Di awal sebuah pertemuan, seorang anak halaqah bertanya kepada
murabbiyahnya, “Akak, betulkah Uswah (bukan nama sebenar) akan berkahwin dalam
masa terdekat ini?”
Murabbiyah senyap. Pertanyaan hanya dibalas dengan senyuman.
Respon tanpa suara dengan diam seribu bahasa tidak cukup menyakinkan anak
halaqohnya. Lalu diulang pertanyaan, “Akak, benarkah Uswah akan berkahwin tidak
lama lagi?”
Murabbiyah yang tidak tahu apa-apa, tidak mampu mengiakan
atau menafikan. Dalam hal seperti ini, seharusnya murabbiyah maklum dahulu
sebelum ahli-ahli yang lain. Sang murabbiyah memandang ke arah Uswah dan
mengajukan soalan kepadanya, “Uswah memang mahu kahwinkah dalam masa terdekat ini?”
Uswah yang dari tadi senyap sunyi dengan segan silu
menjawab, “Tidaklah, kak. Saya bergurau sahaja. Tapi sebenarnya, saya memang
mahu bernikah. Kalau boleh dalam tahun depan. Yang penting, sebelum umur saya
menjangkau angka 25.”
Murabbiyah yang ‘ingat-ingat lupa’ bertanya, “Tahun ini, umur
Uswah berapa?”
Jawapan bersahaja, “20 tahun. Tahun depan sudah 21, kak.”
FITRAH INGIN BERPASANGAN
Salahkah Uswah memiliki keinginan dan perancangan sedemikian?
Tidaklah salah andainya pernah terbit keinginan untuk mempunyai pasangan agar kedua-duanya
bisa saling mengasihi dan mencintai, kerana hal ini merupakan fitrah manusia. Bahkan,
fitrah ini perlu disyukuri kerana ia merupakan anugerah yang indah kurniaan
Allah SWT kepada para hamba-Nya.
Bukanlah suatu kesalahan sekiranya merancang untuk membina
rumah tangga muslim ketika di usia yang sangat muda. Bahkan benar, daie itu
bukan seperti sami-sami atau rahib-rahib yang meluruhkan seluruh jiwa dan diri
mereka kepada tuhan berhala yang mereka sembah sehingga tercatit larangan untuk
membina keluarga sendiri iaitu dengan berkahwin.
“Maha Suci Allah Yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri
mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” [Surah Yaa Sin : Ayat
36]
Terjemahan ayat di atas jelas mengkhabarkan bahawa Allah SWT
menciptakan setiap sesuatu itu berpasangan. Islam menjadikan pernikahan sebagai
langkah terhormat untuk meraikan perasaan kasih sayang di antara dua jenis dan
mengangkatnya sebagai ibadah yang cukup mulia.
Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Apabila
seorang hamba menikah, maka sungguh orang itu telah menyempurnakan setengah
agama. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam setengah yang lainnya." [HR
Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam As
Silsilah As Sohihah no. 625]
Cuma, yang menjadi kebimbangan ialah apabila topik baitul muslim
ini seolah-olah menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian sedangkan banyak
lagi perkara yang perlu difikirkan. Sampaikan apabila celik mata sahaja tiada
perkara lain yang difikirkan kecuali tentang calon pasangan idaman dan rupa perkahwinan
yang diimpikan, tanpa memerhatikan naik turun iman dan komitmen diri untuk
menjadi hamba yang lebih baik, yang soleh dan musleh, atau yang solehah dan
muslehah.
AQIDAH, TAQWA: MUWASOFAT YANG PERLU DIPENUHI
Suatu ilmu yang perlu diketahui, asas baitul muslim ialah
aqidah yang salimah dan taqwa. Rumah tangga Islam tidak akan tertegak melainkan
dengan dua perkara tadi. Kesucian hukum-hukum mengenai rumah tangga Islam
berdiri atas kesucian aqidah dan taqwa. Taqwa itulah yang menjinakkan hati-hati
suami isteri, melembutkan tingkah laku, membersihkan jiwa, menyedarkan
tanggungjawab kepada Allah SWT, memudahkan pengurusan, mencegah kejahatan dan
mendorong kepada kebaikan.
