. Sangat-sangat lelah.
Melihat lompong kosong dalam ruang mutabaah amal saya jadi parah!

Lima
Hhmm.. Dunia yang salah atau saya yang walah?
Memang sifat dunia yang melelahkan atau niat saya yang tidak diluruskan?

Enam
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami (keredhaan Kami), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan; dan sesungguhnya pertolongan dan bantuan Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."   [al-'Ankabut : 69]

Saya yang silap. Barangkali. Saya yang salah.
Redha tidak diletak di puncak. Hanya terletak di pundak.

Tujuh
Wahai diri,
Jangan biar semput berfikir tanpa zikir.
Jangan biar diri melelah tanpa tilawah.
Jangan dibiar ruh yang terkontang-kanting.
Jangan dibiar iman yang bercompang-camping.

Lapan
"Dan ingatlah, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya kepada kamu; dan ingatlah, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya."   [at-Tolaq : 4-5]

Sungguh, saya tidak mahu menjadi hamba yang malang. Tidak mahu. Tidak mahu. Tidak mahu.

Sembilan
“Ya Allah, izinkanlah hamba-Mu memanjat tangga taqwa sekalipun dalam keadaan merangkak-rangkak.”
Saya pasti doa ini akan jadi panjang lagi. Ada koma. Tiada noktah.

Sepuluh
Cukup setakat ini. Titik.

23.6.11

Titis Gerimis


Ada keresahan yang tidak mampu kita ubati meski telah membuat temu janji dengan ahli psikologi. Ada kerenyahan yang tidak dapat kita hindari meski telah menghadiri majlis-majlis dzikrullah wa dzikrul’ilmi.

Bukan doktor psikologi itu yang salah, tetapi kita yang tidak mencermati setiap butir kata yang diberi. Tidak ikhlas berusaha memperbaiki diri. Bukan juga majlis zikir yang salah, tetapi sikap batin kita yang tidak merendah hati saat menghadirinya. Kita datang hanya kerana ingin mencari keasyikan menangis. Tidak cukup dengan itu, kita tidak sungguh-sungguh dalam mengingatinya-Nya.

Kita tahu, menangis saat beribadah adalah sebahagian tanda mencintai Allah. Oleh sebab itu, kita berusaha meraih tandanya dengan menumpahkan air mata. Kononnya, air gerimis yang menitis dari pohon mata kita menceritakan kecintaan kita kepada-Nya. Padahal butir kaca yang terbentuk di kolam mata itu hanyalah tulisan pudar yang mahu dibuat label pada diri. Kita menangis bukan kerana benar-benar mencintai-Nya, bukan kerana takut dengan azab-Nya. Kita menangis kerana mahu ditanda sebagai orang yang mencintai-Nya.

Aduh, ruginya kita! Saat pahala mengalir tidak henti-henti, kita terkial-kial menadah dengan tangan kiri dalam keadaan hilang sebelah kaki. Kudung kaki yang kanan, maka tangan kanan pula sibuk memegang tongkat buat mengimbangi. Sifat tamak menghantui tanpa disedari membuatkan kita berlari-lari tanpa menoleh kanan dan kiri sehingga dilanggar niat yang tidak diperbaharui. Akhirnya, pahala yang tertadah di tangan kidal itu jatuh berhamburan dan kita telah kewalahan untuk menadah lagi.

Tiada salahnya kita berusaha untuk menangis. Bahkan itu yang dianjurkan kepada kita untuk melakukannya. Menangis itu keperluan kerana ia sebahagian fitrah perasaan. Menangis itu kepuasan kerana ia sebahagian pelepas tekanan. Menangis itu juga kenikmatan kerana ia sebahagian anugerah Tuhan.

Salah kita pada sebab kita menangis. Niat kita bukan kerana Dia. Maka, titik halus yang jatuh tidak putus-putus di pipi mengalir tanpa erti. Menitis bukan secara semulajadi, bahkan tiada rasa takut yang menyertai. Sedarilah, Tuhan kita memang tidak boleh dibohongi. Sungguh!

