Artikel ini telah disediakan oleh:
Ustaz Abdul Razak Muthalib
(Penulis buku 40 Hadis Palsu Popular, Akademi Ramadan: Menuju Puncak Takwa)
(Penulis buku 40 Hadis Palsu Popular, Akademi Ramadan: Menuju Puncak Takwa)
Definisi “qunut”
Sebelum kita bincangkan dengan lebih lanjut, ada baiknya kita mengetahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan “qunut”.
Dari segi bahasa, “qunut” mempunyai banyak makna.
Antaranya ialah taat dan mendirikan perintah Allah, solat, berdiri yang
lama, pengabdian, diam, khusyu’ dan beberapa makna lagi.
(Rujuk: Lisan al-‘Arab 2/73, al-Qamus al-Muhit 158, al-Munjid fi al-Lughah 656).
Dari segi istilah, Ibn ‘Allan menghuraikan maksud
“qunut” di sisi syariat ialah satu nama bagi doa yang dibaca di dalam
solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri. Menurut Syeikh Ibn
‘Uthaimin, qunut ialah satu istilah yang diberikan kepada doa yang
sesuai dengan sesuatu keadaan atau ketika berlakunya sesuatu bencana.
Inilah apa yang dinamakan sebagai qunut nazilah.
(Rujuk: Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari, 2/633. Ibn al-‘Uthaimin, Syarah Bulugh al-Maram, Kitab al-Solat, 224).
Definisi”nazilah”
Kita telah mengetahui makna “qunut” secara ringkas, apa pula yang dimaksudkan dengan “nazilah”?
Dari segi bahasa, “nazilah” ialah suatu keadaan yang gawat, mencemaskan dan terdesak.
Dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana
yang menimpa ke atas umat Islam seperti adanya musuh, ketakutan, musim
kemarau, wabak penyakit atau sesuatu mudharat yang jelas menimpa umat
Islam.
Hadis-hadis dan athar tentang qunut nazilah
Setelah diperhatikan kebanyakan riwayat-riwayat yang
menyebut tentang doa qunut nazilah ini, didapati ianya terbahagi kepada
dua bahagian: 1) Riwayat yang sahih, 2) Riwayat yang tidak sahih.
Pertama: Riwayat yang sahih
Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang thabit
daripada Rasulullah saw berkenaan dengan qunut nazilah. Hadis-hadis ini
menjelaskan tentang bagaimana qunut nazilah disyariatkan, tempat
bacaannya, apa yang perlu dibaca, bila ia bermula dan berakhir dan
sebagainya.
Dalam tulisan yang ringkas ini, penulis hanya akan menyebut beberapa contoh penting daripada hadis-hadis tersebut.
a) Riwayat Abu Hurairah r.a:
-
- Abu Hurairah berkata: ((Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahu liman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”. Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf” )). (Riwayat al-Bukhari (no.2600) dan Ahmad 2/239, 396).
Di dalam riwayat Imam Muslim (no. terdapat tambahan doa seperti berikut: ((Ya Allah, laknatilah kabilah Lihyan, Ri’l, Zakwan dan ‘Usaiyah yang telah menderhakai Allah dan juga RasulNya)).
Di dalam hadis ini menceritakan bahawa Rasulullah saw
mendoakan supaya Allah Azza wa Jalla menyelamatkan beberapa orang
sahabat baginda yang masih tinggal di Mekah. Selepas masuk Islam, mereka
itu diseksa dan diazab oleh kafir Quraish. Dengan keberkatan doa
Rasulullah saw, mereka semua selamat dan kemudian terus berhijrah kepada
baginda di Madinah.
-
- Abu Hurairah berkata: “Sesungguhnya aku akan dekatkan solat kalian dengan cara solat Rasulullah”. Abu Hurairah membaca doa qunut pada rakaat terakhir dalam solat Zohor, ‘Isya’, dan Subuh, selepas beliau menyebut: “sami’allahu liman hamidahu”, beliau mendoakan kebaikan kaum mukminin dan laknat ke atas golongan kafir. (Riwayat al-Bukhari (797), Muslim (676).
