28.5.11

Yang Pertama Sekali

Jam 9.05 malam, seorang lelaki memberi salam sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dewan kuliah. Orangnya kecil, zuhudnya besar. Lelaki yang dipanggil ustaz itu datang memenuhi rutinnya mengisi kuliah. Semua pelajar yang hadir sibuk mencari tempat duduk. Rata-rata mereka baru selesai bersolat Isya’.

Kelas pengajian hadith pada malam itu berlangsung seperti biasa. Minggu ini ustaz telah megupas sebuah hadith. Matannya biasa sahaja disebut-sebut. Maksudnya pula sering sahaja dikupas diulas. Sabda baginda s.a.w berkaitan niat menjadi inti perbincangan dalam kelas pengajian itu.

“Siapakah orang pertama yang akan dicampakkan ke dalam neraka?” Satu soalan dilontarkan oleh ustaz di awal bicara. Nadanya bersahaja.

“Saya beri kamu pilihan jawapan. A Abu Lahab, B Abu Jahal, C Firaun, D orang bukan muslim.” Ustaz menyambung.

Dewan kuliah menjadi sepi seketika. Masing-masing orang berfikir.

“Em.. A Abu Lahab!” Satu suara terpacul memecah sunyi.

“C Firaun!” Seorang lagi pelajar menjawab.

“Mana satu jawapan yang betul ni? Ada kata A ada kata C.” Ustaz bersuara lagi.

“Baik, saya nak tanya. Yang jawab A, kenapa Abu Lahab yang akan dicampakkan dulu? Kalau diikutkan, Firaunlah yang sepatutnya masuk neraka dulu, sebab Firaun hidup sebelum Abu Lahab kan?” Ustaz bertanya lagi.

Suasana senyap kembali menyelimuti dewan kuliah. Ada beberapa orang pelajar mengangguk, setuju. Ada juga yang tidak memberi tindak balas apa-apa melainkan terus setia menadah telinga dengan dahi yang berkerut.

“Kalau Firaun yang dicampakkan dahulu ke neraka, atas sebab apa pula? Bukankah banyak lagi manusia yang hidup sebelum Firaun? Betul tak?” Ustaz menghalakan lagi soalan. Sengaja memprovokasi.

Allahu Akbar! Soalan ustaz ini benar-benar bikin kepala saya pusing.

“Nanti kita lihat siapa orang pertama yang dicampakkan ke neraka. Orang itu ada di antara kita.”

Zappp! Darah gemuruh saya menjadi. Takut mendengar pernyataan yang dibuat oleh ustaz sebentar tadi. Tidak tahu bagaimana saya mahu menggambarkan rasa takut itu. Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu. Merasakan diri yang mungkin menjadi calon pertama dihisab dan dihumban ke dalam neraka, saya beristighfar. Terbayang api yang marak menyala disertai dengan binatang-binatang berbisa, ditambah pula dengan nanah yang busuk dan panas, Allah.. saya lemas. Sangat tidak mahu berada berdekatan pintunya, apatah lagi duduk baring di dalamnya.

Kuliah hadith pada malam itu diteruskan. Satu demi satu isu ditimbulkan. Sengaja membuatkan sidang pendengar berfikiran. Isi kuliah disampaikan dengan potongan-potongan hikmah dari sunnah juga Quran. Lancar lidah ustaz beromongan.
Hampir satu jam lebih berkuliahan, semua pelajar memperoleh jawapan. Kembali kepada persoalan, siapakah manusia pertama yang akan dicampakkan?

“Hah! Sekarang mari kita lihat siapa orang pertama yang bakal dihumban ke dalam neraka.”

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dinyatakan bahawa:
"Sesungguhnya orang yang mula-mula diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang telah mati syahid, setelah dia didatangkan kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t memperingatkan nikmat-Nya dan dia mengakui nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apakah yang telah kamu lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" Orang itu berkata ,"Saya berperang di jalan-Mu sehingga saya telah gugur syahid." Allah berfirman, "Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu dikatakan pahlawan dan perkara itu telah kamu peroleh.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.

Orang kedua yang diadili ialah seorang lelaki yang telah belajar ilmu pengetahuan, mengajarkannya dan membaca al-Quran, dia didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" Lelaki itu berkata, "Saya belajar ilmu dan telah mengajarkannya dan saya membaca al-quran kerana-Mu.” Allah berfirman, "Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar supaya kamu dikatakan 'alim dan kamu membaca al-Quran kerana ingin dikatakan Qari lalu kamu memperolehinya.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.

Orang ketiga ialah seorang lelaki yang Allah telah permudahkan rezeki dan mengurniakannya pelbagai harta, setelah didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan itu. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?" Lelaki itu berkata, "Saya telah membelanjakan pada jalan-jalan yang Engkau suka, untuk mendapatkan keredhaan-Mu.” Allah berfirman, “Kamu dusta, kamu membelanjakannya supaya kamu dikatakan seorang dermawan dan sesungguhnya kamu telah peroleh.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka".

Allahu a'lam. Berdoalah semoga kita terhindar daripada tergolongan dalam tiga golongan ini.


_
Nota Entri: 
*Hadith di atas adalah sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1905 (kitab al-Imarah, bab orang yang berperang kerana riya').

27.5.11

Tampal I

Nasihat Kiai Lukman pada Ayyas:
“Eling-elingo yo Ngger, endahe wanojo iku sing dadi jalaran batale toponing poro santri lang santri agung!”
(Ingatlah Nak, kecantikan wanita itu yang jadi sebab para santri dan satria agung gagal bertapa!)
[Habiburrahman El Shirazy: Bumi Cinta]


Wejangan Kiai Rais:
“Ilmu bagai nur (sinar). Dan nur tidak bisa datang dan ada di tempat yang gelap. Karena itu, bersihkan hati dan kepalamu, supaya nur itu bisa datang, menyentuh dan menerangi qalbu kalian semua.”
[A. Fuadi: Negeri 5 Menara]


Hari ini, saya terpaksa mengaku!
Mengakui kehebatan penangan indahnya bicara dari coretan mata pena yang tajam.
Subhanallah.. Semoga kami bisa menuliskan kebenaran demi kebenaran.


_
Nota Entri: 
*wejangan: nasihat

26.5.11

Rintih Hamba Pembenci Dosa

Dalam hening Subuh membelah
Sebelum tampak semburat merah
Kala fajar hampir merekah
Masih beradu di perbaringan indah
Membiar badan dibungkus lelah.

Oh, iman yang lemah!
Mengapa benar sukar meredah
Berbuat pahala merasa payah?!

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
[Surah al-'Ankabut : 69]


Pesanan:
Mari jadi soleh. Mari jadi solehah.

25.5.11

Permintaan

Panggilan
Bas Rapid KL U70 dipandu laju membelah kawasan hiruk-pikuk berdekatan Sentral KL. Saya berjalan menuju ke laluan berbumbung di sepanjang bahu jalan yang sibuk. Setelah tiba di laluan tersebut, saya menghayun langkah dengan pantas. Mahu segera sampai di bangunan hab bas tersohor itu. Namun, cita-cita saya untuk tiba awal di Sentral KL terhalang.

Seorang perempuan berbadan gempal berdiri sambil menghulurkan kertas kepada orang-ramai yang lalu-lalang di sepanjang laluan kecil itu. Lagaknya saling tak tumpah seperti seorang jurujual. Kasihan perempuan itu. Tiada siapa yang menyambut hulurannya. Langkah saya semakin mendekati kawasan tempat perempuan itu berdiri. Pada awalnya, saya tidak merancang untuk mengambil kertas yang berwarna-warni itu dari tangannya. Tetapi, entah mengapa tangan saya spontan menarik kertas yang dihulurkan itu. Seperti biasa, saya meneruskan perjalanan.