Istighfar. Istighfar. Istighfar. Doa. Istighfar lagi.

Semoga Allah membersihkan hati. Kita bukannya utusan mulia yang dibawa malaikat suci ke telaga zamzam yang diberkati untuk dibelah dada buat dibersihkan hati. Kita bukannya Muhammad yang dikurniakan mukjizat keramat. Kita manusia biasa yang selalu leka. Selalu lupa. Sekali lagi, doa. Istighfar lagi.  

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah. 
Semoga Allah mendengar istighfar ini.


Nota Entri:
*kerenyahan: kegelisahan
*dzikrullah wa dzikrul’ilmi: mengingati Allah dan menyebut ilmu
*kewalahan: tidak berdaya

21.6.11

Indah Manusia Pada Bahasa

Kadang-kadang keluar bahasa yang tidak indah dari mulut kita. Tidak sedap didengar. Bahkan tidak enak ditelan. Sesiapa sahaja yang mendengarnya, dia pasti akan menutup habis corong telinganya. Betapa sumbang irama yang dihasilkan oleh getar peti suara yang kurang ajar. Bila ditegur, makin jadi melenting. Berkeras lagi.

Kadang-kadang kita tidak sedar. Ada jiwa-jiwa yang berungutan lantas memutuskan tali ikatan persaudaraan dan hubungan berkasihan. Lari ke dalam dunia yang konon-kononnya aman, tapi hakikatnya penuh dengan kesakitan. Dada mereka sesak. Mulut mereka bisu. Mata mereka buta. Telinga mereka tuli. Kasihannya, orang-orang ini sering sahaja digeruni.

Komunikasi. Ini keperluan kita. Ini keperluan kesihatan fizikal dan mental kita sebagai manusia. Memang tidak dinafikan, ada manusia yang kurang siuman gara-gara memencilkan diri di bumi dan duduk terperuk dalam galaksi ciptaan sendiri. Bukan itu sahaja, malahan penyakit kurang siumannya itu mula membarah. Lebih parah lagi apabila semua manusia menjauhi dirinya dek rasa takut yang menghantui, sedangkan insan bernasib sebegini haruslah didekati. Ada juga yang perasan besar, berlagak pandai sehingga dalam bercakap pun main hentam tibai. Langsung tidak beralas, asal maksud sampai. Sakit tersinggung orang, tua muda orang sedikit pun tidak dinilai.

Mengasingkan diri. Islam TIDAK meminta kita melakukannya sehingga kita langsung tidak peduli apa sahaja yang berlaku di bumi yang terhampar luas ini apalagi di tempat sendiri. Memang benar Rasulullah s.a.w menghabiskan masa beruzlah sendiri di Gua Hira’, menjauhkan diri daripada masyarakat Arab yang dibaluti karat tebal jahiliyah. Jika baginda tidak berkomunikasi dalam kelompok masyarakat baginda sendiri, sudah tentu baginda tidak bersendiri di gua berbarakah itu. Sekiranya Rasulullah s.a.w yang kita rindui itu tidak kembali ke dalam kelompok masyarakat baginda setelah diturunkan 'ayat-ayat cinta' Ilahi, maka sudah pasti Islam tidak sampai ke hati kita kini.

Berkasar bahasa. Islam TIDAK juga menyuruh kita berbicara ikut kehendak hati sehingga orang-orang yang kita cintai melarikan diri. Tetapi, Islam yang kita anuti mendidik kita agar berbudi. Bertuturlah dengan sopan agar telinga yang mendengar menjadi senang. Bersantunlah dalam percakapan moga dengannya hati menjadi tenang. Mari kita soroti sepotong nasihat daripada 'dia' yang kita rindui.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
HR Bukhari dan Muslim

Dalam hadith ini, dikatakan bahawa orang yang beriman mestilah berbicara sesuatu yang bermanfaat atau diam sahaja sekiranya tidak punya apa-apa modal buat dijaja. Sabda baginda lagi, orang beriman mestilah memuliakan tetangganya. Tidak cukup dengan itu, mesti juga memuliakan tetamunya.