Dalam riwayat ini, Abu Hurairah menggunakan caranya tersendiri supaya orang lain mencontohi cara solat beliau. Ini kerana cara solat beliau adalah yang paling sama dengan solat Rasulullah saw.
b) Riwayat Anas bin Malik r.a
-
- Muhammad bin Sirin berkata: Anas bin Malik pernah ditanya: Adakah Nabi saw membaca doa qunut dalam solat Subuh? Jawab Anas: Ya. Ditanya lagi: Adakah baginda berqunut sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab: Selepas rukuk dalam tempoh yang sekejap sahaja. (Riwayat al-Bukhari (1001), Muslim (677).
Yang dimaksudkan dengan “tempoh yang sekejap” ialah selama sebulan seperti yang dijelaskan dalam riwayat ‘Asim. Boleh juga dikatakan maksudnya ialah dalam kadar masa yang sekejap sahaja seperti tempoh rukuk dan sujud.
(Lihat: Fath al-Bari 2/632, ‘Aun al-Ma’bud 2/225).
-
- Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selepas daripada rukuk, selama sebulan di dalam solat Subuh, baginda berdoa (laknat) ke atas Bani ‘Usaiyah. (Riwayat Muslim). Di dalam riwayat lain daripada Anas juga, dinyatakan bahawa baginda saw berdoa ke atas Bani Ri’l, Zakwan, dan baginda berkata ‘Usaiyah telah menderhaki Allah dan rasulNya. (Riwayat al-Bukhari (4094), Muslim).
-
- Dalam riwayat lain, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi saw pernah mengutuskan seramai 70 orang yang terdiri daripada para qurra’ (yang alim dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan para qurra’ ini dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut berkata: Demi Allah, bukan kamu semua yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi saw. Kabilah-kabilah tersebut telah menipu dan khianat kepada Rasulullah saw. Mereka telah membunuh semua 70 orang para qurra’ tersebut. Apabila berita ini sampai kepada Nabi saw, baginda amat sedih. Lalu, baginda berdoa (laknat) ke atas kabilah-kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut. (Rujuk kisah ini dalam Sahih al-Bukhari (4088).
- ‘Asim al-Ahwal berkata: Aku bertanya kepada Anas
bin Malik tentang doa qunut, (adakah ia dibaca) dalam sembahyang? Anas
menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Ia dibaca sebelum atau selepas rukuk?
Anas menjawab: Sebelum rukuk. Aku bertanya lagi: Sesungguhnya si fulan
memberitahuku yang engkau pernah menyatakan qunut dibaca selepas rukuk.
Anas berkata: Tidak benar, sesungguhnya Nabi saw membaca doa qunut
selepas rukuk selama sebulan… (iaitu selepas daripada peristiwa Bi’r
Maunah seperti yang disebutkan di atas). (Riwayat al-Bukhari (4096),
Muslim)
c) Riwayat Ibn ‘Abbas
-
- Ibn ‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di penghujung setiap solat, iaitu apabila baginda menyebut “sami’allahu liman hamidah” pada rakaat terakhir, lalu baginda berdoa ke atas kabilah-kabilah dari Bani Sulaim, dan orang yang dibelakang baginda mengaminkannya. Kabilah-kabilah tersebut ialah kabilah yang telah diutuskan kepada mereka (sekumpulan qurra’) untuk mengajarkan mereka agama Islam, lalu mereka membunuh para qurra’ tersebut. ‘Ikrimah berkata: Ini adalah permulaan doa qunut. (Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud (1443). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan)
d) Riwayat Ibn Umar
-
- Salim menceritakan daripada Ibn Umar yang beliau mendengar Nabi saw menyebut di dalam solat Subuh, selepas baginda mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat terakhir: “Allahumma rabbana walaka al-hamd” . Kemudian, baginda berdoa: “Ya Allah, laknatilah si fulan dan si fulan”. Lalu Allah turunkan ayat (yang bermaksud): (( Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah)…(Ali-Imran:128)
-
- Daripada Malik bin Nafi’ katanya: “Sesungguhnya Ibn Umar tidak membaca doa qunut di dalam mana-mana solat”. Daripada sumber Abi al-Sya’tha’ katanya: “Aku bertanya Ibn Umar tentang doa qunut di dalam solat Subuh, beliau berkata: Aku tidak rasakan ada seorang pun yang melakukannya”. (Riwayat Malik di dalam al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih (379).
