8.11.21

Kembali

bismillah

Entri ini adalah tulisan pertama saya setelah genap tujuh tahun blog ini tiada perkembangan. Sepanjang tujuh tahun lalu, saya sebenarnya sudah cuba mendaftar masuk akaun Blogger dengan banyak kali percubaan. Namun semuanya gagal.

Tujuh tahun adalah suatu tempoh yang sangat lama. Jika blog ini adalah anak saya, sudah tentu dia kini berada di Darjah Satu. Dalam Islam, usia tujuh tahun dianggap sebagai umur kecerdikan. Istilahnya yang masyhur, mumaiyiz. Bermaksud, kanak-kanak yang sudah sempurna akalnya dan dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. 

Selama tidak dapat masuk ke blog sendiri, saya hanya mampu mengunjunginya dan membaca semula semua tulisan lama yang ada. Tulisan-tulisan lama yang dibaca membawa saya kembali ke dunia lampau lalu mengenali diri sendiri; siapa, apa, di mana, bila, mengapa dan bagaimana saya pada ketika itu. Kemudian, membandingkan diri sendiri; antara yang lama dengan yang baharu. Bukan untuk dikesali, tetapi untuk dipelajari. 

Alhamdulillah, syukur. Pada kali ini, dengan izin-Nya dapat saya mendaftar masuk menggunakan akaun sendiri tanpa sebarang pertukaran kata laluan. Entah di mana silapnya semasa percubaan-percubaan dahulu. Yang pasti, keinginan yang kuat untuk kembali menulis di sini mendorong saya untuk mencuba lagi dengan pelbagai cara.

Menulis bagi saya, bukan sekadar coretan atau catatan tentang kehidupan. Bahkan, dunia penulisan adalah salah sebuah medium untuk menyampaikan ilmu dan membina pemikiran bangsa. Selain saya berharap agar dapat meraih pahala jariah dan ganjaran daripada-Nya.

Kerana saya adalah seorang wanita normal - yang fitrahnya suka berkongsi rasa dan cerita (haha), maka saya akan terus merakamkannya di sini menjadi memori. In shaa Allah.

Kerana saya adalah seorang pendidik - yang mahu menanam budaya ilmu dan menyebar kebaikan agar mengakar dalam masyarakat sehingga terbangunnya kualiti umat, maka saya akan terus melakukannya di sini dalam bahasa tulisan. In shaa Allah.

Hanya kepada-Mu lah aku memohon kudrat,
Hanya kepada-Mu jualah aku meminta semangat.

"Demi pena dan apa yang mereka tulis."
(Al-Qalam: 1)

"Let me live, love, and say it well in good sentences."
- Sylvia Plath