Sejurus saya menyambung langkah, perempuan berkulit putih itu bersuara, “Adik!” Dia memanggil tidak putus-putus. Tanpa merasakan diri dipanggil, saya terus berjalan kaki. Laju. Saya berjalan dan terus berjalan. Namun, suara perempuan berbangsa cina itu semakin kuat kedengaran dari arah belakang. Bunyi derapan tapak kasut kedengaran di belakang saya.

“Adik, tunggu!” Perempuan itu memanggil. Saya memandang ke belakang sambil berjalan. Dia kelihatan kepenatan kerana berlari-lari anak mengejar orang yang dipanggilnya. Tangannya melambai-lambai. Saya tidak tahu dengan siapa dia berkomunikasi. Saya meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan panggilan dan keadaannya. Semakin saya bergerak ke hadapan, suara perempuan itu semakin kedengaran.

‘Dia panggil akukah?’ getus hati kecil saya.

Ishh! Takkanlah.’ Saya menafikan persoalan tadi.

‘Boleh jadi dia panggil aku kerana kertas ini. Hhm, entahlah.’ Saya berteka-teki sendiri.

Rayuan
Perjalanan menuju ke Sentral KL diteruskan. Langkah saya semakin laju apabila menyedari bahawa saya sudah terlewat. Sekali lagi perempuan tadi memanggil. Saya meneruskan langkah. Tidak lama kemudian, perempuan itu berada di sebelah saya. Dia menahan saya, meminta saya untuk berhenti berjalan. Saya tetap tidak menghiraukan permintaannya. Bukan tidak mahu melayan, tapi pada zaman sekarang ini macam-macam jenayah telah berlaku. Siapa tahu kalau perempuan muda ini cuma berlakon dan sudah ada strategi untuk melakukan jenayah?

Kaki saya semakin pantas melangkah setelah menyedari perempuan itu mengekori saya. Terasa mahu sahaja saya mengangkat kaki berlari.

“Adik, tunggulah. Adik, tunggulah.”

Saya berjalan sambil menolak dengan permintaannya dengan baik. Saya sedang bergegas untuk bersolat Asar dan perlu tiba di Gombak sebelum 6.15 petang. Sudah berjanji dengan teman mahu berjumpa di stesen LRT Gombak. Berkali-kali saya menolak, berkali-kali juga perempuan itu memanggil dan meminta saya berhenti. Tanpa belas kasihan, saya terus berjalan.

“Adik, please. Adik, please. Please, please.” Perempuan itu merayu. Seperti ada perkara penting yang mahu disampaikan.

Mendengar suranya yang semakin lemah, saya memperlahankan langkah. ‘Salahkah kalau aku tidak memenuhi permintaannya?’ Saya bertanya sendirian sambil berjalan perlahan.

Suara perempuan tadi masih kedengaran. ‘Aku berpakaian sebegini membawa nama muslimah tapi bersikap tidak baik terhadap perempuan cina itu, tidak baikkah? Patutkah tindakanku ini? Sedangkan sepatutnya aku mendakwahinya dengan tingkah laku yang menyenangkan, bukan menyesakkan.’

“Adik, oh adik. Tunggu sekejap ooo.” Dia merayu lagi.

Kasihan
Tersedar kerana silap, kasihan melihat perempuan tadi tercungap-cungap, saya akhirnya berhenti. Saya mengalah. Kepala saya menoleh ke belakang dan ke arahnya. Ya Allah! Jauhnya saya membiarkan perempuan tadi berlari. Kasihan sungguh saya melihat dirinya. Dia kelihatan termengah-mengah kepenatan mengejar saya.

“Adik, thank you aaa,” ujar perempuan muda itu dengan wajah yang tersenyum. Ucapannya disambut dengan kerutan di dahi saya. Hairan.

‘Oh, barangkali dia gembira kerana saya telah berhenti daripada terus berjalan dan dia sudah tidak perlu mengejar saya.’ Saya mengagak di dalam hati.

You tadi ambil kertas inikan?” Dia bertanya saya sambil tangannya menunjukkan kertas yang dipegangnya.

“Ya,” jawab saya sepatah.

You koyak ini kertas, you buka and tengok apa gambar dalam.” Dia memberi arahan. Lidahnya tidak fasih berbahasa Melayu. Tindakannya yang bersungguh-sungguh mengejar saya sebentar tadi benar-benar membuatkan saya terpinga-pinga. Geram ada, kasihan pun ada.

“Buka.” Dia meyuruh saya mengoyakkan kertas yang saya pegang. Saya yang masih terpinga-pinga mengoyak kertas tersebut dengan sangat lambat.

Ayo, mari sini saya buka.” Pinta perempuan itu tidak sabar.

“Adik, you mahu pergi mana?” Dia bertanya sambil tangannya sibuk mengoyak kertas tadi.

“Saya mahu pergi sekolah.” Saya menjawab dengan nada bersahaja.

“Eh, sekolah ada masuk pukul empat kah?”

Allah! Saya tersilap sebut. “Hhm, saya mahu pergi kampus lah.”

“Kampus? Apa tu?” Kali ini dahi dia pula yang berkerut.

“Kampus. Maksud saya, universiti.”

“Oh, I see.” Dia mengangguk-angguk. Saya diam membisu.

Sorry, aaa. I ambil masa you sikit. Sikit saja.” Dia meminta maaf, mahu menyedapkan hati saya yang memang tidak berminat mahu mendengar kata-katanya dari tadi.

“Adik, macam ini aaa. You buka ini kertas, you tengok ada gambar apa. Kalau gambar ada tulis ‘Thank You’ you boleh tanda tangan and pergi. Tapi, kalau ada gambar bulat warna, you kena tengok kat sini apa warna bulat itu. Okey, you buka sikalang.” Dia meminta saya membuka.

“Bukalah. Buka. Jangan risau, tak ada apa-apa,” tambahnya cuba meyakinkan saya.

Nasib
Demi menurut kehendaknya dan dengan harapan agar perempuan itu segera berhenti daripada agendanya, saya membuka kertas yang telah dikoyak tadi. Ada bulatan berwarna perak. Tertulis di sisi kirinya ‘Special Gift’. Saya melihat tanpa perasaan sementara perempuan cina tadi melihat dengan penuh teruja. Senyumannya melebar ke tepi hampir mencecah telinga. Gigi putihnya yang tersusun rapat jelas kelihatan.

You pernah pergi Mid Valley tak sebelum ni?”

“Tak.”

“Tahniah ooo. You menang ini peraduan. Nanti aaa, you pergi Mid Valley you scan ini gambar bulat, you akan dapat nombor. Kalau nombor satu, dua, tiga, you dapat hadiah kereta. Kalau nombor empat, you dapat  iPad jenama Apple. Kalau nombor lima, you dapat laptop. Macam tu juga untuk yang lain-lain. Nanti kami bagi you senarai hadiah ini. Tapi, sebelum itu, you kena contact I dulu aaa. You dapat hadiah kereta, I janji I bawa you belanja makan.”

Perempuan itu memberi penerangan dengan panjang-lebar. Sekali-sekala rambutnya yang panjang paras bahu berterbangan ditiup angin yang terbina oleh tenaga kinetik kenderaan-kenderaan besar yang meluncur laju. Dia kemudiannya menulis nama dan nombor telefon bimbit di atas kertas yang saya pegang.

Sah! Saya sudah terkena. Lembaran yang disangka kertas iklan jualan langsung rupa-rupanya adalah kertas peraduan imbas dan menang.