Maksud hadis ini bahawa Ibn Umar tidak membaca doa qunut di dalam mana-mana solat iaitu tidak membacanya secara berterusan setiap hari, bukanlah menafikannya secara mutlak. Ini kerana terdapat riwayat lain yang menyebut beliau membaca doa qunut di dalam solat witir dan sebagainya.
e) Riwayat al-Barra’ bin ‘Azib
-
- Al-Barra’ bin ‘Azib menyatakan bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut pada solat Subuh dan Zohor. (Riwayat Muslim (678).
f) Riwayat Abu Malik al-Asyja‘ie
-
- Malik al-Asyja‘ie berkata: Aku bertanya ayahku: “Wahai ayahku, sesungguhnya engkau telah bersembahyang di belakang Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Uthman (di Madinah) dan dibelakang Ali di Kufah lebih kurang selama lima tahun. Adakah mereka semua membaca qunut dalam solat Subuh? Jawab ayahku: “Wahai anakku, itu adalah perkara baru dalam agama”.
“Perkara baru dalam agama” yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah melazimkan membaca doa qunut dalam solat Subuh dengan satu doa yang khusus. Manakala membaca qunut nazilah disebabkan sesuatu musibah yang berlaku adalah amalan yang thabit daripada Rasulullah saw dan keempat-empat para khalifah. Oleh itu, difahami daripada hadis ini bahawa Rasulullah saw dan para khalifah tidak melazimkan membaca doa qunut Subuh setiap hari.
Kedua: Riwayat yang tidak sahih
Salah satu riwayat yang tidak sahih, tetapi popular dan sering digunakan sebagai hujah ialah:
Riwayat Abu Ja’far al-Razi, beliau meriwayatkan
daripada al-Rabi’ bin Anas, dan al-Rabi’ meriwayatkan daripada Anas bin
Malik, katanya: ((Rasulullah s.a.w berterusan membaca doa qunut pada
waktu Subuh sehingga baginda berpisah dengan dunia (wafat).))
Dalam satu riwayat lain disebutkan: ((Sesungguhnya
Nabi s.a.w membaca doa qunut selama sebulan, baginda berdoa ke atas
pembunuh para sahabatnya (yang dibunuh) di Bi’ru Mau’nah, kemudian
baginda tidak membacanya lagi. Manakala dalam solat Subuh, baginda terus
membaca doa qunut sehinggalah baginda wafat)).
Hadis ini daif disebabkan kecacatan yang ada pada
perawinya iaitu Abu Ja’far al-Razi. Beliau ialah Isa bin Mahan. Ramai
ulamak hadis telah memberikan komentar tentang dirinya dan menilainya
sebagai seorang yang daif di sisi ulamak hadis. Antaranya ialah Imam
Ahmad, Ibn al-Turkimani, Ibn al-Jauzi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn
al-Qayyim, al-Syaukani, Syuaib dan Abdul Qadir al-Arnaut dan lain-lain.
Hukum membaca qunut nazilah
Jumhur ulamak bersepakat bahawa tidak wajib membaca qunut nazilah, dan meninggalkannya tidak membatalkan solat.
Menurut al-Qurtubi di dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam
al-Quran: ((Al-Tabari menjelaskan bahawa telah menjadi ijma’
meninggalkan qunut nazilah bukanlah perkara yang membatalkan solat)).
(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami’ li ahkam al-Quran, 2/129).
(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami’ li ahkam al-Quran, 2/129).
Ibn ‘Uthaimin di dalam Syarah al-Mumti’ menyatakan:
((Telah ijma’ para ulamak bahawa qunut ini (nazilah) tidak wajib, tetapi
afdhal untuk imam membacanya)).
Rujuk: Ibn ‘Uthaimin, Syarah al-Mumti’, 4/59).
Para fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum membaca qunut nazilah ketika berlakunya sesuatu musibah.
Pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah pendapat para
ulamak dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali iaitu disyariatkan untuk
membaca doa qunut ketika berlakunya musibah. Pendapat ini berdasarkan
dalil-dalil yang telah dinyatakan sebelum ini.
Apa yang perlu dibaca?
Menurut pendapat majoriti ulamak, tidak ada doa
khusus tertentu yang perlu dibaca di dalam doa qunut nazilah. Jadi, doa
yang dibaca ialah apa yang bersesuaian dengan musibah yang berlaku
ketika itu.