Al-marhum Syeikh Mustafa Masyhur membicarakan dalam
asas-asas pembentukan sesebuah rumah tangga Islam, “Dari awal-awal lagi
hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar
takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan
memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini,
menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah,
sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak
menghalanginya, memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana
lamanya dan mendidik anak-anaknya serta membentuk mereka menurut bentuk Islam
yang sebenar-benarnya.
Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan
tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali
seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Iaitu seorang
penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat
menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan
cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang
akan menjadi markas dakwah dan jihad Islam.”
Lalu, bagaimana dengan pengetahuan dan kefahaman aqidah
kita? Sudahkah kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa? Bagaimana pula dengan
komitmen diri kita terhadap amalan doa-doa sahih dan adab-adab Islam dalam
urusan harian? Tepuk dada, tanya iman.
Jika kita masih ragu-ragu menjawab persoalan-persoalan di
atas, sebaiknya kita kembali kepada Allah SWT dengan perbanyakkan istighfar dan
taubat. Pusatkanlah perhatian kita kepada pembentukan diri sebagai fardi muslim
atau muslimah yang sejati. Murnikanlah fikrah dan aqidah. Teruslah mujahadah
menuju tingkat taqwa. Bentuklah karakter diri sehingga menjadi nafas kehidupan
dan karakter kuat yang melekat dalam jwa. Bukan hanya sekadar karaker semu yang
muncul pasang-surut, tenggelam timbul apa adanya.
MENJADI YANG TERBAIK
Anak-anak muda yang tertarbiyah, pernikahan adalah
perjalanan jiwa dan raga. Melintas dunia dan akhirat. Ia merupakan urusan yang
sangat besar. Memerlukan pertimbangan iman yang bukan calang-calang. Kata
orang, rumah tangga adalah syurga dunia. Namun, proses membina pernikahan yang sakinah,
mawaddah wa rahmah serta bahagia
sering tidak semulus yang dibayangkan oleh kebanyakan orang. Oleh yang
demikian, bersiap-siaplah untuk menjadi yang terbaik bagi pasangan kalian.
Tenang-tenang sahaja. Usahlah terlalu memikirkan soal jodoh
dan tergopoh-gapah mengejar impian bernikah, sehingga terlupa bahawa kita
adalah syabab atau fatayat penyambung rantai perjuangan ummah
yang seharusnya membuat pilihan dengan mengambil kira maslahah dakwah. Namun,
jangan pula terlalu takut memulakan langkah pertama dalam menuju pernikahan
hingga kita tertinggal daripada kafilah baituddakwah. Lakukanlah perjalananmu
dalam membina baitul muslim dengan awal yang baik. Permulaan yang terbaik.
Tentukan tujuan perjalanan dan berjalanlah dengan orang yang setujuan pabila
Allah SWT telah menemukan.
Motivasi busyra daripada Allah SWT buat hamba-Nya yang masih
belum berumah tangga; yang menjadi syarat bagi seseorang mukmin atau mukminah agar
memperoleh keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat ialah mati dalam keislaman yang
sebenar-benarnya [rujuk Surah Ali Imran: 102]. Bukan mati sebagai ‘mutazawwijun’
(orang-orang yang berkahwin). Justeru, ayuh kita bersegera membuat persiapan
kematian sebelum mengatur persiapan perkahwinan. Kerana mati itu pasti, sedang
nikah itu rezeki.
Allahu a’lam.
Hujung entri:
*Adik-adik, soalan kalian menjadi motivasi akak. Anak-anak didik, ragam kalian buat ustazah terus berbagi. Terima kasih, ya Allah kerana singgahkan mereka dalam perjalananku menuju redha-Mu.
*Terima kasih kepada yang menerbitkan dan mencetak artikel murah ini.
*Barakallahu fikum!
*Barakallahu fikum!
With love,
Kakak Murabbiyah
Kakak Murabbiyah