16.7.14

Ramadhan 18: I'tikaf Antara Sunnah Muakkadah Dalam Ramadhan

Definisi I’tikaf

Dari segi bahasa: I’tikaf bermakna berdiam di suatu tempat untuk melakukan sesuatu pekerjaan; yang baik mahupun yang buruk dan tetap dalam keadaan demikian.

Dari segi istilah: I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu. (Lihat Fathul Bari 4 : 344)

Dalil-Dalil Pensyariatan I’tikaf

Dalil al-Quran:
وَلاَ تُـبَاشِرُوْهُنَّ وَأَنْـتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ البقرة : 187
“Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam mesjid.” (Al Baqarah : 187)

Dalil-dalil As-Sunnah:

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِى قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا  
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda beri’tikaf selama dua puluh hari”. [HR. al-Bukhari no. 2044 ]

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .” [HR. al-Bukhari no. 2026 dan Muslim no. 1172]

Hukum I’tikaf

Al-Imam Ibn al-Munzir berkata: Para ulama’ telah bersepakat/ijma’ bahawa I’tikaf adalah sunat, dan bukan kewajipan kecuali jika seseorang bernazar mewajibkan dirinya untuk melakukan I’tikaf. [Al Mughni, 4/456 ]

Al-Imam Ibn Arabi al-Maliki dan Ibn Batthal rahimahumallah menyatakan bahawa I’tikaf merupakan sunnah muakkadah/sunat yang sangat dituntut kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tidak pernah meninggalkannya.

Waktu I’tikaf

I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, dan ia sangat ditekankan pada 10 hari akhir Ramadhan kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sentiasa melakukannya.

Batasan Waktu

Ulama’ bersepakat bahawa I’tikaf tidak mempunyai had masa maksima, akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang minimum waktu I’tikaf.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa tiada masa minima untuk I’tikaf. I’tikaf sah walau hanya duduk seketika di dalam masjid. Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh jumhur ulama’ ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika.” [al-Majmu’, 6/514]

Shaikh Ibn Bazz menyatakan bahawa Imam Ab Hanifah dan sebahagian ulama’ Maliki berpendapat tempoh minima ialah satu hari. [Majmu’ al-Fatawa 15/441]

Adakah Wanita Boleh Beri'tikaf?

Dibolehkan bagi wanita untuk melakukan i’tikaf sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengizinkan istri tercinta beliau untuk beri’tikaf. (HR. Bukhari & Muslim)

Namun wanita boleh beri’tikaf dengan memenuhi 2 syarat :
[1] Diizinkan oleh suami, dan
[2] Tidak menimbulkan fitnah (masalah bagi laki-laki).
(Lihat Shohih Fiqh Sunnah II/151-152) 

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ المُوَفَّقِينَ بِلَيْلَةِ الْقَدْر
"Ya Allah, jadikanlah kami dalam golongan yang diberi taufiq untuk mendapat Lailatul Qadr".

_
Hujung Entri:
@ Muhasabah Ramadhan, berapa peratus target yang sudah dicapai?
@ Tulisan ini diolah dari pelbagai sumber.