(Rujuk: Badai’ al-Sanai’ (1/406), al-Istizkar (2/285), al-Mughni (2/587)
Oleh itu, dalam suasana musibah yang menimpa umat
Islam di Palestin ini, kita boleh berdoa semoga Allah membantu dan
memberikan kemenangan kepada mujahidin di sana. Semoga Allah
menghancurkan kumpulan musuh iaitu Zionis dan Amerika Syarikat. Semoga
pakatan mereka menjadi porak peranda, tentera-tentara mereka menjadi
gementar dan takut dan sebagainya. Semua doa ini dibaca dalam bahasa
Arab.
Bolehkah qunut nazilah dibaca dalam semua solat fardhu?
Para ulamak berbeza pendapat di dalam hal ini.
Menurut pendapat yang rajih, doa qunut nazilah boleh dibaca di dalam
semua solat fardhu. Pendapat inilah dipegang oleh para ulamak mazhab
Syafie, pandangan yang tepat di kalangan ulamak mazhab Hanbali,
sebahagian ulamak mazhab Maliki dan majoriti ulamak hadis.
Pandangan ini berdasarkan hadis-hadis yang telah
dinyatakan sebelum ini. Sebagai contoh, hadis riwayat Ibn Abbas: Ibn
‘Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan
berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh di
penghujung setiap solat… (Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud (1443). Menurut
Al-Albani di dalam kitabnya Irwa’ al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah
hasan).
Jadi, doa qunut nazilah ini boleh dibaca pada rakaat
terakhir dalam semua solat fardhu. Pendapat ini jugalah yang dipegang
oleh Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hazm, al-Syaukani dan lain-lain
lagi.
Bolehkah qunut nazilah dibaca dalam solat-solat sunat?
Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini:
Pertama: Pendapat ulamak Mazhab Maliki dan Hanbali:
Tidak ada bacaan doa qunut dalam solat selain daripada solat fardhu yang
lima.
Kedua: Pendapat ulamak mazhab Syafie: Boleh membaca qunut nazilah dalam solat selain solat fardhu.
Pendapat yang tepat:
Pendapat yang tepat (rajih) -Allah yang lebih
mengetahui- ialah pendapat yang pertama. Ini kerana tidak terdapat hadis
sahih mahupun daif yang menyebut bahawa Rasulullah saw membaca doa
qunut di dalam solat selain daripada solat fardhu. Bahkan riwayat yang
sahih menunjukkan bahawa baginda hanya membaca qunut nazilah dalam solat
fardhu. Doa qunut merupakan ibadah khusus yang dibaca pada waktu yang
khusus. Maka pendapat yang menyatakan bahawa ia boleh dibaca dalam solat
selain solat fardhu memerlukan kepada dalil yang menerangkannya. Antara
yang memilih pendapat ini ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah.
(Rujuk: Ibn Uthaimin, al-Syarah al-Mumti’, 4/56).
Bila hendak berdoa- sebelum atau selepas rukuk?
Dalam hal ini terdapar tiga pendapat di kalangan para ulamak:
Pendapat pertama: Ulamak mazhab Syafie, mazhab
Hanbali, satu pendapat dari kalangan ulamak mazhab Hanafi dan Maliki:
Qunut dibaca selepas daripada rukuk.
Dalilnya ialah hadis riwayat al-Bukhari bermaksud:
“Anas ditanya: Adakah Rasulullah saw membaca doa qunut dalam solat
subuh? Jawab Anas: Ya, iaitu selepas rukuk”.
Pendapat ini dipilih oleh sekumpulan para ulamak
antaranya ialah Ibn al-Munzir, Ibn Hazm, al-Azim Abadi dan selain
mereka.
(Rujuk: Nail al-Awtar 1/632, Subul al-Salam 1/224).
(Rujuk: Nail al-Awtar 1/632, Subul al-Salam 1/224).
Pendapat kedua: Pendapat yang masyhur mazhab Maliki dan satu pendapat dalam mazhab Hanafi: Qunut dibaca sebelum daripada rukuk.
Hujah mereka ialah Rasulullah saw membacanya sebelum
rukuk. Begitu juga dengan Uthman bin Affan, berdasarkan hadis riwayat
Anas bin Malik (yang telah disebutkan sebelum ini).
