8.7.14

Ramadhan 10: Anjuran Bersolat Tahajjud

Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.

Maksudnya:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, no: 1163.

            Tahajjud terbentuk dari kata dasar hajjada yang bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Maka katatahajjadtu bermaksud saya telah membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.

            Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani rahimahullah:

Imam al-Thabari berkata: “Tahajjud adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu.”… Ibnu Faris berkata: “Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari.” Sedangkan al-Kurra’ menyatakan: “Tahajjudadalah solat malam secara khusus.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203.

Oleh itu solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir (iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai penutupnya.

Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman Allah SWT:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa’ (17) : 79

Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan: “Firman-Nya “kerjakanlah solat Tahajjud padanya” bermaksud berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.

Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam terakhir disandarkan kepada sabda Rasulullah SAW:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ.

يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.

Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145.

Selanjutnya Nabi SAW juga bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ

أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.

Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, zikir-zikir, permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardu ini dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.

_
Nota Hujung:
*Petikan ini ditulis oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus dan disemak oleh Ustaz Mohd Fikri Che Hussain.
*Apa khabarmu, duhai Ghazzah (غزّة)?
*25 tahun ke belakang - tanggal 10 Ramadhan, yang sedang menulis ini dilahirkan ke dunia.
Ya Allah, berkahilah kami.