Sejak dahulu saya mahu menjadi muslimah mukminah. Cita-cita saya besar. Mahu tinggal berjiran dengan 'dia' di syurga. 'Dia' akan memuliakan saya sebagai tetangganya atau setidak-tidaknya saya yang memuliakan 'dia' sebagai tetangga saya. Tapi, untuk mencapai cita-cita itu, saya perlu terus-menerus memperbaiki iman, juga amal saya. Murabbiyah saya kata, amal mestilah berkadar langsung dengan iman dan begitulah sebaliknya!

Semoga kalian membantu saya dengan izin-Nya. Amin, amin, amin. 


Nota Entri:
*beruzlah: mengasingkan diri, bersendiri
*mukminah: perempuan beriman
*murabbiyah: pendidik perempuan

19.6.11

Nostalgia


Tahun 1998
mencatat sejarah penubuhan
detik-detik menghimpun sejuta harapan
tegar berdiri menganyam selautan impian
meraih segunung angan-angan.

Segalanya masih tersimpan dalam memori
terkenang di lapangan hati
tergambar di hadapan diri.

Wajah-wajah lama
mengimbau segala suka duka peristiwa
pahit manis tika bersama
berjuang meniti usia.

SAM BESTARI,
kini namamu seharum kasturi
terbias jauh seindah pelangi
secerah mentari pagi yang menyinari
membina citra milik diri
melahir insan daie bestari.

Duhai anak-anak bangsa,
datanglah dengan rela
penuhi ilmu di dada
bukakan ruangan di minda
akhlak terpuji dipelihara
kelak dirimu kan berjaya
di dunia sementara
mahupun di akhirat selamanya.

SAM BESTARI,
harapanku agar kau terus maju
berdiri gagah, padu selalu
membina insan bermutu
dilimpahi rahmat dan direstu
oleh ayah ibu dan guru
teman dan rakan seguru
serta Tuhan Yang Satu.

TERIMA KASIH, SAM BESTARI!


Cetusan Pena:
Khayr Annisa (5 Al-Biruni)
Majalah Al-Imtiyaz 2006, halaman 114.

Hujung Entri:
Oh! Rindu kembali bertamu. Mungkinkah jasad ini kan berkhidmat di situ, sebagai guru?

18.6.11

'Al-Imtiyaz'ku



Naskhah majalah empat tahun tua diincar. Rupanya masih elok. Cuma ada beberapa halaman yang sudah tertanggal dari tetulang. Kulitnya berhabuk sedikit. Lebih bersih daripada sebelum ini. Baru minggu lepas dibelek-belek. Dan minggu ini dibelek lagi. Majalah lama itu benar-benar menyentuh hati tuannya. Helaian demi helaian diimbas. Gerakan tangan terhenti. Khali sejenak. Terpana melihat "Madah Ibunda". Tersenyum sendiri. Helaian seterusnya dilihat sekelebat. Tersenyum lagi. Bagai ada anekdot atau kisah indah di sebalik potret yang masih segar terakam di muka-muka majalah.

Sungguh, tuan majalah itu kelihatan seperti sudah tidak siuman. Semacam telah hilang akal. Seakan-akan kena sampuk semangat cinta. Ya! Memang tuannya telah disampuk semangat itu. Bahkan sejak dulu. Sungguh, cinta tuan majalah itu masih belum pudar. Cintanya kepada madrasah dalam majalah itu masih belum pergi.





Hari ini, seharusnya saya berada di tiga tempat yang berbeza. Sudah tentu di kawasan yang tidak sama. Bangi. Subang Jaya. Kuala Lumpur. Seharian saya berkelana di selatan negeri sendiri. Sudah pasti jasad kecil ini tidak berdiri di madrasah pagi tadi. Bersama warga Bestari dan ahli alumni. Semestinya juga tidak di ibu negara bagi menghadiri sesi audisi di sebuah stesen TV islami. Saya punya prioriti. Memilih bukan ikut kehendak hati. Tapi, berpasak pada janji. Sungguh!

