30.6.14

Ramadhan 2: Sahur Nabi SAW



عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
 تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً 
رواه البخاري - 1923، ومسلم - 1095

Terjemahan:
Daripada Anas ibn Malik r.a berkata: Nabi SAW telah bersabda: "Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.
(HR al-Bukhari, no.1923 dan Muslim, no.1095).

Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”.
(HR al-Bukhari dan Muslim)


29.6.14

Ramadhan 1: Doa Berbuka Puasa


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أفطر قال:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ العُرُوْقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِن شَاءَ الله

Terjemahan:
Rasulullah s.a.w apabila berbuka, baginda berdoa: "Rasa haus telah hilang, kerongkongan telah basah, semoga pahala telah tetap. In shaa Allah.”

Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Daud (2357), Ad Daruquthni (2/401), dan dihasankan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani di Hidayatur Ruwah, 2/232 juga oleh Al Albani di Shahih Sunan Abi Daud



19.6.14

Muslimah: Mempersiapkan Diri Agar Ramadhan Bererti

Bismillahi nabda’u.

Semoga tulisan ini mampu menjadi asbab kita bertemu di syurga.

Saudariku muslimah,
Bagi kebanyakan muslimah di dunia, Ramadhan bukan hanya dilalui sebagai bulan spiritual, tetapi juga bulan yang dihujani tugas-tugas tambahan selain menyelesaikan kerja-kerja rumah yang sentiasa ada. Sudah menjadi kemestian bagi seorang wanita menyediakan sepinggan dua makanan, atau barangkali berpinggan-pinggan buat dijamah oleh ibu bapa, suami dan anak-anak, juga jiran tetangga sewaktu berbuka. Di samping mempersiapkan juadah berbuka, wanita juga tidak terlepas daripada tanggungjawabnya menjaga kualiti ibadah puasanya di siang hari begitu juga kualiti ibadah solatnya di sepanjang malam.

Ada yang berkata, Ramadhan bukanlah bulan yang biasa-biasa bagi muslimah yang berdagang mahupun yang berjual-beli dengan Allah SWT, dalam erti kata mereka menyerahkan diri kepada Allah dengan sepenuh hati, melaksanakan perintah juga meninggalkan larangan demi mencapai redha-Nya dan membeli syurga-Nya. Muslimah yang cerdik akal pasti mengetahui keutamaan dan kemuliaan bulan ini.

Ramadhan sangat berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan Islam yang lain. Mana tidaknya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kebaikan yang berlipat kali ganda dan memberi peluang besar kepada semua manusia untuk memohon keampunan bagi memadam segala kesalahan dan dosa. Namun, sayangnya kita mensia-siakan peluang ini sedangkan kita tahu tentang kelebihan dan kedudukan bulan suci ini. Mengapa? 

Ramadhan Sia-Sia Tanpa Persiapan 

Oh, banyak sekali sebabnya. Di sini cukuplah kalau kita membicarakan satu daripadanya, iaitu kita tidak membuat persiapan menyambut Ramadhan dan tidak memperelokkan persiapan itu. Ketahuilah, tidak mungkin seseorang itu mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan kepadanya melainkan jika dia bersedia untuk mengambilnya.

Saudariku muslimah,
Ramadhan adalah peluang yang paling besar, kurniaan Allah SWT untuk muslim dan muslimah yang beriman, kerana di dalamnya semua manusia diberi peluang melakukan kebaikan-kebaikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ramadhan juga merupakan peluang untuk mereka menebus dosa dan merasai nikmat ibadah pada malam seribu bulan. Inilah masa yang sangat sesuai untuk kita membersihkan hati sebelum melalui cabaran-cabaran hidup yang menanti.

Pendek kata, Ramadhan memberi ruang kepada kita untuk mencapai semua kebaikan dan pada masa yang sama Ramadhan juga menuntut kita agar membina parit pemisah antara diri kita dan semua kejahatan. Biarlah kejahatan-kejahatan itu jatuh ke dalam parit pemisah yang dicipta dan terus tertimbus jauh ke dasar bumi sehingga tidak boleh digali dan diambil kembali.

