25.5.11

Permintaan

Panggilan
Bas Rapid KL U70 dipandu laju membelah kawasan hiruk-pikuk berdekatan Sentral KL. Saya berjalan menuju ke laluan berbumbung di sepanjang bahu jalan yang sibuk. Setelah tiba di laluan tersebut, saya menghayun langkah dengan pantas. Mahu segera sampai di bangunan hab bas tersohor itu. Namun, cita-cita saya untuk tiba awal di Sentral KL terhalang.

Seorang perempuan berbadan gempal berdiri sambil menghulurkan kertas kepada orang-ramai yang lalu-lalang di sepanjang laluan kecil itu. Lagaknya saling tak tumpah seperti seorang jurujual. Kasihan perempuan itu. Tiada siapa yang menyambut hulurannya. Langkah saya semakin mendekati kawasan tempat perempuan itu berdiri. Pada awalnya, saya tidak merancang untuk mengambil kertas yang berwarna-warni itu dari tangannya. Tetapi, entah mengapa tangan saya spontan menarik kertas yang dihulurkan itu. Seperti biasa, saya meneruskan perjalanan.

Sejurus saya menyambung langkah, perempuan berkulit putih itu bersuara, “Adik!” Dia memanggil tidak putus-putus. Tanpa merasakan diri dipanggil, saya terus berjalan kaki. Laju. Saya berjalan dan terus berjalan. Namun, suara perempuan berbangsa cina itu semakin kuat kedengaran dari arah belakang. Bunyi derapan tapak kasut kedengaran di belakang saya.

“Adik, tunggu!” Perempuan itu memanggil. Saya memandang ke belakang sambil berjalan. Dia kelihatan kepenatan kerana berlari-lari anak mengejar orang yang dipanggilnya. Tangannya melambai-lambai. Saya tidak tahu dengan siapa dia berkomunikasi. Saya meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan panggilan dan keadaannya. Semakin saya bergerak ke hadapan, suara perempuan itu semakin kedengaran.

‘Dia panggil akukah?’ getus hati kecil saya.

Ishh! Takkanlah.’ Saya menafikan persoalan tadi.

‘Boleh jadi dia panggil aku kerana kertas ini. Hhm, entahlah.’ Saya berteka-teki sendiri.

Rayuan
Perjalanan menuju ke Sentral KL diteruskan. Langkah saya semakin laju apabila menyedari bahawa saya sudah terlewat. Sekali lagi perempuan tadi memanggil. Saya meneruskan langkah. Tidak lama kemudian, perempuan itu berada di sebelah saya. Dia menahan saya, meminta saya untuk berhenti berjalan. Saya tetap tidak menghiraukan permintaannya. Bukan tidak mahu melayan, tapi pada zaman sekarang ini macam-macam jenayah telah berlaku. Siapa tahu kalau perempuan muda ini cuma berlakon dan sudah ada strategi untuk melakukan jenayah?

Kaki saya semakin pantas melangkah setelah menyedari perempuan itu mengekori saya. Terasa mahu sahaja saya mengangkat kaki berlari.

“Adik, tunggulah. Adik, tunggulah.”

Saya berjalan sambil menolak dengan permintaannya dengan baik. Saya sedang bergegas untuk bersolat Asar dan perlu tiba di Gombak sebelum 6.15 petang. Sudah berjanji dengan teman mahu berjumpa di stesen LRT Gombak. Berkali-kali saya menolak, berkali-kali juga perempuan itu memanggil dan meminta saya berhenti. Tanpa belas kasihan, saya terus berjalan.

“Adik, please. Adik, please. Please, please.” Perempuan itu merayu. Seperti ada perkara penting yang mahu disampaikan.

Mendengar suranya yang semakin lemah, saya memperlahankan langkah. ‘Salahkah kalau aku tidak memenuhi permintaannya?’ Saya bertanya sendirian sambil berjalan perlahan.