‘Habislah aku!’ getus saya setelah diberitahu bahawa saya konon-kononnya pemenang peraduan imbas dan menang yang diajurkan oleh syarikat tempat dia bekerja.

You ada bawa ATM card?”

Saya diam, berkerut sahaja.

I tanya, you ada bawa ATM card.

Saya tidak menjawab. Bisu seribu satu bisu. Mata saya melilau ke tempat lain. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Melihat-lihat orang di sekeliling. Mana tahu kalau ada orang mencurigakan di sekitar tempat itu. Lama saya membiarkan perempuan itu menanti jawapan saya. Dia yang kelihatan sabar menunggu seolah-olah memaksa saya menjawab pertanyaannya.

“Saya tak bawa kad ATM.” Saya menjawab.

‘Eh, haah. Aku bawa kad ATM atau tak ya?’ Saya sendiri tidak pasti.

Ait! You tinggal di mana? Takkan you keluar rumah tak bawa ATM card?” tanyanya pelik.

Saya tersenyum melihat dirinya yang kehairanan. “Saya tinggal di Puchong. Saya ada cash money,” jawab saya jujur.

“Oh, tak apalah. I cuma mahu bagitahu you pasal ini hadiah. Kalau you dapat ini hadiah kereta and kami minta you masuk gambar untuk pamhplete macam ini, you ada susah?” Dia bertanya, meminta saya membuat keputusan.

Spontan saya mengangguk. “Susah!” Saya menjawab, serius bunyinya.

Okey, tak apalah kalau you tak mahu.” Dia reda dengan keputusan saya.

Musykil
Semakin lama saya berdiri di laluan itu, semakin banyak orang melaluinya. Macam-macam orang ada. Ada yang memakai beg sandang di belakang, ada yang menarik beg besar segi empat, ada juga yang hanya memegang tas tangan dan beg kertas. Orang berkulit hitam, putih, coklat muda, sawo matang, kuning langsat, semuanya ada. Pandangan saya tertumpu kepada seorang wanita yang sedang berjalan menghampiri tempat saya dan perempuan cina tadi berdiri.

“Hi, you!” Seorang wanita melayu berbaju kurung kebaya lengkap bertudung menegur perempuan cina yang dari tadi berdiri di sebelah saya.

“Hi!” Perempuan cina itu menyahut sapaannya dengan senang. “You dari mana?”

“Dari office,” jawab wanita melayu ringkas. Ada beg tangan hitam tersangkut di bahu kirinya.

“Oh, awalnya you keluar office!” ujar perempuan cina.

Wanita melayu tadi hanya tersenyum. Dia tidak menyambut kata-kata perempuan cina itu.

“Hah! Adik ini menang peraduan ini. Dia dapat special gift. Please say congratulation to her.

Wanita melayu tadi menghulurkan tangan sambil mengucap tahniah kepada saya, sementara perempuan cina tadi senyum-senyum sahaja. Suka agaknya. Perbualan sesama mereka diteruskan. Saya memerhati dua wanita berusia pertengahn dua puluhan itu berborak. Si perempuan cina kelihatan sudah lama mengenali wanita melayu. Akan tetapi, anehnya riak si wanita melayu sedikitpun tidak menunjukkan bahawa dia sudah lama berkenalan dengan perempuan cina. Dia kelihatan kekok. Saya menjadi hairan. Seketika kemudian, wanita melayu berbadan kecil itu meminta diri. Perempuan cina tadi mengangguk memberi kebenaran. Pandangan perempuan cina kemudiannya diarahkan ke muka saya. Adegan perbualan antara perempuan cina dan wanita melayu tadi seolah-olah menjadi babak lakonan mereka berdua. Sengaja dibuat-dibuat. Saya menjadi musykil.

“Kakak tadi pernah jadi customer I. Dia dulu menang juga macam you. Tapi dia cuma dapat laptop sahaja.”

Saya mendengar kata-katanya dengan menunjukkan rasa kurang senang. Namun, perempuan cina itu langsung tidak menghiraukan reaksi saya. Dia seakan-akan tidak faham dengan keadaan saya yang terburu-buru.

Adik, you kena bayar dulu RM 1,500 sikalang. Bila you dah pergi scan, you akan dapat hadiah yang you menang. Kalau you dapat kereta, you dah tak perlu bayar apa-apa. You cuma bayar road tax sahaja. I ulang, road tax sahaja. I berani sumpah.”

Saya diam. Berani-berani perempuan ini bersumpah. ‘Ya Allah! Lepaskanlah aku daripada tipu daya ini, selamatkanlah aku daripada menjadi mangsa jenayah.’ Saya berdoa di dalam hati.

Pasrah
“Tadi you kata you tak bawa ATM card, tapi you ada bawa cash money kan?” Pertanyaannya dibalas dengan anggukan. Jujur. Saya benar-benar sudah tidak larat melayan kerenahnya.
“Dalam cash money you ada berapa? Ada lebih RM 1,500?”

Saya menggeleng. Sekali lagi saya memerhati orang-orang di sekeliling. Takut-takut ada peragut atau penjenayah lain yang menjadi kroni perempuan ini. Tawakkal saya semakin meninggi. Pasrah meredah apa sahaja yang bakal berlaku.

“RM 1,500 pun tak ada?”

“Tak!” Saya bertegas.

Okeylah. Tak apalah. Terima kasih aaa. Sorry, I ambil masa you.” Dia akhirnya melepaskan saya daripada terus melayan kerenahnya.

Saya tersenyum lega. ‘Alhamdulillah!’

Saya Mahu Kamu Tahu
Jurujual, maafkan saya kerana bersikap acuh tidak acuh dengan permintaan kamu. Saya langsung tidak bermaksud membiarkan kamu kepenatan berlari mengejar saya.  Saya tahu kamu bekerja. Tetapi, saya tidak tahu kamu bekerja untuk mencari pelanggan atau mencari mangsa. Saya cukup berhati-hati dengan ragam manusia di luar sana termasuk kamu. Apabila kamu bertanya tentang kad ATM dan wang tunai, saya mencurigai kamu. Benar-benar curiga. Kecurigaan saya bertambah apabila ada seorang wanita melayu datang menegur kamu. Tidak ada apa yang terlintas di fikiran saya ketika itu kecuali jenayah dan doa.

Jurujual, maafkan saya. Saya bukan orang bodoh gila harta yang boleh ditipu bulat-bulat. Saya bukan orang kaya yang masih berwang setelah dikebas duitnya. Saya bukan wanita yang gagah perkasa menangkis serangan para penjenayah. Andai sahaja saya dipukul, diragut ataupun ditipu, manfaat apa yang akan kamu dapat selain berbuat jenayah? Kesalahan kamu kesalahan besar! Jenayah menipu, barangkali juga jenayah ragut dan pukul.
Semoga kamu memafkan saya dan semoga Allah memaafkan saya, serta menurunkan hidayah kepada kamu. Amin.

_
Nota Entri: 
*Cerita di atas adalah pengalaman penulis. Disiarkan agar kita mengambil iktibar dan sentiasa berwaspada.
*musykil : ragu 

22.5.11

Ceria = Kebajikan

Sabda Nabi s.a.w
Abu Dzar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Janganlah sekali-kali engkau meremehkan sesuatu pun daripada kebajikan, meskipun sekadar berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria." Hadith Riwayat Muslim.

Nasihat yang ditinggalkan oleh pemimpin agung mengetuk minda separa sedar saya. Rasa mengantuk membelenggu mata pada malam itu. Entah mengapa saya sendiri tidak tahu. Mahu dikata kerana lelah bekerja, saya tidak bekerja. Cuma berjalan ke bilik kuliah, perpustakaan dan asrama sahaja pada siangnya.

