21.10.13

Taufiqullah

bismillah..
Moga penulisan ini menjadi ibadah. Amin.
"Agaknya, apa yang membuatkan para sahabat di zaman Rasulullah SAW mampu untuk terus istiqomah dalam keimanan dan tsabat dalam amal dakwah?" 
"Apa yang membuatkan mereka teguh sekalipun bersendirian menjadi utusan Rasulullah SAW di luar Makkah mahupun di luar Madinah?"
Saya dihujani soalan-soalan tersebut. Basah kain baju gara-gara terkena tempias hujan di luar masih belum hilang, kini ditambah pula dengan hujan soalan. Kitab motivasi tarbiyah berkulit tebal direnung. Seolah-olah cuba mencari jawapan di sebalik helaian yang membina. Hati tertanya-tanya, otak pula berusaha mengimbas ahadith Rasulullah SAW dan aathar as-sahabah yang pernah membicarakan hal ini.

Tiga puluh saat yang berlalu, saya ditinggalkan dengan dua soalan yang mengetuk pintu memori pengetahuan sirah. Memori yang sedikit tidak mampu mendatangkan ilham. Ilmu yang dangkal tidak dapat memberikan jawapan. Inilah kelemahan manusia yang memiliki daya ingatan yang terbatas. Sesungguhnya, Allah SWT lah Al-'Alim. Dialah Tuhan kita yang Maha Mengetahui.
"Sahabah termotivasi kerana keimanan mereka yang mendalam. Al-iman al-'amiq."
Akhirnya, saya cuba menebak.
"Benar. Apa yang membuatkan mereka memiliki keimanan seperti itu?" 
"Taufiqullah. Taufiq daripada Allah SWT. Inilah perkara utama yang membuatkan para sahabat tetap beriman dan beramal. Subhanallah, mereka sedikitpun tidak mengeluh apabila diperintahkan untuk berkorban, berjihad dan sebagainya. Taufiq Allah SWT adalah nikmat dan kurniaan yang sangat besar bagi orang-orang yang baik dan benar. Oleh yang demikian, mohonlah taufiq daripada Allah SWT agar kita sentiasa terpelihara dan terdorong."
Perbicaraan demi perbicaraan diteruskan sehinggalah saya menemui penghujung waktu pertemuan.

Definisi Taufiq [Ejaan dewan: taufik]
Kalimah taufiq berasal dari perkataan Arab iaitu: Waffaqa, yuwaffiqu dan taufiqan.
وفّق - يوفّق - توفيقًا
 قال أصحابنا المتكلمون: التوفيق خلق قدرة الطاعة والخذلان خلق قدرة المعصية 
[شرح النووي على صحيح مسلم]
Petunjuk yang mendorong menciptakan kuasa ketaatan, kelengahan menciptakan kuasa kemaksiatan.
[Syarh Imam Nawawi terhadap Sahih Muslim]


 التَّوْفِيقُ من الله للعبد : سَدُّ طريق الشَّرّ وتسهيلُ طريق الخير
[المعجم الوسيط]
Taufiq daripada Allah kepada hamba: menutup jalan kejahatan dan mempermudah jalan kebaikan
[Mu'jam al-Wasit]

Menurut kitab Mutun Jauharatu at-Tauhid, taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut ada dalam dirinya.

Dalam erti kata lain, taufiq adalah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong dan mempermudah seseorang untuk melakukan ketaatan dalam beribadah. Ia tidak akan diberikan oleh Allah SWT melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepada-Nya.

Pendek kata, taufiq ialah daya, dorongan atau semangat. Ada juga yang menterjemahnya sebagai pertolongan, petunjuk, kemenangan dan kesejahteraan. Ringkasnya, maksud-maksud yang dinyatakan di atas memberi faham kepada kita bahawa dengan adanya taufiq, manusia akan cenderung untuk melakukan kebaikan terus-menerus sehingga ke akhirnya.

Tanpa taufiq daripada Allah SWT, menjadi sukar bagi sesorang untuk melakukan kebajikan yang diredhai-Nya kerana tiada daya atau semangat untuk membuatnya. Daya dan semangat itu hanya diberikan Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Firman Allah SWT:

Surah al-'Ankabut: 69
Mafhumnya: “Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk kepada mereka akan jalan-jalan kami.”

Muhasabah
Ketika kita tidak termotivasi untuk beramal, tidak bersemangat untuk bekerja atau mungkin ketika kita mengalami futur sehingga kita meluntur, berasa takutlah kerana barangkali Allah SWT telah mencabut taufiq-Nya dari dalam diri dan jiwa kita sehingga kita sering tidak merasai nikmatnya iman, lazatnya ibadah, indahnya tarbiyah, manisnya dakwah. Bahkan, yang kita rasakan hanyalah kesukaran dan kepenatan. Ruginya kita. Wal'iyadzu billahi..

Kerana taufiqullah ini merupakan daya, dorongan, semangat dan motivasi yang datang daripada Allah SWT, maka ayuhlah berdoa memohon agar kita sentiasa dikurniakan taufiq-Nya. Taufiq inilah yang menjadi bekalan sehingga membuatkan Nabi SAW, para sahabat dan para du'at sesudah mereka memiliki energi yang selalu besar, selalu ada, dan terus ada untuk memperjuangkan dakwah di bumi Rabb mereka.

وفّقنا الله

Nota Entri
Mutun Jauharatu at-Tauhid: Kitab tauhid. Pendekatan penulisannya berbentuk syair Arab. Pengarang kitab ini ialah Al ‘Alim Al ‘Allamah As Syaikh Ibrahim Al Laqqani