Suara perempuan tadi masih kedengaran. ‘Aku berpakaian sebegini membawa nama muslimah tapi bersikap tidak baik terhadap perempuan cina itu, tidak baikkah? Patutkah tindakanku ini? Sedangkan sepatutnya aku mendakwahinya dengan tingkah laku yang menyenangkan, bukan menyesakkan.’

“Adik, oh adik. Tunggu sekejap ooo.” Dia merayu lagi.

Kasihan
Tersedar kerana silap, kasihan melihat perempuan tadi tercungap-cungap, saya akhirnya berhenti. Saya mengalah. Kepala saya menoleh ke belakang dan ke arahnya. Ya Allah! Jauhnya saya membiarkan perempuan tadi berlari. Kasihan sungguh saya melihat dirinya. Dia kelihatan termengah-mengah kepenatan mengejar saya.

“Adik, thank you aaa,” ujar perempuan muda itu dengan wajah yang tersenyum. Ucapannya disambut dengan kerutan di dahi saya. Hairan.

‘Oh, barangkali dia gembira kerana saya telah berhenti daripada terus berjalan dan dia sudah tidak perlu mengejar saya.’ Saya mengagak di dalam hati.

You tadi ambil kertas inikan?” Dia bertanya saya sambil tangannya menunjukkan kertas yang dipegangnya.

“Ya,” jawab saya sepatah.

You koyak ini kertas, you buka and tengok apa gambar dalam.” Dia memberi arahan. Lidahnya tidak fasih berbahasa Melayu. Tindakannya yang bersungguh-sungguh mengejar saya sebentar tadi benar-benar membuatkan saya terpinga-pinga. Geram ada, kasihan pun ada.

“Buka.” Dia meyuruh saya mengoyakkan kertas yang saya pegang. Saya yang masih terpinga-pinga mengoyak kertas tersebut dengan sangat lambat.

Ayo, mari sini saya buka.” Pinta perempuan itu tidak sabar.

“Adik, you mahu pergi mana?” Dia bertanya sambil tangannya sibuk mengoyak kertas tadi.

“Saya mahu pergi sekolah.” Saya menjawab dengan nada bersahaja.

“Eh, sekolah ada masuk pukul empat kah?”

Allah! Saya tersilap sebut. “Hhm, saya mahu pergi kampus lah.”

“Kampus? Apa tu?” Kali ini dahi dia pula yang berkerut.

“Kampus. Maksud saya, universiti.”

“Oh, I see.” Dia mengangguk-angguk. Saya diam membisu.

Sorry, aaa. I ambil masa you sikit. Sikit saja.” Dia meminta maaf, mahu menyedapkan hati saya yang memang tidak berminat mahu mendengar kata-katanya dari tadi.

“Adik, macam ini aaa. You buka ini kertas, you tengok ada gambar apa. Kalau gambar ada tulis ‘Thank You’ you boleh tanda tangan and pergi. Tapi, kalau ada gambar bulat warna, you kena tengok kat sini apa warna bulat itu. Okey, you buka sikalang.” Dia meminta saya membuka.

“Bukalah. Buka. Jangan risau, tak ada apa-apa,” tambahnya cuba meyakinkan saya.

Nasib
Demi menurut kehendaknya dan dengan harapan agar perempuan itu segera berhenti daripada agendanya, saya membuka kertas yang telah dikoyak tadi. Ada bulatan berwarna perak. Tertulis di sisi kirinya ‘Special Gift’. Saya melihat tanpa perasaan sementara perempuan cina tadi melihat dengan penuh teruja. Senyumannya melebar ke tepi hampir mencecah telinga. Gigi putihnya yang tersusun rapat jelas kelihatan.

You pernah pergi Mid Valley tak sebelum ni?”

“Tak.”

“Tahniah ooo. You menang ini peraduan. Nanti aaa, you pergi Mid Valley you scan ini gambar bulat, you akan dapat nombor. Kalau nombor satu, dua, tiga, you dapat hadiah kereta. Kalau nombor empat, you dapat  iPad jenama Apple. Kalau nombor lima, you dapat laptop. Macam tu juga untuk yang lain-lain. Nanti kami bagi you senarai hadiah ini. Tapi, sebelum itu, you kena contact I dulu aaa. You dapat hadiah kereta, I janji I bawa you belanja makan.”

