24.7.14

Ramadhan 24: Bacaan Sesudah Salam Setelah Solat Witir


سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ (3× يجهر بها ويمد بها صوته يقول)
[رَبِّ الْمَلاَئِكَةِ وَالرُّوْحِ]

“Subhaanal malikil qudduusi (rabbul malaaikati warruh) tiga kali, sedang yang ketiga, beliau membacanya dengan suara keras dan panjang”.

(HR. An-Nasai 3/244, Ad-Daruquthni dan beberapa imam hadis yang lain. Sedang kalimat antara dua tanda kurung adalah tambahan menurut riwayatnya 2/31. Sanadnya shahih, lihat Zadul Ma’ad yang ditahqiq oleh Syu’aib Al-Arnauth dan Abdul Qadir Al-Arnauth 1/337).


21.7.14

Ramadhan 23: Monolog

Darah tumpah ke tanah, kujur-kujur tubuh terbaring di atas hamparan bumi yang semakin tenat menanggung beban manusia-manusia berdosa. Kumelalui medan tempur al-Qassam dan Zionis di sebuah kawasan kecil di Ghazzah yang baru sahaja selesai beberapa minit yang lalu.

Kumelihat satu persatu syuhada' yang terbaring di situ. Setiap wajah yang menjadi syahid itu seakan-akan kukenali. Tidak lama kemudian, seorang syeikh datang berlalu di tempat aku berdiri.

Di kawasan perbaringan syuhada', syeikh dengan penuh tenang berkata, "Mereka itu adalah pemuda-pemuda kalian, yang datang dari Malaysia." Antara percaya atau tidak, kucuba mengurus emosi yang berbaur. Antara bahagia dan berduka.

Lima minit kemudian kududuk bermuhasabah, membangunkan minda dari lena. Ternyata, ini semua mimpi. Ya Allah, andainya ini benar..

Sedutan daripada kisah dalam lena oleh jiwa yang terlalu merindukan syahid dalam keredaan Tuhannya, suaminya, dan ibu bapanya sepanjang hidupnya dan matinya.


Ramadhan 22: Penghulu Istighfar

Dari Syaddad bin Aus radhiyallahu anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, "Sesungguhnya Istighfâr yang paling baik adalah seseorang hamba mengucapkan : 

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ


Ertinya:
"Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Engkau, Engkau yang menciptakanku, sedang aku adalah hamba-Mu dan aku diatas ikatan janji-Mu dan akan menjalankannya dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku perbuat, aku mengakui-Mu atas nikmat-Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada-Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau".

(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari hadis no. 5831 dan 5848; dan al-Tirmizi hadis no. 3315; al-Nasa'i no. 5427 dan Ahmad hadis no. 16488 dan 16508)

Keutamaan:
Do’a Sayyidul Istighfar ini mempunyai keutamaan yang sangat besar sekali, yaitu orang yang selalu membacanya dengan yakin akan dimasukkan ke dalam surga. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah shallahu alaihi wa sallam dalam hadist berikutnya :

مَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِناً بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ


Ertinya:
”Siapa saja yang mengucapkan sayidul istihgfar pada siang hari dengan yakin, kemudian meninggal dunia sebelum datang waktu petang, niscaya dia termasuk ahli syurga. Dan Siapa saja yang membacanya di waktu malam dengan yakin, kemudian dia meninggal dunia sebelum datangnya pagi, niscaya dia termasuk ahli syurga.

(HR Bukhari, no : 6306)


18.7.14

Ramadhan 20: Apa Yang Seharusnya Dilakukan Pada Lailatul Qadar?

Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat malamnya.

A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya (tidak bersetubuh) dan menghidupkan waktu malam dengan qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail.
[Shahih Muslim - hadis no: 1174 (Kitab Iktikaf, Bab bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir……)]

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku."
[Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3119 (Kitab Doa).]


_
Hujung Entri:
*Wahai diri! Teruslah sabar mengucap istighfar, melantun bebutir zikir, memintal bebenang doa. Meminta dengan penuh hikmah.. - Mengharapkan keajaiban doa buat jundi Al-Qassam, pejuang-pejuang Islam dan tanah-tanah Islam di seluruh pelosok bumi. Juga buat generasi muda yang masih tinggal dan akan memimpin umat kelak.
*Terfikir; andainya saya dari kalangan ummahat di Palestin atau mana-mana tanah Islam yang bergolak, adakah saya akan berbahagia kerana masih punya suami dan anak-anak yang tegar beraksi di medan jihad? Atau adakah saya akan berbahagia kerana mereka telah menemui Ilah mereka dengan darah sebagai saksi syahid?
*Teman, tegurlah silap saya, lupa saya, leka saya. Yang saya harapkan, Allah SWT meredhai diri saya dan diri-diri kalian. Terima kasih kerana sudi.

17.7.14

Ramadhan 19: Memburu Lailatulqadar

Dalil al-Quran:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2)

 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3)
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada lailatul qadar . Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Al-Qadr: 1-3).