“Antara cara untuk mempererat cinta kasih ialah menampakkan wajah yang ceria. Bahasa wajah mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan tindak balas orang-orang yang melihat atau yang bersua dengannya. Seseorang akan senang jika temannya berwajah ceria, tidak cemberut.”

Mata yang layu menyorot semua perkataan dalam setiap ayat yang tertulis kemas. Maksud yang tersirat dalam perenggan yang dibaca membuatkan saya kembali segar. Artikel yang terpapar di skrin computer riba terus dibaca. Sesekali, tangan saya menutup mulut, menguap.

Berwajah Ceria Adalah Penawar
"Berwajah ceria akan memasukkan rasa senang pada orang yang engkau jumpai dan orang yang berhadapan denganmu, mendatangkan rasa kasih sayang dan cinta, mendatangkan kelapangan dalam hati, bahkan mendatangkan rasa lapang dada bagimu serta orang-orang yang bertemu denganmu. Cubalah, nescaya akan kamu merasainya! Akan tetapi jika engkau bermuka masam, maka orang lain akan lari darimu, mereka akan merasakan ketidaksukaan untuk duduk denganmu serta berbicara bersamamu. Boleh jadi kamu akan ditimpa penyakit yang berbahaya iaitu penyakit batin yang dinamakan tekanan. Berwajah ceria adalah ubat yang mencegah dari penyakit ini. Para doktor menasihati orang yang ditimpa penyakit ini untuk menjauhi hal-hal yang membangkitkan rasa marah, kerana hal itu akan menambah penderitaannya. Justeru berwajah ceria akan memusnahkan penyakit ini, kerana manusia akan merasakan lapangnya dada dan dicintai makhluk."

Artikel yang saya baca merupakan terjemahan petikan tulisan berjudul “Akhlak Penuntut Ilmu: Wajah berseri-seri atau bersikap ramah", oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin rahimahullah. Berkerut dahi saya cuba memahami maksudnya. Maklumlah, terjemahan ditulis dalam bahasa klasik Indonesia.

Belum pun sempat menghabiskan bacaan, saya sudah terlelap. Artikel panjang ini masih berbaki, menanti untuk dikhatamkan.

Ringkasnya, penulis artikel yang juga ilmuwan besar ini mengajak kita agar berusaha menjadi ceria. Memiliki perawakan dan perwatakan yang senang dan tenang harus menjadi aset kita; kerana semestinya kita akan bertemu dan bergaul dengan banyak orang.

Moga dengan berwajah ceria kita bisa mendakwahi manusia di samping meraih pahala beramal dengan sunnah baginda.


_
Nota Entri: 
*Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin merupakan seorang ulama sunnah, dilahirkan di kota Unaizah tanggal 27 Ramadhan 1347H.

21.5.11

Dia Enzim Saya!

Saudara pengerusi majlis bangun dari tempat duduknya. Tangannya memegang kertas putih separuh A4. Bibir kertas itu kelihatan berliku-liku. Tidak cantik. Ada kesan koyak. Semua mata dalam bilik kuliah tertumpu ke arah pengerusi majlis itu. Manakala sang penceramah asyik sahaja meneruskan bicaranya.

Langkah saudara pengerusi majlis menghala ke arah sang penceramah. Sang penceramah yang sedang sibuk menyampaikan kuliahnya diam seketika. Kertas putih yang dipegang tadi diunjukkan. Mulut saudara pengerusi terkumat-kamit. Ada perkara yang disampaikan. Kepala sang penceramah mengangguk-angguk, faham. Mulutnya turut bergerak menuturkan sesuatu.

Saudara pengerusi majlis kembali duduk di tempat asal. Sang penceramah tidak bersuara. Tidak tahu kenapa. Semua pendengar yang hadir dalam kuliah itu saling berpandangan. Masing-masing mencari sebab.

“Saudara dan saudari yang dirahmati Allah.” Sang penceramah mula menyusun kata. Semua menanti sambungannya.

“Ibu Yoyoh Yusroh telah kembali ke rahmatullah akibat kecelakaan jalan raya di Cirebon, Jawa Barat. Mari kita mensedekahkan doa dan al-Fatihah untuk almarhumah. Semoga Allah mencucuri rohnya. Al-Fatihah..” Sang penceramah menyambung kata.

Bilik kuliah menelan sunyi yang terbina. Semua pendengar membaca al-Fatihah dan doa untuk arwah wanita berjiwa mulia itu. Jujurnya, mereka tidak mengenali perempuan itu. Saya juga tidak terkecuali. Sungguh, baru hari ini saya mengerti bahawa selama ini ada wanita berperibadi indah yang namanya Yoyoh Yusroh.

Sang penceramah meneruskan bicaranya, “Saudara dan saudari, almarhumah adalah seorang kader wanita di PKS, menjadi ahli DPR di Indonesia. Ibu Yoyoh banyak mengendalikan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sekalipun beliau mempunyai 13 orang anak.”

Tiga belas orang anak?! Saya terkejut. Hakikatnya, bukan jumlah anak yang saya kagetkan, tapi semangatnya luar biasa. Mana tidaknya, seorang ibu anak tiga belas, tetap aktif dalam dakwah dan pentadbiran negara!

“Beliau masih tetap berkhidmat dalam hal-hal agama, dakwah, masyarakat dan politik Indonesia walaupun memiliki anak yang ramai,” tokok sang penceramah.

“Subhanallah..” Lafaz tasbih keluar dari mulut para pendengar serentak.

Saya tersentuh. Saya muhasabah. Saya malu. Malu dengan diri sendiri yang masih belia muda, masih belum punya keluarga, tapi sering terkial-kial dalam berbuat apa sahaja. Astaghfirullah..

Sesi penyampaian kuliah diteruskan. Telinga mendengar, mata melihat. Namun, semuanya hampir berlaku dengan bersahaja lantaran hati yang terusik dengan pemergian sosok peribadi itu.

'Tangan yang lembut menghayun buaian mampu menggoncang dunia, mencipta sejarah'.
Madah ini bukan lagi fantasi. Almarhumah telah meninggalkan bukti. Menjadi pemangkin kekuatan diri.

"Allahummaghfirlaha wa’afiha wa’fu ‘anha."

Sungguh, mati itu pasti. Yang belum pasti adalah keadaan iman kita saat ajal datang menjemput. Semoga Allah mematikan kita dalam keimanan yang baik. Berdoalah, berusahalah. Ayuh!

_
Nota Entri:
*almarhumah : istilah Bahasa Arab, bermaksud yang dicucuri rahmat ke atasnya
*DPR : Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia
*"Allahummaghfirlaha wa’afiha wa’fu ‘anha" ialah lafaz doa untuk si mati.

20.5.11

Babak Muhasabah

Bumi Yang Dicintai
Langit tinggi yang tadinya cerah bertukar gelap. Sekelip mata sahaja. Sekumpulan awan tebal kelihatan berarak di atas bumbung-bumbung biru universiti. Mentari yang hampir berlabuh di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Habis sinarnya dihalang awan hitam. Sejurus kemudian, ruang angkasa institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai Taman Budi dan Ilmu itu bertambah gelap.

Ketika petang sudah hampir tiba di penghujungnya, kelihatan ada beberapa orang muslim dan muslimah sedang duduk-duduk di ruang solat. Ada juga yang sedang membaca al-quran. Masjid yang berlokasi di tengah-tengah institut ilmu itu memang bertuah. Sentiasa ‘imarah. Tidak pernah tidak ada jemaah. Rumah ibadah yang menjadi pusat pertemuan warga institut itu seringkali dikunjungi orang sekalipun penuntut-penuntutnya pulang ke tanah air masing-masing.