Pendapat ketiga: Salah satu pendapat mazhab Maliki dan Hanbali: Boleh dipilih sama ada dibaca sebelum atau selepas rukuk.
Dalilnya ialah hadis riwayat Humaid, katanya: Anas
ditanya tentang bacaan qunut dalam solat subuh. Jawabnya: “Kami membaca
qunut sebelum rukuk dan ada juga selepasnya”. (Riwayat Ibn Majah (1183).
Pendapat yang tepat:
Pendapat yang tepat -Allah lebih mengetahui- ialah
pendapat ketiga. Imam boleh memilih sama ada untuk membacanya sebelum
atau selepas rukuk. Pendapat ini juga berdasarkan amalan sebahagian
sahabat seperti Umar dan Uthman. Pendapat inilah yang dipilih oleh
al-Bukhari, Ibn Hajar, Syeikh al-Islam, Ibn Baz, Ibn Uthaimin,
al-Albani.
Adakah imam membaca qunut nazilah dengan suara yang kuat (jahar) atau perlahan (sir)?
Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini.
Pertama: Pendapat para ulamak mazhab Hanafi, Maliki
dan Syafie(bukan pendapat yang tepat) iaitu imam perlu membaca doa qunut
ini secara perlahan.
Mereka berdalilkan ayat 55, surah al-A’raf:
”Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.”
Kedua: Pendapat para ulamak dari mazhab Syafie
(pendapat yang masyhur), mazhab Hanbali dan satu pendapat dari mazhab
Hanafi iaitu qunut dibaca dengan kuat (jahar).
Mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang
menunjukkan bahawa Rasulullah membaca doa qunut dengan suara yang kuat
(seperti hadis-hadis yang telah dinyatakan sebelum ini).
Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang lebih tepat -Allah yang lebih
mengetahui- ialah pendapat kedua iaitu disunatkan imam untuk membaca
qunut nazilah dengan suara yang kuat dalam semua solat fardhu.
Pendapat ini berdasarkan hadis Abu Hurairah yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa baginda saw menyaringkan suaranya
ketika membaca qunut.
Terdapat juga hadis Ibn Abbas yang menunjukkan bahawa
para makmum yang dibelakang baginda mengaminkan doa qunut tersebut. Dan
hal ini berlaku hanya jika imam membacanya secara kuat.
Bolehkah doa qunut nazilah ketika solat berseorangan?
Dalam persoalan ini, terdapat empat pendapat di kalangan para ulamak:
Pendapat pertama: Pendapat yang masyhur dalam mazhab
Hanbali: Tidak boleh membaca qunut nazilah kecuali hanya pemimpin utama
umat Islam di dalam sesebuah negara Islam. (Rujuk:
Al-Syarh al-Kabir 4/136)
Pendapat kedua: Pendapat mazhab Hanafi, Maliki,
Syafie dan satu riwayat dari mazhab Hanbali: Doa qunut ini boleh dibaca
oleh semua imam yang menjadi imam solat jemaah. (Rujuk: Hashiyah Ibn
‘Abidin 2/390, al-Istizkar 5/175, al-Majmu’ 3/461, al-Insaf 4/136)
Pendapat ketiga: Satu riwayat dalam mazhab Hanbali,
pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan satu
pendapat daripada Syeikh Ibn ‘Uthaimin: Setiap orang yang menunaikan
solat fardhu boleh membaca doa qunut ini, sama ada imam, makmum atau pun
yang solat bersendirian. (rujuk: Majmu’ al-Fatawa 23/111)
Pendapat keempat: Satu pendapat di kalangan ulamak
mazhab Hanbali dan Ibn ‘Uthaimin: Doa qunut ini adalah khas dengan izin
pemimpin, jika pemimpin memberi arahan, maka ia dibaca. (Rujuk: al-Furu’
1/484)
Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang rajih -Allah lebih mengetahui- ialah
pendapat yang ketiga (satu pendapat dari Imam Ahmad dan yang dipilih
oleh Syeikh al-Islam) iaitu doa qunut boleh dibaca oleh semua orang yang
sembahyang; imam, makmum dan juga yang sembahyang secara berseorangan.