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

"Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan." (Ad-Dukhan: 3). Yang dimaksud malam yang diberkati di sini adalah malam lailatul qadr. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Ibnu Jarir At-Thabari rahimahullah [Tafsir At-Thabari, 21/6 ]. Inilah yang menjadi pendapat majoriti ulama di antaranya Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma.[Zaadul Masiir, 7/336-337 ]

Hadis-hadis berkaitan Lailatulqadar:
Dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ’alaihi wassalam bersabda: “ Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap, nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu.” [al-Bukhari:1901 dan Muslim: 760]
Aisyah Radiallahu ’anha berkata, Rasulullah Sallallahu ’alaihi wassalam mengasingkan diri (di dalam masjid; beri’tikaf) pada sepuluh (malam) terakhir di dalam Ramadhan. Dan Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir dari Ramadhan.” [al-Bukhari:2020 dan Muslim:219].
Aisyah RA berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada (malam-malam) yang ganjil daripada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan.” [al-Bukhari]
Ibn Umar Radiallahu ’anhu berkata: “Beberapa orang daripada sahabat Nabi saw telah melihat malam al-Qadr di dalam tidur pada tujuh (malam) yang terakhir. Maka berkata Rasulullah SAW: “Aku melihat mimpi kamu bertepatan dengan tujuh (malam) yang terakhir. Sesiapa yang benar-benar mencarinya (malam al-Qadr), maka carilah ia di tujuh (malam) yang terakhir. [al-Bukhari:2015 dan Muslim:1165].
Doa di Malam al-Qadar
Daripada ‘Aisyah Radiallahu ‘Anhu:

قلت يا رسول الله أرأيت إن علمت أي ليلة ليلة القدر ما أقول فيها قال قولي
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اَلْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Aku berkata: “Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ?” Bersabda Nabi : disebutlah doa: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”

[HR at-Tirmizi: 3513, Ibn Majah: 3119, Imam at-Tirmizi rahimahullah menyatakan ia hadis Hasan Sahih.]


_
Hujung Entri:
*Apa yang diimpikan dalam Ramadhan ini? - Semoga Allah memeluk saya dengan cinta, menjawab semua doa saya dan doa ibu bapa saya, juga memenangkan Islam di seluruh pelosok bumi..

16.7.14

Ramadhan 18: I'tikaf Antara Sunnah Muakkadah Dalam Ramadhan

Definisi I’tikaf

Dari segi bahasa: I’tikaf bermakna berdiam di suatu tempat untuk melakukan sesuatu pekerjaan; yang baik mahupun yang buruk dan tetap dalam keadaan demikian.

Dari segi istilah: I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu. (Lihat Fathul Bari 4 : 344)

Dalil-Dalil Pensyariatan I’tikaf

Dalil al-Quran:
وَلاَ تُـبَاشِرُوْهُنَّ وَأَنْـتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ البقرة : 187
“Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam mesjid.” (Al Baqarah : 187)

Dalil-dalil As-Sunnah:

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِى قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا  
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda beri’tikaf selama dua puluh hari”. [HR. al-Bukhari no. 2044 ]

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .” [HR. al-Bukhari no. 2026 dan Muslim no. 1172]

Hukum I’tikaf

Al-Imam Ibn al-Munzir berkata: Para ulama’ telah bersepakat/ijma’ bahawa I’tikaf adalah sunat, dan bukan kewajipan kecuali jika seseorang bernazar mewajibkan dirinya untuk melakukan I’tikaf. [Al Mughni, 4/456 ]

Al-Imam Ibn Arabi al-Maliki dan Ibn Batthal rahimahumallah menyatakan bahawa I’tikaf merupakan sunnah muakkadah/sunat yang sangat dituntut kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tidak pernah meninggalkannya.

Waktu I’tikaf

I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, dan ia sangat ditekankan pada 10 hari akhir Ramadhan kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sentiasa melakukannya.

Batasan Waktu

Ulama’ bersepakat bahawa I’tikaf tidak mempunyai had masa maksima, akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang minimum waktu I’tikaf.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa tiada masa minima untuk I’tikaf. I’tikaf sah walau hanya duduk seketika di dalam masjid. Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh jumhur ulama’ ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika.” [al-Majmu’, 6/514]

Shaikh Ibn Bazz menyatakan bahawa Imam Ab Hanifah dan sebahagian ulama’ Maliki berpendapat tempoh minima ialah satu hari. [Majmu’ al-Fatawa 15/441]

Adakah Wanita Boleh Beri'tikaf?

Dibolehkan bagi wanita untuk melakukan i’tikaf sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengizinkan istri tercinta beliau untuk beri’tikaf. (HR. Bukhari & Muslim)

Namun wanita boleh beri’tikaf dengan memenuhi 2 syarat :
[1] Diizinkan oleh suami, dan
[2] Tidak menimbulkan fitnah (masalah bagi laki-laki).
(Lihat Shohih Fiqh Sunnah II/151-152) 

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ المُوَفَّقِينَ بِلَيْلَةِ الْقَدْر
"Ya Allah, jadikanlah kami dalam golongan yang diberi taufiq untuk mendapat Lailatul Qadr".

_
Hujung Entri:
@ Muhasabah Ramadhan, berapa peratus target yang sudah dicapai?
@ Tulisan ini diolah dari pelbagai sumber.

15.7.14

Ramadhan 17: Doa Berkaitan Masjid

Doa Pergi Ke Masjid 

اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي لِسَانِي نُورًا وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا وَمِنْ أَمَامِي نُورًا وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا وَمِنْ تَحْتِي نُورًا اللَّهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا

“Ya Allah, jadikanlah cahaya di hatiku, cahaya di lisanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya pada penglihatanku, cahaya dari belakangku, cahaya dari depanku, cahaya dari atasku dan cahaya dari bawahku. Ya Allah, berilah aku cahaya.”
(HR: Muslim I/530).


Doa Masuk ke Masjid 

أَعُوْذُ بِاللهِ الْعَظِيْمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيْمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ، [بِسْمِ اللهِ، وَالصَّلاَةُ][وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ] اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.


“Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung, dengan wajah-Nya Yang Mulia dan kekuasaanNya yang abadi, dari setan yang terkutuk. Dengan nama Allah dan semoga shalawat dan salam tercurahkan kepada Rasulullah. Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmatMu untukku.”
(HR. Muslim 1/494. Dalam Sunan Ibnu Majah, dari hadits Fathimah x “Allahummagh fir li dzunubi waftahli abwaba rahmatik”, Al-Albani menshahihkannya karena beberapa syahid).


