11.11.21

Belajar Daripada Anak Didik

Sesi persekolahan pada kali ini tidak seperti biasa. Tempoh kelas bersemuka disingkatkan bagi mengurangkan jumlah masa pertemuan fizikal. Bagi pihak pengurusan, inilah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 di sekolah tempat saya berkhidmat. Oleh yang demikian, kelas Tahap Tujuh atau Tingkatan Satu yang sebelum ini berakhir pada pukul 4:00 petang, kini bersurai tiga jam setengah lebih awal. Bermakna, para pelajar pulang ke rumah masing-masing pada pukul 12:30 tengah hari.

Sesi pembelajaran tidak berhenti di situ. Meskipun pelajar pulang awal, pembelajaran masih diteruskan di sebelah petang secara kendiri. Setiap hari, pelajar akan diberi tugasan untuk dilakukan di rumah masing-masing. Taklimat disampaikan sebaiknya dalam sesi Morning Circle atau sebelum mereka berangkat pulang.

Tugasan bagi pelajar-pelajar kelas Tahap Tujuh pada hari semalam ialah menyelesaikan pembacaan kendiri dan menuliskan sesuatu selepas selesai membaca. Pada kebiasaannya, mereka diminta untuk membuat rumusan kandungan buku yang dibaca secara bertulis dalam bentuk perenggan. Namun, pada kali ini saya membuat sedikit kelainan. Saya meminta pelajar untuk berkongsi tentang isi pembelajaran dalam bentuk yang lebih mudah menggunakan bullet point. Setiap pelajar ditugaskan untuk menulis sekurang-kurangnya tiga perkara yang dipelajari daripada kandungan buku yang dibaca di dalam kumpulan WhatsApps kelas.

Satu demi satu respons diterima. Daripada pelbagai jawaban yang dihantar, saya cukup terkesan dengan perkongsian ini kerana pengajaran yang dikongsikan ibarat kata-kata semangat yang deep dan menusuk jiwa.





Setiap tugasan yang diberi kepada pelajar bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan kaedah pentaksiran, tetapi juga melatih mereka berfikir bagi meluaskan pemikiran tentang sesuatu situasi dan menghasilkan output secara lisan ataupun bukan tulisan.  

Sebagai warga pendidik, tugas hakiki kami bukan sahaja mengajar kurikulum yang tersedia mengikut ketetapan masa yang dijadualkan, bahkan juga memanusiakan anak-anak didik dengan menyemai dan memupuk nilai-nilai murni atau pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakukan mereka dalam kehidupan.

Apabila pelajar belajar daripada gurunya, hal ini bukanlah sesuatu yang asing kerana peranan guru sememangnya mengajar dan mendidik. Pelajar datang kepada guru untuk menuntut ilmu pula adalah sesuatu yang wajar dan lumrah. Namun, fenomena yang sebaliknya boleh sahaja berlaku iaitu guru belajar daripada pelajarnya. 

Inilah peristiwa yang saya alami semalam. Belajar daripada respons yang menginspirasi. Kenyataan yang saya lalui ini menunjukkan bahawa pendidik juga - saya secara khususnya - memerlukan peringatan dari segi kata-kata semangat yang boleh membangkitkan motivasi diri serta membentuk pola fikir yang positif seterusnya mengarahkan tindakan kepada yang lebih baik.

Wahai, anak-anak didikku,
Teruslah bertumbuh menjadi pepohon yang kuat, yang menjadi pasak di pergunungan umat.

Guru yang masih berguru,
Teacher Nisa

“True teachers are those who use themselves as bridges over which they invite their students to cross; then, having facilitated their crossing, joyfully collapse, encouraging them to create their own.” – Nikos Kazantzakis