Pendapat inilah yang dipilih oleh Syeikh Ibn Baz.
Pendapat ini berdasarkan dalil hadis riwayat
al-Bukhari (maksudnya): “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku
solat”. Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan Nabi saw di
dalam solat adalah disyariatkan untuk semua kaum muslimin secara umum.
Tidak ada pula dalil lain yang mengkhususkan bahawa qunut nazilah ini
hanya boleh dibaca oleh imam sahaja atau pemimpin utama umat Islam.
Malah terdapat riwayat lain yang menunjukkan beberapa
orang sahabat yang turut membaca qunut ini sedangkan mereka bukanlah
pemimpin utama umat Islam ketika itu. Antaranya ialah Abu Hurairah,
Anas, Ibn Abbas, al-Barra’, Muawiyah dan lain-lain lagi.
Bolehkah wanita yang solat fardhu di rumah secara berseorangan membaca qunut nazilah?
Syeikh Abdullah bin Jibrin pernah ditanya tentang
soalan ini. Jawapannya: Wanita yang solat fardhu dirumah boleh membaca
doa qunut nazilah. Ini berdasarkan dalil-dalil yang umum daripada
al-Quran dan sunnah yang menunjukkan pensyariatan membaca doa.
Perbincangan tentang ayat 128, surah Ali Imran
Apakah sebab diturunkan ayat 128, surah Ali Imran?
“Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad)
dalam urusan (orang-orang ang ingkar) itu, (kerana urusan mereka
tertentu bagi Allah)”.
Ibn al-Jauzi di dalam kitab Zad al-Masir, menyebut beberapa pandangan tentang sebab ayat ini diturunkan, antaranya ialah:
1) Rasulullah saw telah tercedera dalam peperangan
Uhud, luka dahinya sehingga mengalir darah di mukanya. Lalu baginda
berkata: Bagaimana hendak berjaya bagi satu kaum yang telah sanggup
bertindak sebegini kepada nabi mereka. Baginda berdoa ke atas mereka
itu. Maka turunlah ayat ini. Ini ialah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan dan
Qatadah.
2) Rasulullah saw melaknat ke atas golongan munafik. Maka turunlah ayat ini. Ini pendapat Ibn Umar.
3) 70 orang sahabat dari ahli suffah pergi kepada dua
kabilah daripada bani Sulaim iaitu ‘Usaiyah dan zakwan. Lalu mereka
semua dibunuh. Maka Nabi saw pun mendoakan ke atas kabilah tersebut
selam empat puluh hari. Lalu turunlah ayat ini. Ini adalah pendapat
Muqatil bin Sulaiman.
Apakah maksud ayat ini?
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran
al-‘Azim, ayat ini bermaksud segala urusan adalah kembali kepada Allah,
seperti firmanNya (bernaksud):
”Maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu
hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang Kami turunkan kepadamu; dan
urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka”. (al-Ra’d: 40)
” Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad)
menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu
hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi
petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya). (al-Baqarah: 272)
“Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia
menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah
petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang
Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk
Islam)”. (al-Qasas: 56)
Adakah ayat ini telah memansuhkan qunut nazilah?
Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jami’ li
ahkam al-Quran, bahawa sesetengah golongan menganggap bahawa ayat ini
telah memansuhkan qunut yang dibaca oleh Nabi saw selepas rukuk pada
rakaat terakhir dalam solat Subuh. Mereka berhujah dengan hadis Ibn Umar
yang beliau mendengar Nabi saw menyebut dalam solat Subuh, selepas
mengangkat kepala daripada rukuk bacaan “Allahuma rabbana walaka al-hamd
fi al-akhirah”, kemudian baginda membaca “Wahai Allah, laknatlah si
fulan dan sifulan”. Lalu, Allah menurunkan ayat ini (ali imran: 128).
Hadis ini telah diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim daripada hadis abu
Hurairah.
Namun, ini bukanlah bermaksud telah berlakunya
mansukh. Tetapi Allah swt ingin memberi peringatan kepada NabiNya bahawa
segala urusan tidak ditentukan oleh baginda. Dan baginda tidak
mengetahui sesuatu pun daripada perkara yang ghaib melainkan apa yang
telah diajarkan kepadanya. Sesungguhnya segala ketentuan itu kembali
kepada Allah. Allah akan menerima taubat dari sesiapa yang dikehendaki,
dan akan mempercepatkan hukuman ke atas sesiapa yang dikehendakinya.