Perkongsian Dalam Pertemuan
“Liz, ada musykilah?”

Liz mengangguk. Pelajar perempuan yang baru setahun jagung menjadi warga universiti itu tidak pernah segan mengaku ada masalah. Dia sangat terbuka. Tak pernah berselindung.

“Masalah apa?” Saya bertanya dengan nada bersahaja. Mengajak dia untuk berkongsi.

“Kak, saya sedih. Saya sedih sebab setiap kali bersolat malam atau muhasabah, saya rasa susah nak menangis.” Pelajar perempuan itu mula menyatakan masalah jiwanya.

“Kadang-kadang tu, saya sampai dah tak tahu nak buat apa lagi supaya menangis.” Pelajar itu menyambung. Suaranya terketar-ketar.

“Ingatlah mati.” Saya mencelah perlahan.

“Sudah. Tapi, tetap tak mampu menangis. Pernah saya minta daripada Allah …” Bicaranya terhenti. Matanya mula berkaca-kaca. Dia diam. Menahan air mata daripada mengalir.

“Pernah saya berdoa, Ya Allah, kalau Engkau memang sudah tidak mengizinkan aku menjadi hamba yang baik, Engkau matikan sahaja aku.”

‘Astaghfirullah!’ Spontan saya beristighfar di dalam hati. Pelajar ini kelihatan seperti sudah tidak tahan memiliki hati yang sudah tidak mampu mengalirkan air mata keinsafan. Semoga Allah masih memegang hatinya.

“Apa gunanya hidup kalau diri tak menjadi hamba yang baik untuk Allah,” Pelajar itu menyambung dengan nada yang terputus-putus. Sejurus kemudian, mulutnya terpaku. Tiada lagi bunyi yang keluar dari peti suaranya. Lama dia membisu. Air mata mudanya kelihatan tumpah ke pipi.

Saya merenung ke permaidani merah yang menutupi lantai marmar masjid. Bermuhasabah sambil menyusun kata. Saya terus merenung, sedang adik perempuan tadi setia menunggu ungkapan saya. Mohon diberi petanda arah menuju ke jalan keluar. Seketika kemudian, saya melihat wajahnya yang sayu. Matanya merah. Pipinya basah. Uraian air mata yang berterjunan di pipi diseka. Dia tunduk. Malu. Malu dengan diri sendiri.

Nasihat Buat Diri Sendiri
“Liz, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Beruntunglah Liz kerana masih mampu menangis di sini, sekalipun tidak mampu menangis selepas solat.” Sengaja saya berkata sedemikian. Mahu menyedarkan dia bahawa dirinya masih mempunyai hati. Hati yang masih mampu menangis apabila disentuh.

“Duduk dan bermuhasabahlah lagi. Mungkin jiwa kita belum cukup ikhlas untuk memohon keampunan. Mungkin hati kita tidak benar-benar ikhlas memohon taubat. Siapa tahu, dalam kita bersabar meminta ampun dan taubat, Allah mengizinkan hati kita untuk menangis.” Saya memberi pandangan.

“Liz, Allah tidak mematikan Liz sekarang kerana Allah masih sayangkan Liz. Liz masih ada ruang. Liz masih ada peluang. Berdoa meminta agar dimatikan segera itu salah. Salah besar!” tegas saya.

Air matanya yang deras mengalir sebentar tadi berhenti. Terjaga dari lena sangkaan yang salah.

“Allah meminta kita berusaha, bukannya mengalah. Jangan meminta diri dimatikan hanya kerana tidak mampu menangis apabila mengenang dosa. Jangan meminta dimatikan sedangkan diri tidak dalam keimanan.”

“Rugi besarlah kita andainya di akhirat kelak, antara kita dengan syurga jaraknya tinggal sehasta, tapi takdir telah mendahului dan kita dicampakkan ke neraka. Kenapa?” Saya meninggalkan persoalan di hujung peringatan yang panjang-lebar. Semua mata yang hadir dalam pertemuan petang itu tertumpu ke arah saya.

“Sebab, kita tidak mengakhiri kehidupan dengan kebaikan. Sia-sia sahaja kita beramal sepanjang hidup, tapi di akhir kehidupan kita tidak berada dalam keimanan. Na’uzu billahi.

Pelajar perempuan itu mengangguk-angguk. Dia kelihatan yakin untuk meneruskan kehidupan. Kini, dia sedar bahawa sangkaannya agar lebih baik mati adalah salah.

‘Ya Allah, ampunkanlah dosa adik ini. Ampunkanlah dosa semua manusia yang berada dalam pertemuan ini.’ Saya berdoa di dalam hati, sendirian.

‘Allah, sungguh aku berpandangan bahawa mereka lebih baik daripadaku!’ Semoga Allah menghimpunkan kami dalam rahmat dan berkat. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Pesanan Kekasih Agung
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: “Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan empat kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.”

(HR al-Bukhari; 3036 dan Muslim; 2643)

Saya menulis babak muhasabah ini di sini dengan harapan yang sederhana. Sangat sederhana. Semoga kita lebih mengingati-Nya setelah banyak dosa yang kita lakukan. Saya menulis babak muhasabah ini di sini bukan kerana sudah mampu mengingati-Nya dengan sempurna, tetapi kerana berharap agar catatan sederhana ini terhitung sebagai langkah untuk saya mendekati-Nya. Sungguh, saya sangat terkesan dengan luahannya!


_
Nota Entri: 
*Cerita di atas adalah pengalaman penulis. Nama watak yang disebut dalam cerita tersebut bukanlah nama sebenar.
*'imarah : istilah Bahasa Arab, bermaksud meriah, makmur, gemilang
*jemaah : kumpulan manusia yang bersembahyang secara beramai-ramai dan diketuai oleh seorang imam
*musykilah : istilah Bahasa Arab, bermaksud masalah 

18.5.11

Yang Namanya 'Islamic Couple'

“Apa pandangan awak tentang islamic couple?” Seorang perempuan melontarkan soalan kepada saya. Usia kami sebaya.

“Apa maksud couple?” Saya menyoalnya kembali. Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.

Coupling cara Islam. Berkawan dengan seorang lelaki yang bukan muhram dan istimewa di hati, namun masih di bawah batas pergaulan dan menjaga hukum syarak. Saling mengingatkan tentang ibadah, tanggungjawab, Islam dan lain-lain,” balasnya terus-terang.

“Bagi saya, istilah islamic couple itu tidak tepat.” Saya memberi pandangan, tidak bersetuju dengan penerangannya.

“Tidak tepat?” Perempuan itu menyoal. Dahinya berkerut. “Jadi, apa istilah yang tepat?” soalnya lagi.

Unmarried couple. That is the best term.” Saya membalas. Terkeluar percakapan dalam Bahasa Inggeris. Tidak sengaja.

“Maksud awak?” Perempuan itu bertanya, meminta penjelasan. Dia bukan perempuan biasa. Dia seorang yang terpelajar.

Saya tersenyum seraya menjawab, “Bagi saya, maksud coupling merujuk perbuatan berpasangan. Budaya coupling yang menjadi kebiasaan remaja dan belia hari ini dinamakan unmarried couple. Lelaki berpasangan dengan wanita atau sebaliknya tanpa ada ikatan yang sah, iaitu perkahwinan.”

“Itu saya faham. Sekarang ini, saya mahu tahu pandangan awak tentang islamic unmarried couple.” Perempuan itu menjelaskan pertanyaan yang cuba dilontarkan pada awal perbualan. Tidak puas hati kerana soalannya masih belum terjawab. Sengaja saya tidak terus menjawab. Mahu membuat dia berfikir dan terfikir.