Perempuan itu memberi penerangan dengan panjang-lebar. Sekali-sekala rambutnya yang panjang paras bahu berterbangan ditiup angin yang terbina oleh tenaga kinetik kenderaan-kenderaan besar yang meluncur laju. Dia kemudiannya menulis nama dan nombor telefon bimbit di atas kertas yang saya pegang.

Sah! Saya sudah terkena. Lembaran yang disangka kertas iklan jualan langsung rupa-rupanya adalah kertas peraduan imbas dan menang.

‘Habislah aku!’ getus saya setelah diberitahu bahawa saya konon-kononnya pemenang peraduan imbas dan menang yang diajurkan oleh syarikat tempat dia bekerja.

You ada bawa ATM card?”

Saya diam, berkerut sahaja.

I tanya, you ada bawa ATM card.

Saya tidak menjawab. Bisu seribu satu bisu. Mata saya melilau ke tempat lain. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Melihat-lihat orang di sekeliling. Mana tahu kalau ada orang mencurigakan di sekitar tempat itu. Lama saya membiarkan perempuan itu menanti jawapan saya. Dia yang kelihatan sabar menunggu seolah-olah memaksa saya menjawab pertanyaannya.

“Saya tak bawa kad ATM.” Saya menjawab.

‘Eh, haah. Aku bawa kad ATM atau tak ya?’ Saya sendiri tidak pasti.

Ait! You tinggal di mana? Takkan you keluar rumah tak bawa ATM card?” tanyanya pelik.

Saya tersenyum melihat dirinya yang kehairanan. “Saya tinggal di Puchong. Saya ada cash money,” jawab saya jujur.

“Oh, tak apalah. I cuma mahu bagitahu you pasal ini hadiah. Kalau you dapat ini hadiah kereta and kami minta you masuk gambar untuk pamhplete macam ini, you ada susah?” Dia bertanya, meminta saya membuat keputusan.

Spontan saya mengangguk. “Susah!” Saya menjawab, serius bunyinya.

Okey, tak apalah kalau you tak mahu.” Dia reda dengan keputusan saya.

Musykil
Semakin lama saya berdiri di laluan itu, semakin banyak orang melaluinya. Macam-macam orang ada. Ada yang memakai beg sandang di belakang, ada yang menarik beg besar segi empat, ada juga yang hanya memegang tas tangan dan beg kertas. Orang berkulit hitam, putih, coklat muda, sawo matang, kuning langsat, semuanya ada. Pandangan saya tertumpu kepada seorang wanita yang sedang berjalan menghampiri tempat saya dan perempuan cina tadi berdiri.

“Hi, you!” Seorang wanita melayu berbaju kurung kebaya lengkap bertudung menegur perempuan cina yang dari tadi berdiri di sebelah saya.

“Hi!” Perempuan cina itu menyahut sapaannya dengan senang. “You dari mana?”

“Dari office,” jawab wanita melayu ringkas. Ada beg tangan hitam tersangkut di bahu kirinya.

“Oh, awalnya you keluar office!” ujar perempuan cina.

Wanita melayu tadi hanya tersenyum. Dia tidak menyambut kata-kata perempuan cina itu.

“Hah! Adik ini menang peraduan ini. Dia dapat special gift. Please say congratulation to her.