(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/129)
Maka, pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah
digalakkan untuk membaca qunut nazilah ketika berlakunya apa-apa
musibah. Pendapat yang menyatakan bahawa qunut nazilah telah dimansuhkan
dengan ayat ini adalah pendapat yang kurang tepat (marjuh).
Bolehkah mendoakan laknat ke atas orang kafir?
Dibolehkan mendoakan laknat ke atas orang kafir dalam
qunut nazilah dan menyatakan golongan tertentu di dalam doa sama ada
doa kebaikan atau pun doa laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipilih
oleh kebanyakkan para ulamak, antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad,
Ibn Hibban, Ibn Battal, Ibn Qudamah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn
al-Qayyim, al-Nawawi, Ibn Hazm, Ibn ‘Asyur dan al-Sana’ni.
Telah thabit daripada sebahagian sahabat seperti
Umar dan Abu Hurairah yang mendoakan laknat ke atas orang kafir.
(seperti hadis yang telah disebutkan sebelum ini)
Al-Hafiz Ibn Hajar juga membahaskan perkara ini di
dalam Fath al-Bari, di dalam bab doa untuk kaum musyrikin. Rumusan
daripada perbahasan tersebut, boleh berdoa laknat ke atas kaum musyrikin
dan hukum ini tidak mansuh. Ada pun yang dilarang ialah doa ke atas
orang kafir yang ada harapan untuk melembutkan hati mereka supaya
menerima agama Islam….(Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab al-Da’wat,
Bab al-Dua’ lil musyrikin, 11/234).
Oleh itu, dalam hal mendoakan laknat ke atas golongan kafir ini, boleh dibahagikan kepada dua keadaan:
Pertama: Orang kafir yang memerangi orang Islam; maka
dibolehkan untuk mendoakan laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipegang
oleh kebanyakan para ulamak.
Kedua: Orang kafir yang menghormati agama Islam,
tidak memerangi orang Islam dan dilihat ada harapan untuk melembutkan
hati mereka supaya menerima Islam; maka tidak boleh untuk mendoakan
laknat ke atas mereka. Malah, didoakan supaya mereka ini mendapat
hidayah dan bertaubat.
Inilah kesimpulan daripada gabungan dan penyelerasan di antara dalil-dalil yang berkaitan perkara ini.
Bolehkah mendoakan laknat ke atas seseorang orang kafir secara khusus?
Para ulamak berbeza pendapat dalam perkara ini.
Menurut pendapat Syeikh Ibn Uthaimin, beliau membawakan firman Allah
Taala dalam surah al-Baqarah, ayat 89:
“Maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu”.
Menurut beliau, di antara pengajaran ayat ini ialah
orang kafir layak untuk mendapat laknat Allah dan ianya suatu yang
pasti. Berdasarkan ayat ini, sebahagian ulamak menjadikannya dalil
bahawa boleh untuk mendoakan laknat ke atas orang kafir secara khusus.
Tetapi tidak ada dalil tentang perkara ini. Ini kerana ayat di atas
menyebut laknat ke atas orang kafir secara umum dan ia pula adalah suatu
pernyataan daripada Allah swt. Tidak semestinya dengan pernyataan ini,
dibolehkan juga untuk berdoa.
Antara bukti yang menunjukkan bahawa tidak boleh
untuk mendoakan laknat ke atas seseorang kafir secara khusus ialah Nabi
saw pernah mendoakan laknat ke atas si fulan dan si fulan yang terdiri
daripada pemimpin orang kafir. Lalu Allah melarang perbuatan baginda.
Ini kerana, jika seseorang kafir itu masih hidup, kemungkinan dia akan
mendapat hidayah Allah. Sekiranya dia telah mati, maka Nabi saw pernah
bersabda bermaksud: “Janganlah kamu mencerca orang yang telah mati….”
(Riwayat al-Bukhari)
Di tempat yang lain Allah swt berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa
yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk
hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci,
mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.”
(al-Baqarah:159)
Diantara pengajaran ayat ini ialah dibolehkan untuk
mendoakan laknat ke atas golongan yang menyembunyikan ilmu, secara umum.