“Begini, saudari. Dalam Islam, pasangan yang telah berkahwin sememangnya layak disebut islamic couple. Hal ini kerana mereka sudah diikat oleh satu akad yang sangat dituntut,” terang saya.

Perempuan itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia kelihatan baik dan sopan. Kepalanya ditutup dengan kain tudung berwarna putih susu. Matanya tepat merenung mata saya.

“Akad inilah yang menghalalkan perkenalan dan perhubungan antara seseorang lelaki dan seseorang perempuan. Sudah menjadi kewajipan mereka untuk saling mengingatkan tentang tanggungjawab dalam ibadah, nafkah, Islam dan lain-lain.” Saya menyambung.

Kali ini, air mukanya berubah. Wajahnya menjadi merah. Bibirnya diketap rapat. Entah kenapa. Menahan malu agaknya.

“Saudari pernah bercouple?” tanya saya terus-terang. Tidak berlapik.

Perempuan itu diam. Tiada tindak balas. Saya merenung matanya tepat. Dia mengalihkan pandangan ke arah permukaan meja. Saya masih menanti jawapan daripadanya. Seketika kemudian, dia mengangguk. Jujur. Kepalanya tunduk.

“Saudari, usah malu dengan saya. Saya hanya manusia biasa, macam saudari. Punya fitrah, punya hati. Kalau saudari masih selesa untuk mendengar pandangan saya, saya akan teruskan. Jika saudari tidak selesa, tidak mengapa. Perbincangan kita akan berhenti di sini.”

Sejurus mendengar kata-kata saya, perempuan itu menghadapkan wajahnya ke arah saya. Sungguh, hati perempuan ini masih boleh dibentuk. Saya berbisik di dalam hati.

“Apa perasaan saudari sepanjang berkenalan dan berkawan rapat dengan lelaki yang istimewa di hati saudari?”

“Beruntung, sebab ada orang yang sentiasa bertanya khabar dan memberi nasihat. Tenang, sebab ada teman yang sudi mendengar permasalahan. Kadang-kadang saya rasa selamat, sebab ada lelaki yang melindungi.”

Saya menyambut kata-katanya dengan senyuman. ‘Astaghfirullah, perempuan ini memang benar telah terkena penangan muslihat syaitan,’ getus hati kecil saya.

“Saudari, rasa beruntung, tenang dan selamat itu semuanya adalah perasaan yang dihadirkan oleh musuh saudari. Dia telah membahayakan saudari.”

Perempuan itu mendengar dengan baik. Riaknya kelihatan faham dengan maksud yang berselirat dalam ungkapan saya sebentar tadi. Dia tahu siapa musuhnya. Dia tahu siapa yang membahayakan dirinya. Syaitan. Syaitan telah mengkaburkan penglihatannya. Terkorban dilihat beruntung. Dosa dirasa tenang. Azab disangka selamat. Astaghfirullah..

“Tapi, kami tidak pernah berjumpa, berdua-duaan. Berpegangan tangan apatah lagi.” Perempuan itu bersuara. Dia cuba membela diri.

“Saudari, Islam tidak mengajar kita untuk melabelkan sesuatu dengan namanya sesuka hati. Meletakkan nama islami selepas perkataan couple ikut rasa hati. Berpasangan dengan lelaki yang bukan muhram dan saling bertanya khabar, bertukar-tukar cerita, berkongsi rasa dan segalanya walaupun tidak pernah berjumpa, itu semua tidak islami,” tegas saya.

Perempuan itu diam. Pandangan matanya diarahkan ke pohon hijau yang tumbuh rendang di tepi kafe tempat kami berbual. Sekilas terlihat sinar iman yang masih memancar samar di wajahnya. Jauh dia merenung. Muhasabah agaknya. Saya diam juga. Berdoa.

Adam a.s dan isterinya, Hawwa sejak dahulu telah tertipu oleh janji manis iblis la’natullah. Mereka termakan hasutan makhluk bongkak itu. Enak apabila dimakan, tapi perit lidah terkena lidas. Bertuahlah Adam dan Hawwa yang sedar dan insaf. Mereka memohon keampunan. Mereka bertaubat. Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun telah memberi pengampunan.

Semakin hari manusia semakin alpa. Jauh dari landasan kebenaran. Mengejar kenikmatan dunia tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Dosa pahala entah ke mana melayang. Sayang beribu kali sayang. Ruginya kita jika tak merebut peluang. Memohon kemaafan, memohon keampunan. Menghapus dosa diri yang rentan.

“Allah, selamatkan kami dari fitnah dunia. Selamatkan kami dari menjadi bahan fitnah.”

Nasihat:
Kalau takut berdosa, lebih baik jangan bercouple!

_
Nota Entri: 
*Kisah di atas diolah berdasarkan pengalaman penulis berbual dengan seorang sahabat perempuannya.
*Al-Quran menceritakan kisah Adam a.s dalam beberapa surah, antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25.
*Istilah 'bercouple' tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi dan sastera tulen. (pandangan penulis sahaja) 

12.5.11

Samar

Malam semakin sepi. Sunyi. Melihat ke luar. Mendongak sedikit ke atas. Subhanallah.. Langit itu tetap cantik sekalipun warnanya hitam pekat. Oh, kelihatan ada kerlipan samar di balik gumpalan awan itu!

Mulut yang memang sedia membatu tetap membatu. Mata tepat merenung kerlipan yang samar-samar itu. Lama benar memerhati. Satu rasa datang memecah sepi.

“Andai kerlipan itu bergemerlapan sinarnya, sudah tentu langit hitam itu akan lebih cantik!”

Fitrah manusia, memang suka kecantikan. Suka keindahan.
Sedang hati terus berangan, terlintas pula di fikiran,

“Imanku seperti kerlipan itukah? Sekejap ada, sekejap hilang.”
“Sudahlah sekejap ada sekejap hilang. Cahayanya pula tak gemilang.”

Wahai Sang Pemilik hati yang berbolak-balik,
Tetapkanlah hati ini agar terus mengimani-Mu.
Sibukkanlah diri ini dengan perkara-perkara yang membawa aku dekat dengan-Mu.
Amin…

10.5.11

Doa Asiah

Entri ini membawa kalimat bermakna.
Kalimat yang diabadikan di dalam al-Quran agar terus diingat sepanjang masa.
Kalimat yang keluar dari mulut seorang perempuan yang hatinya telah diliputi keimanan.

Perempuan itu berdiri sambil berseru tanpa menghiraukan kemilau dunia yang fana.
Dia berkata dengan bahasa sikap dan ucapannya, “Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga.”

Sungguh, tidak ada lagi tempat bagi dunia dalam hatinya.
Maha Suci Allah, seluruh hati perempuan itu dipenuhi dengan cinta kepada Tuhannya!

Di atas jalan Tuhannya, perempuan itu tetap bertahan sekalipun sering ditimpa siksaan yang bertubi-tubi.
Di atas jalan kebenaran, perempuan itu tetap berpijak, langsung tak beralih sekalipun sering dilontar cacian hina.

Kalian yang membaca,
Perempuan yang saya maksudkan ialah Asiah, isteri Fir’aun.
Seorang isteri yang tidak dicintai oleh suaminya.
Tapi, sangat dikasihi oleh pemilik hatinya, Allah s.w.t.