Lalu, agar Ramadhan yang dilalui tidak dibaziri, agar Ramadhan menjadi bererti, apakah bentuk-bentuk persiapan yang perlu kita lakukan?

Taubat Nasuha & Perbanyakkan Istighfar

Diceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Hasan al-Basri rahimahullah dan berkata kepadanya, “Wahai Abu Said, aku menyucikan diri dan menjaga diriku daripada hadas, aku bersiap-siap untuk menunaikan solat malam, tetapi aku tidak bangun, apakah sebabnya? Hasan al-Basri berkata kepada lelaki itu, “Sesungguhnya, dosa-dosamu yang menghalangmu.”

Ya. Dosa dan maksiat. Sebab utama yang menghalang semua kebaikan. Lihatlah betapa ramai manusia melakukan pembaziran masa tanpa menyibukkan diri dengan amal-amal soleh. Ramai juga yang berseronok melepak di jalanan pada waktu siang, lalai memborong dan membeli-belah di sebelah malam. Inilah sebahagian realiti yang berlaku dalam bulan-bulan Ramadhan terdahulu. Subhanallah, Maha Suci Allah. Dia Yang Maha Suci daripada segala kesalahan dan kelalaian.

Taufiq dan hidayah itu datangnya daripada Allah SWT. Allah jugalah yang membantu para hamba-Nya menjauhi dosa dan kesalahan. Syaratnya, kita perlu perbaharui taubat dan perbanyakkan istighfar. Berterusan dan tetap memohon keampunan. Semoga dengan taubat dan istighfar, nur irsyad (cahaya petunjuk) hadir membawa kita ke daerah pengislahan dan menjauh dari lembah nista dan dosa.

Membina Niat & Keazaman Yang Benar

Sedarilah bahawa niat kita sangat memberi kesan kepada ketaatan. Ketahuilah bahawa Allah SWT mengetahui niat manusia dan memberikan sesuatu sesuai dengan tahap ketulusan hatinya.

Allah SWT menyebut tentang niat orang-orang yang benar lagi bertaqwa di dalam Surah an-Nisa’ ayat ke-100, mafhumnya:

“Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan tempat rezeki yan banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijah kerana Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya sebelum samapi ke tempat yang dituju, maka sungguh pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Seseorang berniat untuk berhijrah kerana Allah, kemudian kematian menemuinya sebelum dia sempat sampai ke destinasinya. Orang ini, Allah SWT memberikan kepadanya ganjaran pahala. Bukan itu sahaja, malahan Allah SWT menjadikan dia bersama orang-orang yang berhijrah.

Saudariku muslimah,
Pastikah esok kita masih hidup? Yakinkah lusa kita masih diizinkan menghirup oksigen secara percuma atau mungkin oksigen berbayar seperti di hospital? Sempatkah kita menyambut Ramadhan yang bakal tiba beberapa minggu lagi? Tiada siapa yang tahu jawapannya. Hanya Allah SWT yang mengetahui setiap sesuatu, bahkan Dialah Penguasa yang menentukan nasib, rezeki, jodoh, hidup dan mati kita semua.

Mari kita bertekad. Berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan. Bersolat Tarawih dengan penuh keikhlasan. Berqiyamullail dengan penuh kesungguhan. Memohon keampunan dengan penuh pengharapan. Memanjangkan doa meminta digolongkan bersama para muttaqun. Siapa muttaqun? Orang-orang bertaqwa. Inilah cita-cita orang yang beriman kepada Rabbnya dengan sepenuh hati. Inilah cita-cita kita. Cita-cita muslimah mukminah.

Ayuh, mari kita membina niat sementara belum terlambat. Hari ini, saat ini. Kepada yang telah meletakkan niat, mari kembali kita perbaharui agar tidak menyesal andai nanti roh pergi menemui Ilahi.

Latihan Stamina Iman

Cuba kita latih diri kita pada bulan ini, dengan meninggalkan kesibukan dunia yang jelas-jelas merugikan masa, tenaga dan jiwa kita. Kita tukar kesibukan itu dengan kesibukan membuat persiapan ruhiyah bagi menghadapi Ramadhan. Antaranya, perbanyakkan berpuasa sunat, berusaha melatih diri membaca al-quran sebanyak satu juzuk sehari, membiasakan bangun pada sepertiga akhir malam dan bertahajjud, melaksanakan solat sunat Dhuha setiap hari atau minima tiga kali seminggu.