Tidak didoakan secara khusus kepada individu tertentu. Ini kerana doa
secara khusus ke atas individu tertentu tidak dibolehkan walaupun ke
atas mereka yang termasuk dalam golongan yang layak mendapat laknat.
Sebabnya, tidak diketahui bagaimanakah keadaan dia akan mati.
Kemungkinan dia akan mendapat hidayah Allah, sepertimana peringatan
Allah kepada baginda Nabi saw:
“Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad)
Dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka
tertentu bagi Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka” (ali-imran,
128).
Renungan:
Jika kita perhatikan ayat ini sebaik mungkin, maka
tidak terdapat larangan secara jelas. Tetapi ianya menunjukkan suatu
adab yang tinggi dan manhaj yang kental dalam berhadapan dengan situasi
kekalahan dan memohon pertolongan daripada Allah. Ayat ini diturunkan
dalam keadaan umat Islam berhadapan dengan situasi yang getir dalam
peperangan Uhud. Suasana ini sangat memberi kesan yang pedih kepada
pejuang Islam ketika itu. Lalu, dalam keadaan itu, Rasulullah saw berdoa
keburukan ke atas pihak musuh. Seolah-olah baginda telah menutup sinar
hidayah daripada golongan tersebut disebabkan apa yang telah mereka
lakukan. Jadi, dibimbangi kaum muslimin akan menganggap bahawa sebab
utama tertewas dalam peperangan itu disebabkan golongan musuh yang
didoakan laknat itu, bukanlah disebabkan mereka itu mengingkari arahan
Rasul. Lalu diturunkan ayat tersebut.
Kemudian disebutkan sebab yang sebenarnya disebalik kekalahan itu. Allah swt berfirman maksudnya:
“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya
(memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh
mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah
(hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam
urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah
Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu
sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang
menghendaki akhirat…(Ali Imran, ayat 152).
Ayat ini menerangkan sebab yang sebenar disebalik
kekalahan tersebut. Seakan-akan Allah ingin menyatakan bahawa tidak ada
manfaat jika kamu melaknat mereka untuk meraih pertolongan dan
janganlah kamu menjauhkan mereka dari hidayah semata-mata untuk
menghilangkan kesedihan kamu.
Dari sudut yang lain, kita perlu faham bahawa dalam
menghadapi serangan dan cengkaman pihak musuh, tidak cukup sekadar
berdoa dan mengutuk mereka sahaja. Tetapi, seluruh umat ini harus
bertindak dan berusaha memperjuangkan agamanya. Semangat jihad perlu
ditiupkan sentiasa dalam jiwa sanubari umat ini. Tidak hanya sekadar
duduk di atas tikar sembahyang, khusyuk berzikir membilang biji tasbih
sambil mengharapkan musuh-musuh Islam ditewaskan. Para generasi agung
salaf al-soleh adalah golongan yang soleh dan semestinya ketaqwaan
mereka jauh lebih mulia dari kita. Mereka yang telah dijamin mendapat
keredhaan Allah ini juga tidak hanya duduk di dalam masjid beribadat dan
berzikir. Tetapi, mereka tetap keluar berdakwah, berjuang di medan
jihad demi menegakkan agama. Sejarah Islam telah mencatatkan kisah
perjuangan mereka sebagai taudalan kepada generasi seterusnya.
Marilah kita hulurkan bantuan kita kepada para
pejuang yang ikhlas membela kebenaran dan mempertahankan bumi Palestin
tercinta. Biar jutaan peluru dihambur, tetapi semangat juang mereka
tidak pernah luntur. Malah semakin banyak strategi yang disusun atur.
Ramai musuh durjana yang gugur tersungkur. Oleh itu, sokongan dan
bantuan kita juga mesti dihulur. Jangan mudah mengalah dan berasa lemah.
Membaca qunut nazilah bukan beerti menyerah kalah Berusahalah, kemudian
kita pasrah dan berserah kepada Allah yang Maha Gagah.
Hujung Entri:
@ Pesan penulis, beliau mengalu-alukan sebarang pembetulan jika ada maklumat yang tidak tepat.
@ Sudah agak lama tak hadir kuliah Ustaz..
@ Sudah agak lama tak hadir kuliah Ustaz..