Doa Keluar Dari Masjid 

بِسْمِ اللهِ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ، اَللَّهُمَّ اعْصِمْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

“Dengan nama Allah, semoga shalawat dan salam terlimpahkan kepada Rasulullah. Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepada-Mu dari karunia-Mu. Ya Allah, peliharalah aku dari godaan setan yang terkutuk”.

(Tambahan: Allaahumma’shimni minasy syai-thaanir rajim, adalah riwayat Ibnu Majah. Lihat Shahih Ibnu Majah 129).


14.7.14

Ramadhan 16: Doa-doa Yang Diajarkan Oleh Nabi SAW Bagi Orang Yang Berpuasa

Doa Tamu Kepada Orang Yang Menghidangkan Makanan/Minuman 

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيْمَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ.

"Ya Allah! Berilah berkah apa yang Engkau rezekikan kepada mereka, ampunilah dan belas kasihanilah mereka."

(HR: Muslim)

اَللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِيْ وَاسْقِ مَنْ سَقَانِيْ.

“Ya Allah! Berilah ganti makanan kepada orang yang memberi makan kepadaku dan berilah minuman kepada orang yang memberi minuman kepadaku.”
(HR: Muslim)


Doa Apabila Berbuka Di Rumah Orang

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُوْنَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ اْلأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ.

“Semoga orang-orang yang berpuasa berbuka di sisimu dan orang-orang yang baik makan makananmu, serta malaikat mendoakannya, agar kamu mendapat rahmat.”
(HR: Sunan Abu Dawud 3/367, Ibnu Majah 1/556 dan An-Nasa’i dalam ‘Amalul Yaum wal Lailah no. 296-298. Dishahihkan oleh Al-Albani.)


Doa Orang Yang Berpuasa Apabila Diajak Makan 

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ، فَإِنْ كَانَ صَائِمًا فَلْيُصَلِّ وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا فَلْيَطْعَمْ.

“Apabila seseorang di antara kamu diundang (makan) hendaklah dipenuhi. Apabila puasa, hendaklah mendoakan (kepada orang yang mengundang). Apabila tidak puasa, hendaklah makan.”
(HR. Muslim 2/1054)


_
Hujung Entri:
*Pelajar-pelajar memang 'bagus' dalam bab ijtihad isytihar cuti. Mujur dari awal lagi dah minta tukar hari.


13.7.14

Ramadhan 15: Perbanyakkan Berdoa

Rasulullah SAW bersabda,
“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan. Bulan nan penuh berkah. Allah mewajibkan atas kamu shaum di bulan ini. Pada bulan ini pintu-pintu jannah di buka, pintu-pintu Naar ditutup dan syaithan-syaithan di belenggu. Di bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tidak mendapatkan kebaikan di bulan ini, nescaya tidak ada kebaikan baginya.”
(HR: Ahmad 8631).


Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Allah membebaskan hamba-hamba-Nya dari api Naar setiap hari dan malam di bulan Ramadhan. Dan sesungguhnya setiap muslim memiliki satu doa yang mustajab di bulan ini.”
(HR: Ahmad II/254 dan Al-Bazzar 3142).


Rasulullah SAW bersabda,
“Tiga orang yang tidak tertolak doanya: Orang yang sedang berpuasa ketika berbuka, imam yang adil dan doa orang yang terzalimi.”
(HR: At-Tirmidzi 2528).


_
Hujung Entri:
@ Tambah doa dalam senarai doa, kerana manusia memang tak punya kuasa. Jelas, manusia memang perlukan Tuhan, Yang Maha Mengetahui, Memberi, dan Melindungi.
@ Meminta dengan merendah hati di hadapan Dia As-Samii'.. Man huwa? Huwa Allahu rabbuna.



11.7.14

Ramadhan 14: Seputar Qunut Nazilah

Artikel ini telah disediakan oleh:
Ustaz Abdul Razak Muthalib
(Penulis buku 40 Hadis Palsu Popular, Akademi Ramadan: Menuju Puncak Takwa)

Definisi “qunut”

Sebelum kita bincangkan dengan lebih lanjut, ada baiknya kita mengetahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan “qunut”.

Dari segi bahasa, “qunut” mempunyai banyak makna. Antaranya ialah taat dan mendirikan perintah Allah, solat, berdiri yang lama, pengabdian, diam, khusyu’ dan beberapa makna lagi.

(Rujuk: Lisan al-‘Arab 2/73, al-Qamus al-Muhit 158, al-Munjid fi al-Lughah 656).

Dari segi istilah, Ibn ‘Allan menghuraikan maksud “qunut” di sisi syariat ialah satu nama bagi doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri. Menurut Syeikh Ibn ‘Uthaimin, qunut ialah satu istilah yang diberikan kepada doa yang sesuai dengan sesuatu keadaan atau ketika berlakunya sesuatu bencana.  Inilah apa yang dinamakan sebagai qunut nazilah.

(Rujuk: Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari, 2/633. Ibn al-‘Uthaimin, Syarah Bulugh al-Maram, Kitab al-Solat, 224).


Definisi”nazilah”

Kita telah mengetahui makna “qunut” secara ringkas, apa pula yang dimaksudkan dengan “nazilah”?
Dari segi bahasa, “nazilah” ialah suatu keadaan yang gawat, mencemaskan dan terdesak.

Dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana yang menimpa ke atas umat Islam seperti adanya musuh, ketakutan, musim kemarau, wabak penyakit atau sesuatu mudharat yang jelas menimpa umat Islam.


Hadis-hadis dan athar tentang qunut nazilah

Setelah diperhatikan kebanyakan riwayat-riwayat yang menyebut tentang doa qunut nazilah ini, didapati ianya terbahagi kepada dua bahagian: 1) Riwayat yang sahih, 2) Riwayat yang tidak sahih.

Pertama: Riwayat yang sahih

Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang thabit daripada Rasulullah saw berkenaan dengan qunut nazilah. Hadis-hadis ini menjelaskan tentang bagaimana qunut nazilah disyariatkan, tempat  bacaannya, apa yang perlu dibaca, bila ia bermula dan berakhir dan sebagainya.