Perkara-perkara ini kelihatan berat untuk dilaksanakan. Namun, tidaklah mustahil untuk kita merealitikannya. Barangkali ada yang berkata, ‘Saya sibuk dengan kelas-kelas kuliah. Langsung tidak sempat bersolat Dhuha’ atau ‘Saya balik rumah lewat petang terus memasak, pantau anak siapkan kerja sekolah, memang tiada masa untuk membaca al-quran.’

Saudariku muslimah,
Beginikah ibu atau bakal ibu yang akan melahirkan dan mendidik anak-anaknya? Tepuk dada, tanya iman. Kata orang, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Saudari,
Untuk menjadi atlet sukan yang sentiasa sihat, cergas dan berstamina tinggi, para ahli sukan diwajibkan melakukan latihan yang pelbagai di samping menjaga jadual pemakanan. Inilah analogi bagi kita, para muslimah yang bakal melalui Ramadhan. Kita mahu memiliki stamina iman yang tinggi sehingga melayakkan kita berlari pecut mengaut jutaan pahala atau memadai dengan stamina iman yang hanya mampu membuatkan kita berjalan kaki dengan termengah-mengah mengaut puluhan pahala?

Oh, sudah tentu kita mahu menjadi muslimah yang memiliki stamina iman yang tinggi! Mampu berpuasa, sibuk mengurus rumah dan anak-anak, bekerja di pejabat, menelaah pelajaran, dalam pada masa yang sama asyik pula bertilawah, solat Tarawih berdiri, bertahajjud di awal pagi, malah menyediakan sahur lagi. Oleh itu, untuk menjadi muslimah yang 'superwoman' seperti ini, kita perlu banyak membuat latihan iman supaya ia mampu bertahan dan bertambah ketahanannya.

Mempelajari Fiqh Puasa

Ibadah puasa di bulan Ramadhan sama seperti ibadah-ibadah lain. Maka, kita perlu mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Bacalah buku tentang puasa, solat tarawih, i’tikaf dan amalan-amalan lain yang mampu meningkatkan kualiti ruhiyah kita. Dalam kebanyakan waktu, kita tidak sedar bahawa amalan yang kita lakukan hakikatnya tidak berlandaskan pengetahuan, tetapi berpaksikan kejahilan. Wal‘iyadzu billahi.

Tidak sempat membaca? Ini bukanlah masalah, tetapi alasan yang dicipta. Kita masih boleh mencari ruang waktu bagi menghadiri majlis-majlis ilmu, atau paling tidak kita membiasakan diri bermuamalah (bergaul dan berinteraksi) dengan orang-orang soleh sehingga kita terbiasa dengan ilmu agama.

Berdoa & Berharap

Doa. Perisai mukmin. Tiada yang lebih bahagia bagi orang-orang beriman melainkan apabila doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT. Seruan untuk sekalian muslimah tidak terkecuali yang menulis tulisan ini, ayuhlah kita berdoa.

Mintalah semoga kita terus diberikan kekuatan untuk sentiasa mengingati-Nya, mensyukuri nikmat-Nya dan beribadah kepada-Nya dengan sempurna.

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.”
[Riwayat Abu Daud no. 1552, dianggap sebagai sahih oleh al-Hakim I/273 dan dipersetujui oleh al-Zahabi]

Mintalah semoga kita dipertemukan dengan Ramadhan yang penuh dengan barakah agar kita bisa beribadah dengan setulusnya dan merasai kemanisan ibadah selayaknya. Berdoalah, berharaplah.

Semoga kita bertemu dalam ketaatan, dalam tulisan yang selanjutnya. Insyaallahu wa Allahu a’lam.

Ukhtukum fillah,
Khairunnisa Bohari
Kuala Lumpur, 9 Rejab 1433H. 
(ini tulisan dua tahun lepas. moga bermanfaat.)