5.7.14

Ramadhan 7: Sunnah Qailulah Sebelum Zohor

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico.


Allah SWT berfirman:“Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.” (Surah Al-Furqaan : Ayat 47)

Dalam kitab Fiqhus Sunnah terdapat keterangan sebagai berikut:
“Terdapat sebuah hadis dari Ibnu Umar, beliau berkata, “Kami (para sahabat) pada zaman Rasulullah SAW suka tidur di masjid, kami tidur qailulah (tidur tengah hari) di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.” (Kitab Fiqhus Sunnah; Juz I; Hal. 252)



 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Terjemahan:
Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dapatkanlah kekuatan dengan memakan sahur untuk berpuasa di siang hari dan dengan qailulah (tidur sekejap di siang hari) untuk qiyamulail. (HR Ibn Majah, no: 1693)

Tidur seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadhan, tetapi pada hari biasa khususnya pada musim panas.

Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan qailulah ini agar pada malam harinya mereka boleh bangun untuk mendirikan solat tahajud. Jadi tidur siang atau qailulah ini merupakan kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu.

Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan. 

Allahu a'lam.

_
Hujung Entri:
Sekian, untuk pengetahuan dan amalan bersama.