Dari Ya’la bin Mamlak, ia berkata:
"Aku bertanya kepada Ummu Salamah r.a mengenai cara
Rasulullah SAW membaca Al-Quran. Ummu Salamah menjelaskan, ‘Rasulullah SAW
membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan'".
(HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Hadis hasan)
Qatadah berkata:
Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Bagaimanakah cara
Rasulullah SAW membaca Al-Quran?" Jawab Anas, "Baginda SAW
memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid)."
(HR. Al-Bukhari, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, An-Nasa’i
dan Ahmad. Hadis sahih)
Ummu Salamah r.a berkata:
Rasulullah
SAW memotong bacaan baginda (pada setiap ayat). Baginda SAW membaca الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ
الْعَالَمِينَ lalu
berhenti. Kemudian, baginda SAW membaca الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ lalu berhenti lagi. Selepas itu, baginda SAW
membaca مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ .
(HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah. Hadis
sahih)
`Abdullah bin Abi Qais r.a berkata:
Aku bertanya kepada `A’ishah r.a mengenai bacaan
Nabi SAW: “Adakah baginda membaca secara
perlahan atau pun kuat?”
Beliau menjawab: “Baginda pernah membaca dengan
kedua-dua cara. Kadang-kala baginda membaca dengan perlahan. Dan
kadang-kala baginda membaca dengan kuat.”
Aku membalas: “Seluruh pujian kepada Allah yang
memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini.”
(Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah,
Nasa’i dan Ahmad)
`Abdullah bin Mughaffal r.a berkata:
Aku melihat Nabi SAW duduk di atas
tunggangannya pada hari pembebasan Makkah sambil membaca:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا. لِّيَغْفِرَ
لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ
((Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai
Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang
dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang
terkemudian…))
`Abdullah bin Mugahffal berkata: “Baginda membaca ayat
ini dengan suara yang indah.”
Mu`awiyyah bin Qurrah (seorang daripada yang merekodkan hadith
ini) berkata: “Seandainya orang tidak berkumpul di sekelilingku,
pasti akan kubaca seperti itu” atau “sama indah bacaannya dengan Rasulullah.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi,
Nasa’i dan Ahmad.)
Dari al-Bara’ bin `Azib r.a berkata:
“Aku mendengar Rasulullah SAW membaca pada
waktu `Isya’ surah وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ. Aku belum pernah mendengar seorang pun yang suaranya
lebih merdu dari suara baginda.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
_
Hujung Entri:
Bagaimana tilawah kita dalam Ramadhan ini?
Sudah hampir separuh mushaf? Pulun jom!