Istimewanya Asiah, doanya diabadikan di dalam al-Quran,
“Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga.” [at-Tahrim:11]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
“Antara keutamaan Asiah, isteri firaun, adalah dia lebih memilih mati dan disiksa di dunia daripada memperoleh kesenangan yang telah didapatkannya sebagai isteri Firaun.” [Fathul Bari, 6/516]

Ibn Kathir pula berkata:
“Dengan sanadnya, Ibn Jarir meriwayatkan dari Sulaiman at-Taimi, bahawa isteri Firaun sering disiksa di bawah terik sinar matahari. Dia disiksa oleh suaminya, namun apabila Firaun meninggalkannya setelah menempatkan Asiah di bawah terik sinar mentari, para malaikat terus menaungi Asiah dengan sayap-sayap mereka, lalu Asiah dapat melihat rumahnya di dalam syurga.” [Tafsir Ibn Kathir, 4/394]

Mulianya isteri Firaun, Allah s.w.t menyebutnya di dalam al-Quran,
“Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata, “Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya; serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” [at-Tahrim:11]

Alangkah bahagianya Asiah, doanya dimakbulkan Tuhannya, Allah s.w.t.
Pahit maung siksaan yang menimpanya menjadi manis setiap kali melihat rumahnya di syurga.
Allahu Akbar!

Allah, jadikan kami wanita yang langsung tidak silau dengan kemilau dunia, fatamorgana yang menipu manusia!

_  
Nota Entri: 
*Asiah ialah isteri Firaun, seorang wanita tabah dan yang tidak jemu-jemu mengajak suaminya beriman kepada Allah.

8.5.11

Benci, benci. Benci!

Manusia seringkali berkata, “Nanti dulu, sikit lagi ni.”
Sedangkan azan sedang dilaungkan.
Bagaimana perasaan kita apabila orang yang kita panggil
tidak menyahut panggilan itu dengan segera,
malah melewat-lewatkannya?

Allah itu Maha Tahu. Dia Maha Mahu.
Boleh sahaja Dia mencabut nikmat,
mencampakkan laknat.
Ke atas sesiapa, di mana-mana.
Astaghfirullahal’azim.. wa al-’iyadzu billahi!

“Kalau nak hidup dirahmati, kerja diberkati, solatlah di awal waktu!”

Pesanan:
Semakin lama cuti, semakin menguji iman. Ayuh, mari jaga hati!

_
Nota Entri: 
*Ayat wa al-’iyadzu billahi! adalah doa yang ditulis dalam Bahasa Arab. Maksudnya ialah 'Dan aku berlindung dengan Allah!'

7.5.11

Nekad Nusrah

Tuhan...
kuserahkan hatiku.. ragaku
hanya kerinduan kasihku padaMu
kerana masa silamku
sepanjangnya berliku…

Kehidupanku bermula pabila ku terasa
seruan keinsafan mengajak ku kembali
kerelaanku teruji pabila ku sedari
indahnya wajah ukiran sejati

Raudhah..
sentiasa menjadi rebutan

Raudhah...
kenikmatan seribu idaman
ku bayang ku di sampingmu
ku terasa kebahagiaan di syurga
harapanku menggunung
amanahmu ku dukung
keampunan berderu
semerdu seruan Raudhah...

Subhanallah..
sungguh mendalam makna lagu yang dinyanyikan oleh gadis itu. Suaranya merdu. Barangkali dia sudah biasa menyanyi. Ya, benar! Memang dia seorang munsyidah. Sejak kecil lagi dia sudah biasa menjadi penyanyi solo nasyid. Ketika di tahun tiga persekolahan rendah, dia sudah dikenali sebagai penasyid sekolah. Ramai orang mengenalinya melalui suaranya yang mendayu. Nusrah, namanya.

Tiada siapa yang memiliki suara selunak Nusrah. Jadi, mahu atau pun tidak, Nusrah memang akan jadi penyanyi solo untuk kumpulan nasyid sekolahnya.

Tahun demi tahun, usia Nusrah bertambah. 11 tahun sudah umurnya. Dia masih lagi menjadi penyanyi nasyid sekolah. Sudah lebih sepuluh kali dia membuat persembahan nasyid di atas pentas. Sama ada pentas sekolahnya, atau sekolah-sekolah berdekatan, atau dewan-dewan majlis sambutan. Ketika usia ini, Nusrah seperti tidak lagi meminati bidang nyanyian. Mengapa agaknya? Barangkali dia telah belajar sesuatu.

Tiada lagi minat menyanyi dalam diri Nusrah. Jika ada pun, hanya hangat-hangat tahi ayam. Dia semakin tidak selesa apabila menyanyi, kerana ada mata-mata nakal yang melihatnya. Hidup Nusrah semakin tidak aman. Dia rimas. Hampir setiap hari, ada sahaja surat-surat cinta layang yang diterimanya. Ada yang diselitkan di bawah meja. Ada yang diletakkan di atas kerusi. Ada yang dimasukkan ke dalam beg. Ada juga yang diterima melalui perantaraan sahabat baiknya.

Suatu hari, Nusrah dipanggil sahabat baiknya, Najwa. Najwa menghulurkan sebungkus kotak kecil yang dibalut kemas.
"Ada orang bagi," kata Najwa.
"Siapa?" tanya Nusrah kehairanan.
"Ada lah.. orang dah bagi, ambik je lah," Najwa menjawab.

Tanpa banyak tanya, Nusrah mengambil kotak kecil itu dari tangan sahabatnya. Dia malas memanjangkan cerita.

Nusrah terkejut apabila melihat isi kotak itu. Rasa pelik tergambar di wajah mudanya.
"Astaghfirullah.. Siapa lah yang bagi ni? Ish... tak ada kerja lain agaknya. Tersalah orang kot ni. Dah lah cincin mainan.."

Nusrah hanya tersenyum melihat hadiah itu. Geli hati melihat perkara-perkara cinta monyet yang berlaku ke atasnya. Mujur Nusrah seorang yang agak matang ketika itu.

Hari demi hari, Nusrah semakin rasa bersalah. Dia bersalah kerana membuatkan pelajar-pelajar lelaki sekolahnya leka dengan cinta monyet masing-masing.

"Kalau macam ni lah, aku tak nak jadi penasyid sekolah lagi dah. Baru tenang sikit hidup," getus Nusrah.

Akhirnya, Nusrah nekad. Dia mengambil keputusan untuk tidak lagi mengambil bahagian dalam bidang nyanyian. Semenjak itu, Nusrah berjinak-jinak untuk melibatkan diri dalam tilawah dan tarannum al-quran.

Subhanallah..
Indah sekali. Orang bersuara merdu, baca berlagu apa sahaja pun merdu. Nusrah selesa dengan pilihannya kini. Tapi, dia masih belum rasa selamat dan aman daripada gangguan pelajar-pelajar lelaki. Selepas setahun menjadi qariah al-quran sekolah, Nusrah tamat persekolahan rendahnya.

Nusrah kemudiannya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh. Usianya sudah mencecah 13 tahun. Dia berazam untuk tidak terlibat dengan mana-mana bidang nyanyian. Dia sedar. Dia tahu, suaranya menjadi fitnah. Dia tidak mahu suaranya menjadi bahan bualan orang, bahan pujian guru-guru, bahan pujaan rakan-rakan. Apatah lagi menjadi tempat berteduhnya cinta-cinta monyet. Cukuplah pengalaman yang ditimbanya ketika sekolah rendah dulu.

Pilihannya benar. Hidupnya kini tidak lagi seperti dulu. Bagaimanapun, dia tetap dikenali semua warga sekolahnya. Bukan kerana suaranya. Tapi, kerana kewibawaan, sahsiah diri dan pencapaian akademiknya.

"Banyak lagi khidmat lain yang aku boleh beri untuk sekolah ini. Ya Allah, bantulah aku dalam memelihara diriku dan oranga lain!" pinta Nusrah setiap hari.