Dalam tulisan yang ringkas ini, penulis hanya akan menyebut beberapa contoh penting daripada hadis-hadis tersebut.

a) Riwayat Abu Hurairah r.a: 
  • - Abu Hurairah berkata: ((Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahu liman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”. Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf” )). (Riwayat al-Bukhari (no.2600) dan Ahmad 2/239, 396). 

Di dalam riwayat Imam Muslim (no. terdapat tambahan doa seperti berikut: ((Ya Allah, laknatilah kabilah Lihyan, Ri’l, Zakwan dan ‘Usaiyah yang telah menderhakai Allah dan juga RasulNya)). 

Di dalam hadis ini menceritakan bahawa Rasulullah saw mendoakan supaya Allah Azza wa Jalla menyelamatkan beberapa orang sahabat baginda yang masih tinggal di Mekah. Selepas masuk Islam, mereka itu diseksa dan diazab oleh kafir Quraish. Dengan keberkatan doa Rasulullah saw, mereka semua selamat dan kemudian terus berhijrah kepada baginda di Madinah. 

  • - Abu Hurairah berkata: “Sesungguhnya aku akan dekatkan solat kalian dengan cara solat Rasulullah”. Abu Hurairah membaca doa qunut pada rakaat terakhir dalam solat Zohor, ‘Isya’, dan Subuh, selepas beliau menyebut: “sami’allahu liman hamidahu”, beliau mendoakan kebaikan kaum mukminin dan laknat ke atas golongan kafir. (Riwayat al-Bukhari (797), Muslim (676).

Dalam riwayat ini, Abu Hurairah menggunakan caranya tersendiri supaya orang lain mencontohi cara solat beliau. Ini kerana cara solat beliau adalah yang paling sama dengan solat Rasulullah saw.

b) Riwayat Anas bin Malik r.a
  • - Muhammad bin Sirin berkata: Anas bin Malik pernah ditanya: Adakah Nabi saw membaca doa qunut dalam solat Subuh? Jawab Anas: Ya. Ditanya lagi: Adakah baginda berqunut sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab: Selepas rukuk dalam tempoh yang sekejap sahaja. (Riwayat al-Bukhari (1001), Muslim (677).

Yang dimaksudkan dengan “tempoh yang sekejap” ialah selama sebulan seperti yang dijelaskan dalam riwayat ‘Asim. Boleh juga dikatakan maksudnya ialah dalam kadar masa yang sekejap sahaja seperti tempoh rukuk dan sujud.
(Lihat: Fath al-Bari 2/632, ‘Aun al-Ma’bud  2/225).  

  • - Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selepas daripada rukuk, selama sebulan di dalam solat Subuh, baginda berdoa (laknat) ke atas Bani ‘Usaiyah. (Riwayat Muslim). Di dalam riwayat lain daripada Anas juga, dinyatakan bahawa baginda saw berdoa ke atas Bani Ri’l, Zakwan, dan baginda berkata ‘Usaiyah telah menderhaki Allah dan rasulNya. (Riwayat al-Bukhari (4094), Muslim). 
  • - Dalam riwayat lain, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi saw pernah mengutuskan seramai 70 orang yang terdiri daripada para qurra’ (yang alim dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan para qurra’ ini dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut berkata: Demi Allah, bukan kamu semua yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi saw. Kabilah-kabilah tersebut telah menipu dan khianat kepada Rasulullah saw. Mereka telah membunuh semua 70 orang para qurra’ tersebut. Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda amat sedih. Lalu, baginda berdoa (laknat) ke atas kabilah-kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut. (Rujuk kisah ini dalam Sahih al-Bukhari (4088). 
- ‘Asim al-Ahwal berkata: Aku bertanya kepada Anas bin Malik tentang doa qunut, (adakah ia dibaca) dalam sembahyang? Anas menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Ia dibaca sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab: Sebelum rukuk. Aku bertanya lagi: Sesungguhnya si fulan memberitahuku yang engkau pernah menyatakan qunut dibaca selepas rukuk. Anas berkata: Tidak benar, sesungguhnya Nabi saw membaca doa qunut selepas rukuk selama sebulan… (iaitu selepas daripada peristiwa Bi’r Maunah seperti yang disebutkan di atas). (Riwayat al-Bukhari (4096), Muslim)

c) Riwayat Ibn ‘Abbas
  • - Ibn ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di penghujung setiap solat, iaitu apabila baginda menyebut “sami’allahu liman hamidah” pada rakaat terakhir, lalu baginda berdoa ke atas kabilah-kabilah dari Bani Sulaim, dan orang yang dibelakang baginda mengaminkannya. Kabilah-kabilah tersebut ialah kabilah yang telah diutuskan kepada mereka (sekumpulan qurra’) untuk mengajarkan mereka agama Islam, lalu mereka membunuh para qurra’ tersebut. ‘Ikrimah berkata: Ini adalah permulaan doa qunut. (Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud (1443). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan)

d) Riwayat Ibn Umar
  • - Salim menceritakan daripada Ibn Umar yang beliau mendengar Nabi saw menyebut di dalam solat Subuh, selepas baginda mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat terakhir: “Allahumma rabbana walaka al-hamd” . Kemudian, baginda berdoa: “Ya Allah, laknatilah si fulan dan si fulan”. Lalu Allah turunkan ayat (yang bermaksud): (( Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah)…(Ali-Imran:128) 
  • - Daripada Malik bin Nafi’ katanya: “Sesungguhnya Ibn Umar tidak membaca doa qunut di dalam mana-mana solat”. Daripada sumber Abi al-Sya’tha’ katanya: “Aku bertanya Ibn Umar tentang doa qunut di dalam solat Subuh, beliau berkata: Aku tidak rasakan ada seorang pun yang melakukannya”. (Riwayat Malik di dalam al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih (379).