Dan saat menulis entri tidak berisi ini, saya diam di rumah sendiri.

_
Nota Entri:
*diincar: diperhati, dibelek
*khali: senyap
*sekelebat: sekali imbas
*anekdot: kisah lucu
*berkelana: berpergian, mengembara
*madrasah: tempat belajar
*audisi: uji bakat
*prioriti: keutamaan

16.6.11

Nah, ambil kau!

Spatula api kemarahan telah kusimbahkan
ke muka ganas orang cilik berlagak besar
yang telah membuatkan jiwa bening ini lelah dan sesak.
Aduh, pedih sekali! Sakitnya hati bagai dihiris-hiris pisau belati
yang dilibas-libas si penjenayah tertinggi
yang juga sudah tidak punya nilai manusiawi.

Hei, Israel!
Kau akan kalah nanti! Kau akan kalah!
Sesungguhnya Tuhanku telah berjanji bahawa
kerajaan Islam akan berdiri lagi.
Kau tidak tahukah?

Ah! Percuma sahaja bercakap dengan
si penjahat lahanat seperti kau!
Tiada guna! Sia-sia!

Kau tunggu, Israel! Kau lihat, Israel!
Aku tahu kau licik! Sangat licik!
Tapi, jangan kau sangka aku bodoh.
Aku tak akan jadi lembu kau
yang bisa kau cucuk-cucuk hidungnya
lalu kau tarik-tarik ke arah tompokan-tompokan
nafsu hitammu yang busuk itu!

Kau tahu Israel, sayap kezaliman yang kau tebarkan
hanya menyempitkan dada manusia seperti aku!
Berani-berani kau memijak mengheret kami.
Tidak malukah engkau pada dunia yang akan
menyelak kain-kain yang kau buat tutup agenda tengikmu
di akhirat kelak?!

Oh, aku terlupa.
Buat apalah aku bertanya soalan sebegini.
Engkau sudah tidak punya perasaan, bukan?!
Engkau memang sudah tidak punya hati, bukan?!

Israel, dengar sini!
Kau akan jatuh! Kau pasti jatuh!
Aku yakin. Aku percaya dengan kata-kata Tuhanku.
Tuhanku tidak pernah memungkiri semua janji-Nya.
Dialah Tuhan Yang Maha Besar.
Dialah Tuhan Yang Maha Benar.

Islam, aku akan tetap mendukungmu ke manapun aku pergi.
Sebentar lagi, dengusan nafas sucimu akan kedengaran di seluruh pelosok bumi.
Percayalah! Takbir!

Semoga Allah terus memegang hati kita dan membaluti tubuh kita dengan kekuatan. Amin!

15.6.11

Mengintai Hening Dalam Sibuk

Ada ketika kita perlu mengambil jarak sejenak
dari kesibukan yang membuatkan jiwa dan badan kita lelah dan penat.

Ada kala kita harus menemukan ketenangan dan kedamaian hati
tatkala bertambahnya kekayaan yang melekakan.

Ada masa kita perlu berdiam diri sejenak di saat bertambahnya
kesibukan kita yang semakin menyibukkan hati dan fikiran
dengan hiruk-pikuknya dunia yang sesak.

Ada waktu kita perlu bertanya tentang iman kita
dengan memperhatikan amal-amal kita.

Ada masjid yang tersergam indah, tapi kosong dari hidayah.

Kita sibuk memegahkan bangunan, sedangkan tetangga masjid
yang kekurangan mencari santunan daripada orang yang tidak seiman.

Kadang zikir kita tak mengantarkan kepada ketenangan,
padahal seharusnya zikir menjadikan hati kita tenang
sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

Bukan al-Quran yang salah memberikan perintah,
tetapi kita yang tidak beringat bahawa iman harus disertai dengan amal soleh.

Sebahagian orang berzikir bukan untuk mengingati-Nya,
tetapi sekadar mahu merasai ketenangan setelah sekian lama merasai keringnya hati.



