12.10.14

Buah Tangan Murabbi

"Betul ini keputusan Kakak?" 
"Ya. Kakak dah bulat dengan keputusan ini." 
"Kalau macam tu, terpulang. Semoga Allah bantu dan permudahkan sampai ke hujungnya." 
"Amin, in shaa Allah. Terima kasih. Apapun yang Allah aturkan di hadapan, in shaa Allah Kakak sedia hadapi dan tak akan salahkan sesiapa." 

Ini dialog tujuh tahun lepas. Ubah hala tuju pendidikan di minggu pertama asasi. Dari bidang perubatan kepada Bahasa Arab. Di Malaysia, dua bidang ini benar-benar terpisah. Begitu juga di negara-negara luar. Lalu, saya harus membuat pemilihan antara dua pilihan. Antara dua cinta dan dua cita-cita. 

Tahun lepas, pada hari seperti hari ini (hari ke-2 konvokesyen UIAM), anugerah 'Sibawayh' yang diterima membuatkan saya terasa memikul satu amanah. Terbit rasa mahu memberi khidmat yang terbaik untuk masa depan ummah. (Sebenarnya malu kerana merasa masih belum layak menerima gelaran ini.)

Bukan anugerah yang mahu dijaja. Tetapi, isi utama yang mahu disampaikan di sini ialah asy-syu'ur bil-mas'uliyyati nahwa al-'ilmi. Rasa bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajari. Ilmu yang kita ada, haknya ialah disampaikan, diajarkan, dan diamalkan sehingga benar-benar dimanfaatkan untuk maslahah umum dan khusus. 

Bodoh atau pandai, pada saya, ini bukanlah ukuran hakiki kejayaan. Ukuran sebenar kejayaan ialah pada tempat akhir kehidupan akhirat kita. Syurga atau neraka. Orang yang berjaya ialah orang diselamatkan daripada seksa neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah yang disebutkan di dalam al-Quran:

 فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ 
[Surah Aali 'Imran: 185] 

Terjemahan: "Ketika itu (hari kiamat) sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." Justeru, marilah kita mengamalkan ilmu dengan lebih baik sehingga Allah meredhai kita dan menjemput kita menjadi ahli syurga-Nya. Harapan saya pada majlis konvokesyen tahun lepas, "Semoga Allah membantu para graduan dalam menjadi hamba-Nya yang terbaik, yang akan membahagiakan ibu bapa di akhirat sepertimana bahagianya mereka pada hari ini." 

*** 
Kata 'Aisyah r.a, Nabi s.a.w apabila melihat (sampai kepada beliau) perkara yang menyenangkan, beliau mengucapkan:

 الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات 
"Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihaat" 
-yang bermaksud: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna." 

dan apabila beliau s.a.w melihat (sampai kepada beliau) sesuatu yang tidak beliau sukai, beliau s.a.w mengucapkan:
 الحمد لله على كل حال 
"Alhamdulillahi a'la kullihal" 
-yang bermaksud: "Segala puji bagi Allah atas semua keadaan."

Hadis hassan: HR Ibnus Sunni dalam 'Amalul Yaum wal Lailah (no.378), Ibnu Majah (no.3803), dan al-Hakim (i/499), di hasankan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah (no.265) 

*** 
Sampai hari ini, 'Sibawayh' masih tak melupakan 'Ibn Sina'. 


Hadiah untuk anak halaqah yang bergraduasi tahun ini.
*** 
Tahniah buat semua graduan. Bersyukurlah dengan memuji Allah dan mentaati-Nya, juga dengan berbakti kepada ibu bapa kalian.
سيروا على بركة الله 

*** 
Semoga pada tahun hadapan saya dapat pakai robe dengan two lines di tangan. Amin!