Maksud hadis ini bahawa Ibn Umar tidak membaca doa qunut di dalam mana-mana solat iaitu tidak membacanya secara berterusan setiap hari, bukanlah menafikannya secara mutlak. Ini kerana terdapat riwayat lain yang menyebut beliau membaca doa qunut di dalam solat witir dan sebagainya.

e) Riwayat al-Barra’ bin ‘Azib
  • - Al-Barra’ bin ‘Azib menyatakan bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut pada solat Subuh dan Zohor. (Riwayat Muslim (678).

f) Riwayat Abu Malik al-Asyja‘ie
  • - Malik al-Asyja‘ie berkata: Aku bertanya ayahku: “Wahai ayahku, sesungguhnya engkau telah bersembahyang di belakang Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Uthman (di Madinah) dan dibelakang Ali di Kufah lebih kurang selama lima tahun. Adakah mereka semua membaca qunut dalam solat Subuh? Jawab ayahku: “Wahai anakku, itu adalah perkara baru dalam agama”.

“Perkara baru dalam agama” yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah melazimkan membaca doa qunut dalam solat Subuh dengan satu doa yang khusus. Manakala membaca qunut nazilah disebabkan sesuatu musibah yang berlaku adalah amalan yang thabit daripada Rasulullah saw dan keempat-empat para khalifah. Oleh itu, difahami daripada hadis ini bahawa Rasulullah saw dan para khalifah tidak melazimkan membaca doa qunut Subuh setiap hari. 


Kedua: Riwayat yang tidak sahih

Salah satu riwayat yang tidak sahih, tetapi popular dan sering digunakan sebagai hujah ialah:

Riwayat Abu Ja’far al-Razi, beliau meriwayatkan daripada al-Rabi’ bin Anas, dan al-Rabi’ meriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya: ((Rasulullah s.a.w berterusan membaca doa qunut pada waktu Subuh sehingga baginda berpisah dengan dunia (wafat).))

Dalam satu riwayat lain disebutkan: ((Sesungguhnya Nabi s.a.w membaca doa qunut selama sebulan, baginda berdoa ke atas  pembunuh para  sahabatnya (yang dibunuh) di Bi’ru Mau’nah, kemudian baginda tidak membacanya lagi. Manakala dalam solat Subuh, baginda terus membaca doa qunut sehinggalah baginda wafat)).

Hadis ini daif disebabkan kecacatan yang ada pada perawinya iaitu Abu Ja’far al-Razi. Beliau ialah Isa bin Mahan. Ramai ulamak hadis telah memberikan komentar tentang dirinya dan menilainya sebagai seorang yang daif di sisi ulamak hadis. Antaranya ialah Imam Ahmad, Ibn al-Turkimani, Ibn al-Jauzi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani, Syuaib dan Abdul Qadir al-Arnaut dan lain-lain.


Hukum membaca qunut nazilah

Jumhur ulamak bersepakat bahawa tidak wajib membaca qunut nazilah, dan meninggalkannya tidak membatalkan solat.

Menurut al-Qurtubi di dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran: ((Al-Tabari menjelaskan bahawa telah menjadi ijma’ meninggalkan qunut nazilah bukanlah perkara yang membatalkan solat)).

(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami’ li ahkam al-Quran, 2/129).

Ibn ‘Uthaimin di dalam Syarah al-Mumti’ menyatakan: ((Telah ijma’ para ulamak bahawa qunut ini (nazilah) tidak wajib, tetapi afdhal untuk imam membacanya)).

Rujuk: Ibn ‘Uthaimin, Syarah al-Mumti’, 4/59).

Para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum membaca qunut nazilah ketika berlakunya sesuatu musibah.

Pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah pendapat para ulamak dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali iaitu disyariatkan untuk membaca doa qunut ketika berlakunya musibah. Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan sebelum ini.


Apa yang perlu dibaca?

Menurut pendapat majoriti ulamak, tidak ada doa khusus tertentu yang perlu dibaca di dalam doa qunut nazilah. Jadi, doa yang dibaca ialah apa yang bersesuaian dengan musibah yang berlaku ketika itu.

(Rujuk: Badai’ al-Sanai’ (1/406), al-Istizkar (2/285), al-Mughni (2/587)

Oleh itu, dalam suasana musibah yang menimpa umat Islam di Palestin ini, kita boleh berdoa semoga Allah membantu dan memberikan kemenangan kepada mujahidin di sana. Semoga Allah menghancurkan kumpulan musuh iaitu Zionis dan Amerika Syarikat. Semoga pakatan mereka menjadi porak peranda, tentera-tentara mereka menjadi gementar dan takut dan sebagainya. Semua doa ini dibaca dalam bahasa Arab.


Bolehkah qunut nazilah dibaca dalam semua solat fardhu?

Para ulamak berbeza pendapat di dalam hal ini. Menurut pendapat yang rajih, doa qunut nazilah boleh dibaca di dalam semua solat fardhu. Pendapat inilah dipegang oleh para ulamak mazhab Syafie, pandangan yang tepat di kalangan ulamak mazhab Hanbali, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan majoriti ulamak hadis.

Pandangan ini berdasarkan hadis-hadis yang telah dinyatakan sebelum ini. Sebagai contoh, hadis riwayat Ibn Abbas: Ibn ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di penghujung setiap solat… (Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud (1443). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan).

Jadi, doa qunut nazilah ini boleh dibaca pada rakaat terakhir dalam semua solat fardhu. Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hazm, al-Syaukani dan lain-lain lagi.


Bolehkah qunut nazilah dibaca dalam solat-solat sunat?

Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini:

Pertama: Pendapat ulamak Mazhab Maliki dan Hanbali: Tidak ada bacaan doa qunut dalam solat selain daripada solat fardhu yang lima.

