18.7.14

Ramadhan 20: Apa Yang Seharusnya Dilakukan Pada Lailatul Qadar?

Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat malamnya.

A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya (tidak bersetubuh) dan menghidupkan waktu malam dengan qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail.
[Shahih Muslim - hadis no: 1174 (Kitab Iktikaf, Bab bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir……)]

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku."
[Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3119 (Kitab Doa).]


_
Hujung Entri:
*Wahai diri! Teruslah sabar mengucap istighfar, melantun bebutir zikir, memintal bebenang doa. Meminta dengan penuh hikmah.. - Mengharapkan keajaiban doa buat jundi Al-Qassam, pejuang-pejuang Islam dan tanah-tanah Islam di seluruh pelosok bumi. Juga buat generasi muda yang masih tinggal dan akan memimpin umat kelak.
*Terfikir; andainya saya dari kalangan ummahat di Palestin atau mana-mana tanah Islam yang bergolak, adakah saya akan berbahagia kerana masih punya suami dan anak-anak yang tegar beraksi di medan jihad? Atau adakah saya akan berbahagia kerana mereka telah menemui Ilah mereka dengan darah sebagai saksi syahid?
*Teman, tegurlah silap saya, lupa saya, leka saya. Yang saya harapkan, Allah SWT meredhai diri saya dan diri-diri kalian. Terima kasih kerana sudi.