16.4.13

Makan Dengan Adab Sunnah

Ragam Manusia Hari Ini
Seorang wanita berjalan beriringan di sisi seorang jejaka. Kedua-duanya masih muda belia. Si wanita cantik rupa. Yang jejaka kacak bergaya.
Mulut si wanita asyik mengunyah sedang kedua-dua kakinya sibuk melangkah. Kelihatan ada bungkusan kuning oren di tangan kirinya dan sepotong makanan di tangan kanannya. Dia melangkah ke hadapan, seiringan dengan jejaka di sebelahnya. Lagak mereka persis sepasang suami isteri yang baru mengikat cinta.
Sambil menghayun langkah, si jejaka menoleh ke arah si wanita dan menghulurkan tin minuman berkarbonat ‘100 Plus’ yang dibukanya kepada wanita itu. Kepala si wanita menggeleng. Menolak pelawaan si jejaka. Kedua-duanya terus melangkah dengan masing-masing menikmati makanan dan minuman yang disumbat ke dalam rongga mulut masing-masing.
Subhanallah, Maha Suci Allah yang bersih daripada tabiat buruk ini.
Rasulullah s.a.w Mendidik, Sains Membuktikan
Dari Anas dari Qatadah, beliau berkata, “Sesungguhnya Nabi s.a.w melarang seseorang minum sambil berdiri.” Qatadah berkata, “Kami bertanya, “Bagaimana kalau makan?” Baginda bersabda,”Itu lebih jelek dan lebih buruk.” [HR. Muslim, no. 2024]
Ahli pakar kajian sains menjelaskan bahawa apabila seseorang itu berdiri, ototnya menjadi tegang dan pada masa yang sama sistem imbangan pada sistem saraf pusat terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak.
Sistem saraf dan sistem otot yang bekerja dalam satu masa yang sama menyebabkan manusia tidak mampu mengawal kedua-duanya untuk rehat. Keadaan otot yang rehat adalah syarat yang terpenting ketika makan dan minum dan keadaan ini hanya wujud ketika seseorang itu duduk.
Keadaan duduk membuatkan sistem saraf dan sistem otot berada dalam keadaan tenang dan menjadi aktif. Sistem penghadaman akan bertambah mampu untuk menerima makanan dan minuman. Kesannya, proses penyerapan makanan akan berlaku dengan cara yang betul.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah kalian minum sambil berdiri. Barang siapa lupa sehingga minum sambil berdiri, maka hendaklah ia berusaha untuk memuntahkannya.” [HR. Ahmad no. 8135]
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam ‘At-Tibb An-Nabawiy’, minum sambil berdiri menyebabkan air yang diminum tidak dapat memberikan kesegaran kepada tubuh secara optima. Hal ini berlaku kerana air yang diminum ketika berdiri terus masuk ke dalam kerongkong dan jatuh ke bahagian bawah tubuh badan tanpa sempat diserap oleh usus kecil dan usus besar sebelum masuk ke dalam pembuluh darah.
Minum Berdiri: Bukan Sewenang-wenang
Namun demikian, diharuskan minum sambil berdiri di tempat yang tidak sesuai untuk duduk seperti tempat yang terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri, ini berdasarkan kepada hadith Ibn Abbas r.a yang menyatakan Rasulullah s.a.w minum air zam-zam sambil berdiri.
Dari Ibnu Abbas r.a beliau mengatakan, “Aku memberikan air zam-zam kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda lantas minum dalam keadaan berdiri.” [HR. Bukhari no. 1637, dan Muslim no. 2027]
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkomentar dalam kitabnya ‘Zaadul Ma’ad’, “Kebanyakan minum baginda dilakukan dengan posisi sambil duduk, bahkan baginda menegur dengan keras orang yang minum sambil berdiri. Tetapi, suatu kali baginda pernah juga minum sambil berdiri. Ada yang mengatakan, riwayat ini telah dinasakh (dihapus) oleh adanya larangan beliau. Ada yang berpendapat, beliau melakukan hal itu, dengan tujuan untuk menjelaskan kepada umatnya bahawa boleh sahaja minum dengan dua posisi itu (duduk dan berdiri). Namun, pendapat yang lebih kuat –wallahu a’lam- kejadian ketika baginda minum sambil berdiri adalah kerana adanya satu alasan. Konteks cerita menunjukkan hal itu. Kerana ketika itu, baginda menghampiri telaga zam-zam, dan banyak orang yang sedang mengambil air darinya, lalu baginda mengambil timba untuk mencedok air kemudian meminumnya sambil berdiri.”
Tambah beliau lagi, “Yang sahih dalam masalah ini adalah larangan minum sambil berdiri, namun diperbolehkan apabila ada uzur yang menghalangi untuk duduk. Dengan cara ini boleh dihimpun seluruh hadith pada bab ini (hadith tentang Rasulullah s.a.w minum air zam-zam sambil berdiri dalam kesesakan ramai orang). Wallaahu a’lam.”
Makan dan Minum Sebagai Ibadah
Makan dan minum, sebagaimana amalan lainnya, boleh jadi dikira sebagai ibadah jika dilakukan dengan menjaga adab dan tatacara yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w dan garis panduan Islam. Ayuh, mari kita perhalusi dan perbaiki amal harian kita. Semoga perkara-perkara yang harus seperti makan, minum, tidur, mandi dan sebagainya bisa bertukar kedudukannya menjadi ibadah yang berpahala dan punya nilai di sisi Rabb kita.
Melentur Buluh Umat Dari Rebung Kita
Melihat ragam wanita dan jejaka yang diceritakan di awal penulisan ini, saya terfikir. Bagaimana jika mereka dikurniakan anak pada suatu hari nanti? Adakah anak mereka pun akan disuap makanan atau minuman sambil berjalan seperti mereka? Apa reaksi kita apabila melihat orang-orang dewasa di sekeliling mengunyah makanan sambil berjalan, meneguk minuman sambil berdiri? Atau kita sendiri yang mengaku komited dengan Islam, terlebih dahulu makan dan minum sambil berlari?
Kebiasaan manusia, makan dengan sopan hanya terpamer dalam majlis ‘makan beradab’ pada hari walimahan. Tetapi, imej positif itu tidak pula terpamer pada cermin akhlak diri pada hari-hari yang dilalui. Orang beriman beramal tanpa pura-pura. Mereka sentiasa makan dengan menjaga adab, sedang orang biasa suka ‘makan beradab’. Lalu, kita yang mana?
Tepuk dada,
buka mata,
tadah telinga,
tanya jiwa.

Wallahu a’lam.