Kedua: Pendapat ulamak mazhab Syafie: Boleh membaca qunut nazilah dalam solat selain solat fardhu.

Pendapat yang tepat:
Pendapat yang tepat (rajih) -Allah yang lebih mengetahui- ialah pendapat yang pertama. Ini kerana tidak terdapat hadis sahih mahupun daif yang menyebut bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut di dalam solat selain daripada solat fardhu. Bahkan riwayat yang sahih menunjukkan bahawa baginda hanya membaca qunut nazilah dalam solat fardhu. Doa qunut merupakan ibadah khusus yang dibaca pada waktu yang khusus. Maka pendapat yang menyatakan bahawa ia boleh dibaca dalam solat selain solat fardhu memerlukan kepada dalil yang menerangkannya. Antara yang memilih pendapat ini ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah.

(Rujuk: Ibn Uthaimin, al-Syarah al-Mumti’, 4/56).


Bila hendak berdoa- sebelum atau selepas rukuk?

Dalam hal ini terdapar tiga pendapat di kalangan para ulamak:

Pendapat pertama: Ulamak mazhab Syafie, mazhab Hanbali, satu pendapat dari kalangan ulamak mazhab Hanafi dan Maliki: Qunut dibaca selepas daripada rukuk.

Dalilnya ialah hadis riwayat al-Bukhari bermaksud: “Anas ditanya: Adakah Rasulullah saw membaca doa qunut dalam solat subuh? Jawab Anas: Ya, iaitu selepas rukuk”.

Pendapat ini dipilih oleh sekumpulan para ulamak antaranya ialah Ibn al-Munzir, Ibn Hazm, al-Azim Abadi dan selain mereka. 

(Rujuk: Nail al-Awtar 1/632, Subul al-Salam 1/224).

Pendapat kedua: Pendapat yang masyhur mazhab Maliki dan satu pendapat dalam mazhab Hanafi: Qunut dibaca sebelum daripada rukuk.

Hujah mereka ialah Rasulullah saw membacanya sebelum rukuk. Begitu juga dengan Uthman bin Affan, berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik (yang telah disebutkan sebelum ini).

Pendapat ketiga: Salah satu pendapat mazhab Maliki dan Hanbali: Boleh dipilih sama ada dibaca sebelum atau selepas rukuk.

Dalilnya ialah hadis riwayat Humaid, katanya: Anas ditanya tentang bacaan qunut dalam solat subuh. Jawabnya: “Kami membaca qunut sebelum rukuk dan ada juga selepasnya”. (Riwayat Ibn Majah (1183).

Pendapat yang tepat:
Pendapat yang tepat -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat ketiga. Imam boleh memilih sama ada untuk membacanya sebelum atau selepas rukuk. Pendapat ini juga berdasarkan amalan sebahagian sahabat seperti Umar dan Uthman. Pendapat inilah yang dipilih oleh al-Bukhari, Ibn Hajar, Syeikh al-Islam, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, al-Albani.


Adakah imam membaca qunut nazilah dengan suara yang kuat (jahar) atau perlahan (sir)?

Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini.

Pertama: Pendapat para ulamak mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie(bukan pendapat yang tepat) iaitu imam perlu membaca doa qunut ini secara perlahan.

Mereka berdalilkan ayat 55, surah al-A’raf:

 ”Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.”

Kedua: Pendapat para ulamak dari mazhab Syafie (pendapat yang masyhur), mazhab Hanbali dan satu pendapat dari mazhab Hanafi iaitu qunut dibaca dengan kuat (jahar).

Mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah membaca doa qunut dengan suara yang kuat (seperti hadis-hadis yang telah dinyatakan sebelum ini).

Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang lebih tepat -Allah yang lebih mengetahui- ialah pendapat kedua iaitu disunatkan imam untuk membaca qunut nazilah dengan suara yang kuat dalam semua solat fardhu.

Pendapat ini berdasarkan hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa baginda saw menyaringkan suaranya ketika membaca qunut.

Terdapat juga hadis Ibn Abbas yang menunjukkan bahawa para makmum yang dibelakang baginda mengaminkan doa qunut tersebut. Dan hal ini berlaku hanya jika imam membacanya secara kuat.


Bolehkah doa qunut nazilah ketika solat berseorangan?

Dalam persoalan ini, terdapat empat pendapat di kalangan para ulamak:

Pendapat pertama: Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali: Tidak boleh membaca qunut nazilah kecuali hanya pemimpin utama umat Islam di dalam sesebuah negara Islam. (Rujuk: Al-Syarh al-Kabir 4/136)

Pendapat kedua: Pendapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan satu riwayat dari mazhab Hanbali: Doa qunut ini boleh dibaca oleh semua imam yang menjadi imam solat jemaah. (Rujuk: Hashiyah Ibn ‘Abidin 2/390, al-Istizkar 5/175, al-Majmu’ 3/461, al-Insaf 4/136)

Pendapat ketiga: Satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan satu pendapat daripada Syeikh Ibn ‘Uthaimin: Setiap orang yang menunaikan solat fardhu boleh membaca doa qunut ini, sama ada imam, makmum atau pun yang solat bersendirian. (rujuk: Majmu’ al-Fatawa 23/111)

Pendapat keempat: Satu pendapat di kalangan ulamak mazhab Hanbali dan Ibn ‘Uthaimin: Doa qunut ini adalah khas dengan izin pemimpin, jika pemimpin memberi arahan, maka ia dibaca. (Rujuk: al-Furu’ 1/484)

Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang rajih -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat yang ketiga (satu pendapat dari Imam Ahmad  dan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam) iaitu doa qunut boleh dibaca oleh semua orang yang sembahyang; imam, makmum dan juga yang sembahyang secara berseorangan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Syeikh Ibn Baz.