Sudah saya katakan, saya tidak mahir menulis. Apatah lagi berkias seperti orang lama. Tulisan ini saya salin daripada sebuah buku, Membuka Jalan ke Syurga. Begitu terkesan dengan setiap butir aksara yang disusun kemas memberi makna. Saya duduk, merenung dan berfikir. Lantas, saya menulisnya di sini untuk diri sendiri. Semoga saya ingat apa yang saya tulis hari ini kerana sesungguhnya saya seorang yang lupa.


14.6.11

'BusyBees'

Jawapan Imam Ahmad ibn Hanbal ketika beliau ditanya:
“Bilakah seorang hamba itu boleh beristirehat?”
Beliau menjawab, “Nanti ketika kakinya menginjak syurga.”

Oh! Sesungguhnya tidak seharusnya saya beristirehat. Begitukah?

Hujung Entri:
Jom jadi macam lebah!

10.6.11

Si Pelupa

Ada yang kadang saya lupa.
Kadang juga saya tidak tahu harus melakukan apa.
Saya ingin sekali dekat dengan Tuhan
agar masuk ke dalam golongan orang-orang yang dicintai-Nya,
tetapi saya lupa bahawa ada sesuatu yang harus saya lakukan
untuk menyirami iman yang masih gersang ini.

Saya sibuk mengurus tugasan sehingga saya lupa
hak-hak manusia yang sepatutnya saya penuhi.
Ibu. Bapa. Adik. Saudara muslim.
Saya sibuk membeli keperluan yang diperbuat daripada bahan yang terbaik,
sementara ada saudara-saudara saya yang hampir
tidak sanggup menegakkan kepala
kerana rasa lapar yang mencekam,
atau kerana tidak berdaya mencari sekeping syiling buat biaya persekolahan.

Sungguh!
Saya sering lupa. Saya mudah lupa.
Berilah nasihat dan peringatan
kiranya terjumpa si pelupa ini di mana-mana.


8.6.11

Analisis Resepsi

“Kita ada beberapa jenis audiens aktif yang mahu kita sasarkan dengan dokumentari drama kita ini,” Zulkifli menambah.

Syarifah pasang telinga.

“Khalayak yang menonton bagi menjauhkan diri daripada rutin ataupun masalah peribadi,” ujar Zulkifli.

Escapism?” balas Syarifah.

“Betul,” Sofea menyahut.

“Ada juga audiens yang menjadikan filem ini sebagai satu bentuk hubungan. Media ini menjadi seperti kawan buat mereka.” Zulkifli kembali menerangkan inti gagasan pendekatan kritis.

Moviegoer?”

“Betul.” Sofea menoleh ke belakang, melihat Syarifah membuka buku catatan kecil langsung mencatat.

Zulkifli meneruskan bicara, “Kemudian ada audiens yang menjadikan filem atau media ini sebagai model, mereka mahu meniru dan menjadikan apa-apa yang didapati daripada filem itu sebagai panduan atau pedoman.”

“Identiti peribadi?”

“Betul.”

Zulkifli melihat Syarifah terkebil-kebil dari cermin hadapan. “Paling akhir filem dikatakan menjadi sumber keperluan untuk kita mengetahui perkara sebenar.”
Surveillance?” tanya Syarifah.

“Betul.”

“Jadi kita mahu rangkul dan kuasai paling tidak tiga jenis audiens terakhir untuk dokumentari-drama kita ini.” Suara Zulkifli keras bercanggah dengan bunyi hon di luar.

Dr Faisal Tehrani, Sebongkah Batu di Kuala Berang, PTS Litera Utama Sdn Bhd, Selangor, 2011, halaman 71-72.

Seputar
Tunak saya membarisi ayat demi ayat di helaian putih novel Sebongkah Batu di Kuala Berang. Baru separuh naskhah saya mengamatinya. Perlahan-lahan cuba menghadam. Maklumlah, saya bukan orang sastera juga bukan pandai sejarah. Dalam novel ini, penulis yang menerima Anugerah Seni Negara 2006, Dr Faisal Tehrani telah mempertemukan teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu dan praktik dunia industri hiburan. Alur ceritanya menarik dan berisi. Banyak sekali unsur sejarah yang dimasukkan. Tidak kurang juga selok-belok mengusahakan industri hiburan.

