21.6.11

Indah Manusia Pada Bahasa


Kadang-kadang keluar bahasa yang tidak indah dari mulut kita. Tidak sedap didengar. Bahkan tidak enak ditelan. Sesiapa sahaja yang mendengarnya, dia pasti akan menutup habis corong telinganya. Betapa sumbang irama yang dihasilkan oleh getar peti suara yang kurang ajar. Bila ditegur, makin jadi melenting. Berkeras lagi.

Kadang-kadang kita tidak sedar. Ada jiwa-jiwa yang berungutan lantas memutuskan tali ikatan persaudaraan dan hubungan berkasihan. Lari ke dalam dunia yang konon-kononnya aman, tapi hakikatnya penuh dengan kesakitan. Dada mereka sesak. Mulut mereka bisu. Mata mereka buta. Telinga mereka tuli. Kasihannya, orang-orang ini sering sahaja digeruni.

Komunikasi. Ini keperluan kita. Ini keperluan kesihatan fizikal dan mental kita sebagai manusia. Memang tidak dinafikan, ada manusia yang kurang siuman gara-gara memencilkan diri di bumi dan duduk terperuk dalam galaksi ciptaan sendiri. Bukan itu sahaja, malahan penyakit kurang siumannya itu mula membarah. Lebih parah lagi apabila semua manusia menjauhi dirinya dek rasa takut yang menghantui, sedangkan insan bernasib sebegini haruslah didekati. Ada juga yang perasan besar, berlagak pandai sehingga dalam bercakap pun main hentam tibai. Langsung tidak beralas, asal maksud sampai. Sakit tersinggung orang, tua muda orang sedikit pun tidak dinilai.

Mengasingkan diri. Islam TIDAK meminta kita melakukannya sehingga kita langsung tidak peduli apa sahaja yang berlaku di tempat sendiri apalagi di bumi yang terhampar luas ini. Memang benar Rasulullah s.a.w menghabiskan masa beruzlah sendiri di Gua Hira’, menjauhkan diri daripada masyarakat Arab yang dibaluti karat tebal jahiliyah. Jika baginda tidak berkomunikasi dalam kelompok masyarakat baginda sendiri, sudah tentu baginda tidak bersendiri di gua berbarakah itu. Sekiranya Rasulullah s.a.w yang kita rindui itu tidak kembali ke dalam kelompok masyarakat baginda setelah diturunkan 'ayat-ayat cinta' Ilahi, maka sudah pasti Islam tidak sampai ke hati kita kini.

Berkasar bahasa. Islam TIDAK juga menyuruh kita berbicara ikut kehendak hati sehingga orang-orang yang kita cintai melarikan diri. Tetapi, Islam yang kita anuti mendidik kita agar berbudi. Bertuturlah dengan sopan agar telinga yang mendengar menjadi senang. Bersantunlah dalam percakapan moga dengannya hati menjadi tenang. Mari kita soroti sepotong nasihat daripada 'dia' yang kita rindui.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
HR Bukhari dan Muslim

Dalam hadith ini, dikatakan bahawa orang yang beriman mestilah berbicara sesuatu yang bermanfaat atau diam sahaja sekiranya tidak punya apa-apa modal buat dijaja. Sabda baginda lagi, orang beriman mestilah memuliakan tetangganya. Tidak cukup dengan itu, mesti juga memuliakan tetamunya.

Sejak dahulu saya mahu menjadi muslimah mukminah. Cita-cita saya besar. Mahu tinggal berjiran dengan 'dia' di syurga. 'Dia' akan memuliakan saya sebagai tetangganya atau setidak-tidaknya saya yang memuliakan 'dia' sebagai tetangga saya. Tapi, untuk mencapai cita-cita itu, saya perlu terus-menerus memperbaiki iman, juga amal saya. Murabbiyah saya kata, amal mestilah berkadar langsung dengan iman dan begitulah sebaliknya!

Semoga kalian membantu saya dengan izin-Nya. Amin, amin, amin. 


Nota Entri:
*beruzlah: mengasingkan diri, bersendiri
*mukminah: perempuan beriman
*murabbiyah: pendidik perempuan

___________________________________________________________________________________
KHAYR ANNISA @ khayrannisa.blogspot.com 
"Hidup mati biarlah untuk-Nya"

2 comments:

nadz said...

sedar. TQ

mysharah said...

syukron perkongsian bermanfaat.. cmne nak berjiwa besar ye? harap dpt share. syukron~