Pendapat ini berdasarkan dalil hadis riwayat al-Bukhari (maksudnya): “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat”. Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan Nabi saw di dalam solat adalah disyariatkan untuk semua kaum muslimin secara umum. Tidak ada pula dalil lain yang mengkhususkan bahawa qunut nazilah ini hanya boleh dibaca oleh imam sahaja atau pemimpin utama umat Islam.

Malah terdapat riwayat lain yang menunjukkan beberapa orang sahabat yang turut membaca qunut ini sedangkan mereka bukanlah pemimpin utama umat Islam ketika itu. Antaranya ialah Abu Hurairah, Anas, Ibn Abbas, al-Barra’, Muawiyah dan lain-lain lagi.


Bolehkah wanita yang solat fardhu di rumah secara berseorangan membaca qunut nazilah?

Syeikh Abdullah bin Jibrin pernah ditanya tentang soalan ini. Jawapannya: Wanita yang solat fardhu dirumah boleh membaca doa qunut nazilah. Ini berdasarkan dalil-dalil yang umum daripada al-Quran dan sunnah yang menunjukkan pensyariatan membaca doa.


Perbincangan tentang ayat 128, surah Ali Imran

Apakah sebab diturunkan ayat 128, surah Ali Imran?

“Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang ang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah)”.

Ibn al-Jauzi di dalam kitab Zad al-Masir, menyebut beberapa pandangan tentang sebab ayat ini diturunkan, antaranya ialah:

1) Rasulullah saw telah tercedera dalam peperangan Uhud, luka dahinya sehingga mengalir darah di mukanya. Lalu baginda berkata: Bagaimana hendak berjaya bagi satu kaum yang telah sanggup bertindak sebegini kepada nabi mereka. Baginda berdoa ke atas mereka itu. Maka turunlah ayat ini. Ini ialah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan dan Qatadah.
  
2) Rasulullah saw melaknat ke atas golongan munafik. Maka turunlah ayat ini. Ini pendapat Ibn Umar.
  
3) 70 orang sahabat dari ahli suffah pergi kepada dua kabilah daripada bani Sulaim iaitu ‘Usaiyah dan zakwan. Lalu mereka semua dibunuh. Maka Nabi saw pun mendoakan ke atas kabilah tersebut selam empat puluh hari. Lalu turunlah ayat ini. Ini adalah pendapat Muqatil bin Sulaiman.


Apakah maksud ayat ini?

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-‘Azim, ayat ini bermaksud segala urusan adalah kembali kepada Allah, seperti firmanNya (bernaksud):

 ”Maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang Kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka”. (al-Ra’d: 40)

 ” Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). (al-Baqarah: 272)

“Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”. (al-Qasas: 56)


Adakah ayat ini telah memansuhkan qunut nazilah?

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jami’ li ahkam al-Quran, bahawa sesetengah golongan menganggap bahawa ayat ini telah memansuhkan qunut yang dibaca oleh Nabi saw selepas rukuk pada rakaat terakhir dalam solat Subuh. Mereka berhujah dengan hadis Ibn Umar yang beliau mendengar Nabi saw menyebut dalam solat Subuh, selepas mengangkat kepala daripada rukuk bacaan “Allahuma rabbana walaka al-hamd fi al-akhirah”, kemudian baginda membaca “Wahai Allah, laknatlah si fulan dan sifulan”. Lalu, Allah menurunkan ayat ini (ali imran: 128). Hadis ini telah diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim daripada hadis abu Hurairah.

Namun, ini bukanlah bermaksud telah berlakunya mansukh. Tetapi Allah swt ingin memberi peringatan kepada NabiNya bahawa segala urusan tidak ditentukan oleh baginda. Dan baginda tidak mengetahui sesuatu pun daripada perkara yang ghaib melainkan apa yang telah diajarkan kepadanya. Sesungguhnya segala ketentuan itu kembali kepada Allah. Allah akan menerima taubat dari sesiapa yang dikehendaki, dan akan mempercepatkan hukuman ke atas sesiapa yang dikehendakinya.

(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/129)

Maka, pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah digalakkan untuk membaca qunut nazilah ketika berlakunya apa-apa musibah. Pendapat yang menyatakan bahawa qunut nazilah telah dimansuhkan dengan ayat ini adalah pendapat yang kurang tepat (marjuh).


Bolehkah mendoakan laknat ke atas orang kafir?

Dibolehkan mendoakan laknat ke atas orang kafir dalam qunut nazilah dan menyatakan golongan tertentu di dalam doa sama ada doa kebaikan atau pun doa laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipilih oleh kebanyakkan para ulamak, antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad, Ibn Hibban, Ibn Battal, Ibn Qudamah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, al-Nawawi, Ibn Hazm, Ibn ‘Asyur dan al-Sana’ni.

Telah thabit daripada  sebahagian sahabat seperti Umar dan Abu Hurairah yang mendoakan laknat ke atas orang kafir. (seperti hadis yang telah disebutkan sebelum ini)

Al-Hafiz Ibn Hajar juga membahaskan perkara ini di dalam Fath al-Bari, di dalam bab doa untuk kaum musyrikin. Rumusan daripada perbahasan tersebut, boleh berdoa laknat ke atas kaum musyrikin dan hukum ini tidak mansuh. Ada pun yang dilarang ialah doa ke atas orang kafir yang ada harapan untuk melembutkan hati mereka supaya menerima agama Islam….(Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab al-Da’wat, Bab al-Dua’ lil musyrikin, 11/234).

Oleh itu, dalam hal mendoakan laknat ke atas golongan kafir ini, boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

Pertama: Orang kafir yang memerangi orang Islam; maka dibolehkan untuk mendoakan laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipegang oleh kebanyakan para ulamak.

Kedua: Orang kafir yang menghormati agama Islam, tidak memerangi orang Islam dan dilihat ada harapan untuk melembutkan hati mereka supaya menerima Islam; maka tidak boleh untuk mendoakan laknat ke atas mereka. Malah, didoakan supaya mereka ini mendapat hidayah dan bertaubat.