Oh, saya tidak merancang untuk mengulas panjang kecuali nilai yang tersepit antara babak-babak ilmiah yang begitu membina pemikiran pembaca khususnya yang menjadi Melayu dan Islam.

Berbalik kepada petikan pendek yang termaktub di permulaan entri ini. Petikan tersebut saya kutip daripada bahagian lima novel tersebut. Sungguh, membikin filem tidak semudah meneguk air tebu sejuk yang tersedia di tangan. Mungkin sahaja habis segelas buat membasahkan tekak yang ketandusan.

Pembikin-pembikin filem harus lebih matang menyusun jalan cerita begitu juga nilai murni yang mahu diterapkan. Negara kita kekurangan filem yang dapat meraih penonton yang mampu membaca filem seperti teks. Ada fakta, bukan auta. Tersisip juga contoh yang mendidik akal dan jiwa. Benar dan telus. Mungkin ini pandangan Dr Faisal Tehrani yang cuba dibawakan kepada pembaca-pembaca tulisannya. Jika benar, bermakna saya tidak silap memahami.

Escapisme
Saya lihat, rata-rata penonton di negara kita kurang faham dan tidak dapat mentafsirkan mesej media dengan baik dan tepat. Mereka jenis escapism barangkali. Menonton hanya kerana mahu melepaskan diri daripada kesempitan dan kesesakan jiwa. Sekadar berhibur. Lepas tonton, hilang stres. Ini contoh melabel! Tidak, ini bukan melabel, tapi mengagak. Salahkah mengagak? Mungkin dengan agakan inilah kita mampu mengubah cara.

Moviegoer
Orang kata, kalau mahu tahu siapa dan bagaimana diri kita, minta dilihat siapa dan bagaimana pula individu yang paling dekat dengan kita. Boleh jadi ahli keluarga, boleh jadi teman rapat, dan saya mahu menambah satu. Genre filem. Genre filem yang sering ditonton atau genre cerita yang sering dibaca. Oleh sebab ada audiens jenis moviegoer, sering menonton kerana suka (hobi) atau cinta sehingga movie diiktiraf sebagai kawan, maka saya menambahnya dalam senarai individu yang paling dekat dengan manusia (sekalipun movie atau drama bukanlah orang yang mempunyai roh, akal dan jiwa). Kalau yang dekat dengan kita baik, maka cantiklah kita. Jika sebaliknya, faham-faham sahaja ya.

Identiti Diri
Siapa sudah menonton Nur Kasih The Movie? Saya belum tonton lagi, sebab tidak suka ke panggung. Bahkan tidak pernah pun. Entahlah, saya kira lebih baik saya membeli VCDnya yang asli. Boleh ditonton berkali-kali, dipinjamkan kepada yang sudi. Tidak rugi. Kembali kepada soalan saya tadi. Kepada yang sudah menontonnya, sudah pasti kalian mahu menyusuri alur cerita movie cinta dan pengorbanan itu, bukan? Mahu meneliti yang mana nilai soleh dan yang mana nilai toleh (jahat), kemudian diturutinya nilai-nilai soleh dalam kehidupan sendiri. Jika sudah menyoroti dan mengadaptasi, tahniah! Jika belum, mungkin perlu menghitung lagi.

Suveillance
Golongan ini memilih. Hanya menonton filem bermutu. Filem yang punya nilai estetika tersendiri. Bukan main belasah asal jadi cerita. Bagi mereka, dalam filem ada kebenaran. Mereka benci kepalsuan. Palsu dalam isi cerita. Bohong, tidak telus. Sehingga mereka tidak ragu. Hati mereka terbuka. Minda mereka terpelihara. Waras mereka terbela. Akhirnya, mereka jadi orang bijaksana. Nah, kumpulan inilah yang kita mahukan. Kelompok ini jugalah yang kita harapkan.

