13.11.13

Tiang Iman

Source: Google

Hadiah hari ini.
Untuk diri sendiri dan kalian yang saya kasihi,
nikmatilah persembahan entri pendek yang tak seberapa ini.

IMAN umpama cerucuk dan tiang bangunan yang ditanam menjunam jauh ke dalam tanah. Ia menjadi pasak yang kukuh agar bangunan yang dibina menjadi teguh dan tidak roboh.

Biarpun tiang-tiang dan cerucuk-cerucuk yang tertanam itu tidak begitu terzahir pada pandangan mata manusia, namun kewujudannya pasti diketahui dan diakui oleh semua. Bangunan-bangunan yang teguh berdiri cukup membuktikan adanya paksi dari tiang dan cerucuk yang kuat menyokong.

Begitulah iman. Zatnya tidak dapat dilihat, tapi kewujudannya diketahui dan dirasai. Muslim yang benar-benar beriman pasti akan memberi aura yang baik. Dari jauh sudah dirasa kehangatan imannya. Akhlak mulia yang terpancar cukup mempesonakan siapa sahaja yang melihatnya dan memandangnya. Halus budi bicara yang terpacul dari bibir mukmin adalah sesuatu yang membahagiakan dan mendamaikan.

Personaliti yang positif ini terpamer kerana adanya iman dalam diri dan jiwa mukmin. Paksi keimanannya adalah aqidah yang sejahtera. Tiang iman yang ditanam dengan mendalam ia akan mampu menerbitkan paksi aqidah yang kuat dan menguatkan. Sebagai muslim yang ingin meraih syurga, sudah tentu iman seperti ini yang kita perlukan!

Ambil yang baik,
tinggal yang buruk.

Akhlak pekerti kena cantik,
barulah maruah diri tak terkutuk.

Selamat meng'upgrade' iman.