Inilah kesimpulan daripada gabungan dan penyelerasan di antara dalil-dalil yang berkaitan perkara ini.


Bolehkah mendoakan laknat ke atas seseorang orang kafir secara khusus?

Para ulamak berbeza pendapat dalam perkara ini. Menurut pendapat Syeikh Ibn Uthaimin, beliau membawakan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah, ayat 89:

“Maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu”.

Menurut beliau, di antara pengajaran ayat ini ialah orang kafir layak untuk mendapat laknat Allah dan ianya suatu yang pasti. Berdasarkan ayat ini, sebahagian ulamak menjadikannya dalil bahawa boleh untuk mendoakan laknat ke atas orang kafir secara khusus. Tetapi tidak ada dalil tentang perkara ini. Ini kerana ayat di atas menyebut laknat ke atas orang kafir secara umum dan ia pula adalah suatu pernyataan daripada Allah swt. Tidak semestinya dengan pernyataan ini, dibolehkan juga untuk berdoa.

Antara bukti yang menunjukkan bahawa tidak boleh untuk mendoakan laknat ke atas seseorang kafir secara khusus ialah Nabi saw pernah mendoakan laknat ke atas si fulan dan si fulan yang terdiri daripada pemimpin orang kafir. Lalu Allah melarang perbuatan baginda. Ini kerana, jika seseorang kafir itu masih hidup, kemungkinan dia akan mendapat hidayah Allah. Sekiranya dia telah mati, maka Nabi saw pernah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu mencerca orang yang telah mati….” (Riwayat al-Bukhari)

Di tempat yang lain Allah swt berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (al-Baqarah:159)

Diantara pengajaran ayat ini ialah dibolehkan untuk mendoakan laknat ke atas golongan yang menyembunyikan ilmu, secara umum. Tidak didoakan secara khusus kepada individu tertentu. Ini kerana doa secara khusus ke atas individu tertentu tidak dibolehkan walaupun ke atas mereka yang termasuk dalam golongan yang layak mendapat laknat. Sebabnya, tidak diketahui bagaimanakah keadaan dia akan mati. Kemungkinan dia akan mendapat hidayah Allah, sepertimana peringatan Allah kepada baginda Nabi saw:

“Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) Dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka” (ali-imran, 128).


Renungan:

Jika kita perhatikan ayat ini sebaik mungkin, maka tidak terdapat larangan secara jelas. Tetapi ianya menunjukkan suatu adab yang tinggi dan manhaj yang kental dalam berhadapan dengan situasi kekalahan dan memohon pertolongan daripada Allah. Ayat ini diturunkan dalam keadaan umat Islam berhadapan dengan situasi yang getir dalam peperangan Uhud. Suasana ini sangat memberi kesan yang pedih kepada pejuang Islam ketika itu. Lalu, dalam keadaan itu, Rasulullah saw berdoa keburukan ke atas pihak musuh. Seolah-olah baginda telah menutup sinar hidayah daripada golongan tersebut disebabkan apa yang telah mereka lakukan. Jadi, dibimbangi kaum muslimin akan menganggap bahawa sebab utama tertewas dalam peperangan itu disebabkan golongan musuh yang didoakan laknat itu, bukanlah disebabkan mereka itu mengingkari arahan Rasul. Lalu diturunkan ayat tersebut.

Kemudian disebutkan sebab yang sebenarnya disebalik kekalahan itu. Allah swt berfirman maksudnya:

“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat…(Ali Imran, ayat 152).

Ayat ini menerangkan sebab yang sebenar disebalik kekalahan tersebut. Seakan-akan Allah ingin menyatakan bahawa  tidak ada manfaat jika kamu melaknat mereka untuk meraih pertolongan dan janganlah kamu menjauhkan mereka dari hidayah semata-mata untuk menghilangkan kesedihan kamu.

Dari sudut yang lain, kita perlu faham bahawa dalam menghadapi serangan dan cengkaman pihak musuh, tidak cukup sekadar berdoa dan mengutuk mereka sahaja. Tetapi, seluruh umat ini harus bertindak dan berusaha memperjuangkan agamanya. Semangat jihad perlu ditiupkan sentiasa dalam jiwa sanubari umat ini. Tidak hanya sekadar duduk di atas tikar sembahyang, khusyuk berzikir membilang biji tasbih sambil mengharapkan musuh-musuh Islam ditewaskan. Para generasi agung salaf al-soleh adalah golongan yang soleh dan semestinya ketaqwaan mereka jauh lebih mulia dari kita. Mereka yang telah dijamin mendapat keredhaan Allah ini juga tidak hanya duduk di dalam masjid beribadat dan berzikir. Tetapi, mereka  tetap keluar berdakwah, berjuang di medan jihad demi menegakkan agama. Sejarah Islam telah mencatatkan kisah perjuangan mereka sebagai taudalan kepada generasi seterusnya.

Marilah kita hulurkan bantuan kita kepada para pejuang yang ikhlas membela kebenaran dan mempertahankan bumi Palestin tercinta. Biar jutaan peluru dihambur, tetapi semangat juang mereka tidak pernah luntur. Malah semakin banyak strategi yang disusun atur. Ramai musuh durjana yang gugur tersungkur. Oleh itu, sokongan dan bantuan kita juga mesti dihulur. Jangan mudah mengalah dan berasa lemah. Membaca qunut nazilah bukan beerti menyerah kalah Berusahalah, kemudian kita pasrah dan berserah kepada Allah yang Maha Gagah.  

_
Hujung Entri:
@ Pesan penulis, beliau mengalu-alukan sebarang pembetulan jika ada maklumat yang tidak tepat.
@ Sudah agak lama tak hadir kuliah Ustaz..