Saranan
Pembikin-pembikin filem Malaysia, bikinlah filem atau cerita yang bukan sekadar menghiburkan audiens tapi memandaikan audiens. Anak-anak Malaysia, pilihlah filem atau cerita yang bukan sekadar menghiburkan kita tapi memandaikan kita.

Filem adalah penghibur. Filem dikira sahabat. Filem jugalah identiti. Filemlah pembongkar.

Sekali lagi, banyak orang memiliki budaya escapisme dalam menikmati indahnya hiburan. Namun, ada juga orang yang duduk dalam kelompok moviegoer, identiti diri dan surveillance. Cuma jumlahnya mungkin tidak begitu membahagiakan.

Saudara, kita yang mana?



Hujung entri:
Penulis novel Sebongkah Batu di Kuala Berang berjaya menaburkan nilai-nilai moral Islami melalui sebuah kisah  sejarah yang memperkaya hati. Mampukah saya menjadi sepertinya?

5.6.11

Arah Kita: Ke Mana?

Kaca cermin bingkai,
Kacanya kaca,
Kaca cermin bingkai.

Ini bukan puisi, titik.

Mencari makanan tatkala lapar,
Mencari doktor tatkala sakit,
Mencari pemberian tatkala kesempitan.

Manusia hari ini,
(barangkali termasuk diri sendiri)
Semakin melupakan Allah, semakin menjauhi Allah.
Malah, Penguasa yang menciptakan makhluk dan masalah itu
semakin tiada tempat di hati kita.

Inilah realiti kehidupan kebanyakan manusia.
Mencari manusia sebelum mencari Allah.
Meminta pertolongan manusia sebelum meminta pertolongan Allah.
Mengadu pada manusia sebelum mengadu pada Allah.

Kita hampir melupakan Dia,
Allahu Rabbuna yang pasti kekal untuk kita.
Dialah yang menciptakan ujian serta kekurangan.

Kita terlupa untuk kembali kepada-Nya dalam setiap urusan.
Kita sering menyebut nama-Nya setelah menyebut nama makhluk-Nya.

Seharusnya, ke manakah arah kita?

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran.”
[Surah al-Baqarah : 186]

2.6.11

Ketika Cinta Datang Menyapa

Entri ini merupakan edisi ulang terbit di blog sendiri.
Ulang terbit bukan kerana tidak punya cerita baru untuk dikongsi.
Tapi, entah. Saya pun tidak tahu sebabnya.
Semoga Allah memimpin hati.

Aku mohon dengan sangat, pertemukanlah aku dengan lelaki itu.

Lelaki itu, telah mencuri hati kecilku.
Lelaki itu, telah menakluki jiwa kesepianku.
Lelaki itu, sudah bisa merobek jantung gelodak rinduku.
Lelaki itu, tidak pernah terpadam dalam ingatan kasihku.

Pintu hatiku telah diketuk tanpa dipinta.
Seluruh hatiku telah ditawan oleh dia.

Dia seorang lelaki. Dia seorang pria.

Lelaki itu sangat hebat. Dia punya karisma. Dia punya dedikasi. Dia punya wibawa. Dia juga punya keyakinan. Orangnya sangat ramah. Murah dengan senyuman. Aku menjadi tenang setiap kali mendengar kata-katanya. Aku menjadi kagum dengan sikapnya yang santun. Langsung tidak pernah memandang rendah terhadap aku dan wanita yang lain.

Dia sangat berani bersyarah di hadapan ramai orang. Petah berkata tanpa ragu, tanpa jemu. Ilmu agamanya sangat tinggi. Setiap yang benar, pasti akan dibelanya. Setiap yang batil, sudah tentu akan ditolaknya. Dia tetap sabar walaupun ramai manusia bergosip liar tentang dirinya. Setiap kali mendengar berita yang tidak baik tentangnya, aku menjadi marah. Ah, siapa kamu untuk menghinanya?! Tidak! Dia tidak sehina itu. Dia sangat mulia di mataku.