Matangnya Nusrah dalam membuat keputusan, walaupun usianya masih mentah. Dia semakin mengenal kehidupan, semakin mengenal Tuhannya. Dan kini.. dia beramal untuk Allah, bukan untuk dirinya semata.

Maha Suci Allah.. yang mengizinkan segala sesuatu berlaku kepada hamba-Nya yang terpilih.


_
Nota Entri:
*Cerita ini ditulis dari sudut pandang penulis. Fahamilah maksud yang tersirat dalam bait-bait lagu dan cerita di atas.

6.5.11

'Janggan Bisahkan' (kata orang Arab)

Perhatian!
Entri ini mengandungi unsur-unsur jiwang.
Tidak sesuai  Sesuai untuk sesiapa yang ingin menjaga hati.

Biar cinta terhalang gunung dan samudera,
Aku tetap memegang janjiku pada-Mu,
Biar jurang yang terjal ada di depanku,
Takkan goyah sumpahku kepada diri-Mu.

Lagu asal : Jangan Pisahkan
Artis asal : Deddy Dores & Mayang Sari

Dah.. cukup setakat itu.
Selingan sahaja.

Mari menjaga hati dengan CINTA ini.
Rapi. Kemas. Bersih. Cantik.

Mari melindungi diri dengan CINTA ini.
Selamat. Selesa. Aman. Tenteram.

Mari korbankan kepentingan diri demi CINTA ini.
Puas. Lega. Tenang. Bahagia.

Nekad.
Sudah tiba masa kita menzahirkan CINTA ini.
Moga Dia menyambutnya dengan hati yang berbunga-bunga.

Allahu..
Jangan pisahkan kami dengan CINTA ini.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujuraat:15)

Moga kita adalah mukmin-mukmin yang telah meraih CINTA-Nya.
Selamat siang menghampiri malam.


_
Nota Entri:
*Dalam lirik asal, perkataan 'pada-Mu' ditulis dengan 'padamu' dan perkataan 'diri-Mu' ditulis dengan 'dirimu'. Di sini, penulis menggunakan huruf besar untuk aksara 'm' dalam kedua-dua perkataan tersebut.

4.5.11

Untuk Abah

Hujan semalam masih turun renyai-renyai. Menjelang fajar tadi, hujan turun agak lebat juga. Akan tetapi hujan itu mulai sidang pada akhir waktu subuh. Sehelai dua daun mangga gugur bila disinggahi angin pagi yang perlahan. Rintik hujan yang menitis dari bumbung langit melembapkan daun-daun kering yang gugur di halaman rumah. Abah berangkat menuju ke tempat kerja apabila hujan sudah mulai reda dan hanya tinggal renyai-renyai.

Di atas pukul lapan, langit kelihatan cerah. Matahari yang tersenyum riang di ufuk timur semakin berani menebarkan cahayanya menerangi bumi taman perumahan ini. Di dapur, kelihatan emak sedang asyik merajang lobak merah. Lobak merah gemuk segar itu dirajang halus di atas papan landas.

"Emak nak buat apa ni?" saya menyoal.
"Bihun goreng putih yang kamu mahu semalam," jawab emak ringkas.

Entah bila saya berkata hendak makan bihun goreng putih. Rasanya, semalam saya hanya bertanya emak sama ada bihun goreng putih ada dijual di gerai Mak Cik Nah atau tidak. Bihun goreng putih, nama lainnya ialah Bihun Goreng Singapura. Ada juga yang memanggilnya Bihun Goreng Cina. Tidak kisahlah apa namanya. Yang penting, bihun goreng yang disebut emak adalah bihun goreng kegemaran saya. Saya menoleh ke sinki. Bihun mentah yang masih terendam dalam besen kelabu belum ditoskan.

"Emak, bihun ini nak ditoskan tak?" Saya bertanya, mahu membantu.
"Belum boleh lagi. Biar dulu, baru direndam. Kamu tolong kisar bawang-bawang ini." Emak membalas sambil tangannya menghulur bekas pengisar berisi bawang besar, bawang putih dan cili api minta diuruskan.

Saya meletakkan bekas tersebut di atas mesin pengisar. Penunjuk di mesin berjenama National itu dipulas ke arah perkataan "ON". Saya membiarkan motor alat pengisar itu beroperasi seketika. Penunjuk dipulas melawan arah tadi. Bunyi putaran motor semakin perlahan dan berhenti. Saya berjalan menuju ke kabinet dapur, meletakkan bekas yang berisi rencah yang bakal ditumis sekejap lagi.

"Hari ini, emak tak masak nasi. Emak buat pecal saja." Emak memberitahu sebaik sahaja saya membelek-belek sayur kangkung yang baru dibeli daripada Din Sayur. Saya menoleh ke arah emak.

"Hari ini hari jadi abah. Mak nak belanja abah makan di luar," jelas emak.
'Oh, ya! Hari ini 4 Mei. Hari ulangtahun kelahiran abah,' getus saya.

Sungguh, saya tidak sedar bahawa hari ini sudah masuk hari keempat bulan Mei. Abah lahir tahun 1960. Abah semakin berusia. Tiga atau empat tahun lagi abah akan pencen. Abah banyak berkorban untuk keluarga. Terlalu banyak. Bagi abah, semakin tinggi pengorbanan dalam bingkai perjuangan, semakin manis hasil yang akan direguk.

Terima kasih, abah! Selamat hari jadi, abah!


_
Nota Entri:
*merajang : meracik
*papan landas : papan alas pemotong
*pecal : sayuran yang direbus atau dicelur, kemudian dipotong kecil dan dimakan bersama kuah kacang, juga dikenali sebagai gado-gado 

3.5.11

Lemas

Ada masa terasa diri
dirundung malang,

Ada kala terasa diri
diselubung girang.

Musibah besar buat ujian iman
dikatanya malang,

Nikmat kecil buat ujian iman
dikatanya girang.

Aduh,
sungguh..
Iman manusia ini sedang sakit!
Fitrah merasa parah.
Nafsu berkurang lesu.

_
Hujung Entri:
*Muhasabah dalam madah.

2.5.11

Cempiang Jalanan

"Tak takut mati ke?"

Dia tersengih. "Semua manusia pasti akan melaluinya.Tengah tidur pun boleh mati!"

Saya menyorotinya dengan senyuman pahit. "Tak fikir masa depan? Tak takut Tuhan?"

"Allah itukan Maha Pengampun," katanya.

Saya senyum lagi. Kali ini, pahit-pahit manis.

Dia berhujah lagi. "Dah tua kerepot nanti, taubatlah. Susah apa?"

Aduh! Sakitnya telinga disumbatkan ayat-ayat itu. Saya beristighfar panjang. Terasa sesak nafas dengan kenyataan itu. Mulut terkedu. Geram bercampur pilu. Makan hati selalu.

Oh, manusia!
Engkaukah pemuda harapan agama?
Hilang pedoman, hidup melulu.
Di atas jalan, berpeleseran begitu.
Tiba zaman, mati katak di situ.
Tanpa sempat beriman kepada Tuhan Yang Satu.

Sungguh, anak muda ini berada dalam dilema. Berperang dengan diri sendiri mencari identiti. Pedih hati saya melihat ragamnya. Entah apa-apa kepercayaan yang dibawa. Anasir mungkar menyelinap masuk melewati pintu kejahatan yang terkuak sedikit cuma.
"Memang usia remaja merupakan saat terpaan dugaan kemaksiatan yang membuatkan hati dan fikiran berbalah sendiri."
Cerpenis

Semoga Allah membuka jalan keluar untuknya. Amin!