Wanita melayu tadi menghulurkan tangan sambil mengucap tahniah kepada saya, sementara perempuan cina tadi senyum-senyum sahaja. Suka agaknya. Perbualan sesama mereka diteruskan. Saya memerhati dua wanita berusia pertengahn dua puluhan itu berborak. Si perempuan cina kelihatan sudah lama mengenali wanita melayu. Akan tetapi, anehnya riak si wanita melayu sedikitpun tidak menunjukkan bahawa dia sudah lama berkenalan dengan perempuan cina. Dia kelihatan kekok. Saya menjadi hairan. Seketika kemudian, wanita melayu berbadan kecil itu meminta diri. Perempuan cina tadi mengangguk memberi kebenaran. Pandangan perempuan cina kemudiannya diarahkan ke muka saya. Adegan perbualan antara perempuan cina dan wanita melayu tadi seolah-olah menjadi babak lakonan mereka berdua. Sengaja dibuat-dibuat. Saya menjadi musykil.

“Kakak tadi pernah jadi customer I. Dia dulu menang juga macam you. Tapi dia cuma dapat laptop sahaja.”

Saya mendengar kata-katanya dengan menunjukkan rasa kurang senang. Namun, perempuan cina itu langsung tidak menghiraukan reaksi saya. Dia seakan-akan tidak faham dengan keadaan saya yang terburu-buru.

Adik, you kena bayar dulu RM 1,500 sikalang. Bila you dah pergi scan, you akan dapat hadiah yang you menang. Kalau you dapat kereta, you dah tak perlu bayar apa-apa. You cuma bayar road tax sahaja. I ulang, road tax sahaja. I berani sumpah.”

Saya diam. Berani-berani perempuan ini bersumpah. ‘Ya Allah! Lepaskanlah aku daripada tipu daya ini, selamatkanlah aku daripada menjadi mangsa jenayah.’ Saya berdoa di dalam hati.

Pasrah
“Tadi you kata you tak bawa ATM card, tapi you ada bawa cash money kan?” Pertanyaannya dibalas dengan anggukan. Jujur. Saya benar-benar sudah tidak larat melayan kerenahnya.
“Dalam cash money you ada berapa? Ada lebih RM 1,500?”

Saya menggeleng. Sekali lagi saya memerhati orang-orang di sekeliling. Takut-takut ada peragut atau penjenayah lain yang menjadi kroni perempuan ini. Tawakkal saya semakin meninggi. Pasrah meredah apa sahaja yang bakal berlaku.

“RM 1,500 pun tak ada?”

“Tak!” Saya bertegas.

Okeylah. Tak apalah. Terima kasih aaa. Sorry, I ambil masa you.” Dia akhirnya melepaskan saya daripada terus melayan kerenahnya.

Saya tersenyum lega. ‘Alhamdulillah!’

Saya Mahu Kamu Tahu
Jurujual, maafkan saya kerana bersikap acuh tidak acuh dengan permintaan kamu. Saya langsung tidak bermaksud membiarkan kamu kepenatan berlari mengejar saya.  Saya tahu kamu bekerja. Tetapi, saya tidak tahu kamu bekerja untuk mencari pelanggan atau mencari mangsa. Saya cukup berhati-hati dengan ragam manusia di luar sana termasuk kamu. Apabila kamu bertanya tentang kad ATM dan wang tunai, saya mencurigai kamu. Benar-benar curiga. Kecurigaan saya bertambah apabila ada seorang wanita melayu datang menegur kamu. Tidak ada apa yang terlintas di fikiran saya ketika itu kecuali jenayah dan doa.

Jurujual, maafkan saya. Saya bukan orang bodoh gila harta yang boleh ditipu bulat-bulat. Saya bukan orang kaya yang masih berwang setelah dikebas duitnya. Saya bukan wanita yang gagah perkasa menangkis serangan para penjenayah. Andai sahaja saya dipukul, diragut ataupun ditipu, manfaat apa yang akan kamu dapat selain berbuat jenayah? Kesalahan kamu kesalahan besar! Jenayah menipu, barangkali juga jenayah ragut dan pukul.
Semoga kamu memafkan saya dan semoga Allah memaafkan saya, serta menurunkan hidayah kepada kamu. Amin.

_
Nota Entri: 
*Cerita di atas adalah pengalaman penulis. Disiarkan agar kita mengambil iktibar dan sentiasa berwaspada.
*musykil : ragu