23.6.11

Titis Gerimis


Ada keresahan yang tidak mampu kita ubati meski telah membuat temu janji dengan ahli psikologi. Ada kerenyahan yang tidak dapat kita hindari meski telah menghadiri majlis-majlis dzikrullah wa dzikrul’ilmi.

Bukan doktor psikologi itu yang salah, tetapi kita yang tidak mencermati setiap butir kata yang diberi. Tidak ikhlas berusaha memperbaiki diri. Bukan juga majlis zikir yang salah, tetapi sikap batin kita yang tidak merendah hati saat menghadirinya. Kita datang hanya kerana ingin mencari keasyikan menangis. Tidak cukup dengan itu, kita tidak sungguh-sungguh dalam mengingatinya-Nya.

Kita tahu, menangis saat beribadah adalah sebahagian tanda mencintai Allah. Oleh sebab itu, kita berusaha meraih tandanya dengan menumpahkan air mata. Kononnya, air gerimis yang menitis dari pohon mata kita menceritakan kecintaan kita kepada-Nya. Padahal butir kaca yang terbentuk di kolam mata itu hanyalah tulisan pudar yang mahu dibuat label pada diri. Kita menangis bukan kerana benar-benar mencintai-Nya, bukan kerana takut dengan azab-Nya. Kita menangis kerana mahu ditanda sebagai orang yang mencintai-Nya.

Aduh, ruginya kita! Saat pahala mengalir tidak henti-henti, kita terkial-kial menadah dengan tangan kiri dalam keadaan hilang sebelah kaki. Kudung kaki yang kanan, maka tangan kanan pula sibuk memegang tongkat buat mengimbangi. Sifat tamak menghantui tanpa disedari membuatkan kita berlari-lari tanpa menoleh kanan dan kiri sehingga dilanggar niat yang tidak diperbaharui. Akhirnya, pahala yang tertadah di tangan kidal itu jatuh berhamburan dan kita telah kewalahan untuk menadah lagi.

Tiada salahnya kita berusaha untuk menangis. Bahkan itu yang dianjurkan kepada kita untuk melakukannya. Menangis itu keperluan kerana ia sebahagian fitrah perasaan. Menangis itu kepuasan kerana ia sebahagian pelepas tekanan. Menangis itu juga kenikmatan kerana ia sebahagian anugerah Tuhan.

Salah kita pada sebab kita menangis. Niat kita bukan kerana Dia. Maka, titik halus yang jatuh tidak putus-putus di pipi mengalir tanpa erti. Menitis bukan secara semulajadi, bahkan tiada rasa takut yang menyertai. Sedarilah, Tuhan kita memang tidak boleh dibohongi. Sungguh!

Istighfar. Istighfar. Istighfar. Doa. Istighfar lagi.

Semoga Allah membersihkan hati. Kita bukannya utusan mulia yang dibawa malaikat suci ke telaga zamzam yang diberkati untuk dibelah dada buat dibersihkan hati. Kita bukannya Muhammad yang dikurniakan mukjizat keramat. Kita manusia biasa yang selalu leka. Selalu lupa. Sekali lagi, doa. Istighfar lagi.  

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah. 
Semoga Allah mendengar istighfar ini.


Nota Entri:
*kerenyahan: kegelisahan
*dzikrullah wa dzikrul’ilmi: mengingati Allah dan menyebut ilmu
*kewalahan: tidak berdaya