Bagiku, dia sangat istimewa. Perkataan, perilaku, sifat dan diamnya telah membisikkan kata-kata yang bisa menjelmakan cinta. Dia sangat luar biasa. Tidak seperti lelaki lain. Hatiku berbunga-bunga setiap kali orang-orang di sekelilingku menyebut namanya. Maha suci Allah yang menciptakan lelaki itu untuk aku!

Dia sangat tulus dalam bercinta. Dia sangat setia dalam berkasih. Sungguh, kasihnya adalah kasih yang tiada tara! Dengan izin-Nya, cinta dan kasih itu akan bertakhta buat selamanya.

Aku ingin lebih mengenali dia. Aku mengagumi peribadinya. Kami hidup di bumi yang sama, tapi di dalam daerah yang berbeza. Aku memilih jalan hidup sepertimana dia. Dia sering menitipkan kerinduan buatku. Tatkala aku luntur, dia meniupkan kata-kata semangat. Tatkala aku futur, dia memberi kata-kata nasihat. dia berjaya mengukir keimanan di jiwaku. Imannya, Subhanallah..

Aku tidak pernah kecewa dengan kekurangan yang ada pada dirinya, kerana dia adalah manusia biasa. Cuma, kadang-kadang aku jadi cemburu. Cemburu kerana ada insan lain yang telah meraih cintanya terlebih dahulu daripadaku. Ah! Aku tidak kisah semua itu.

Ya Allah,
Ku serahkan kepada-Mu
Seluruh jiwa dan ragaku
Dalam sebuah harapan bernama doa.

Aku mohon ya Allah..
Agar api cinta ini kan terus menyala
Jadikanlah aku insan yang setia dalam mencintai dia.

Kerana,
Dia yang aku maksudkan itu
adalah Kekasih-Mu..
Sinaran cahaya cintanya bukan untukku seorang,
Tapi untuk sekalian manusia..
Bahkan untuk sekalian alam.

Ya Rasulullah..
Moga kita kan bertemu suatu hari nanti dalam keredhaan Tuhan kita.


1.6.11

Indahnya Tenang

Segala pujian untuk-Mu, Allah..
Tuhan yang memberi ketenangan kepada hati,
tersenyum sendiri mengenang kisah semalam,
bersedih hati kerana merasa ketenangan berlalu pergi.

Hati cemburu melihat manusia khusyuk,
khuduk menghambakan diri kepadanya.

Hati cemburu melihat seorang abid,
Cintanya disambut Kekasih hatinya.

Ah! ingin sekali aku menjerit kepada dunia,
memberi tahu sekalian makhluk yang ada di dalamnya,
bahawa tidak ada rugi meluah rasa kepada-Nya, Tuhan Yang Esa.

Kini, tenang itu kembali.
Syukur.

Moga nur syahadahku tetap menyelubungi.
Sekalipun tidak, biarlah ia tetap bersinar
di balik celahan kekalutan kalbu,
menerangi hari-hariku dengan cahaya iman
juga amal soleh yang tidak punya penghujung.

Seronoknya hidup menjadi hamba Tuhan Yang Maha Memberi.
Indahnya mati menjadi hamba Tuhan Yang Maha Mencintai.
Subhanallah.. Maha Suci Allah
yang menciptakan segalanya untuk sekalian makhluk-Nya.

Biarkanlah hati ini kan terus leka dalam sujudnya, dalam rukuknya.
Memohon dengan penuh ikhlas,
meminta dengan penuh harap,
bersangka baik terhadap Sang Pemilik kuasa
agar kenikmatan yang tiada tara
itu dapat dirasa walau secebis cuma.

Tuhan,
izinkanlah aku memberi cinta.
Tuhan,
sambutlah ia dengan penuh cinta.

_
Nota Entri: 
*khusyuk : dengan sebulat hati dan bersungguh-sungguh
*khuduk : tunduk dan akur
*abid : hamba yang banyak melakukan ibadah